Krisis Identiti: Nurazah Fathirah
9:13 PTG | Author: Idris Bin Saleh



Krisis Identiti

Berbaldi sudah dia menangis. Kadang-kadang dia termenung di jendela kelas. Apalah nasibnya. Dia lebih banyak menangis daripada mentelaah buku-buku. Hari persediaan sebelum menempuh peperiksaan Sijil Pelajaran Menengah (SPM) tinggal 41 hari lagi.

‘Mengapa sekarang baru aku rasa berdosa?’

Fokusnya dalam kelas sudah hilang. Matanya semakin membengkak terutama di bahagian kiri. Siangnya banyak muram dan tidurnya cuma beberapa jam. Selalu tidak lena. Buku-buku latihan yang ada sudah terbiar. Hatinya penat! Jiwanya resah!

‘Hai hati.. Kau milik siapa?’

Al-quran semakin dekat dengan dadanya walaupun bacaannya masih tersangkut-sangkut. Ramadhan kali ini sungguh bermakna. Dia merenung ayat-ayat tafsir. Sekalipun nafsunya memberontak, sekalipun hatinya berkecai, sekalipun jiwanya tertusuk dengan ayat-ayat laknat Allah, dia masih sukar menangis di hadapan-Nya.

‘Hati.. Mengapa begini? Mata, mengapa kau menangis kerana cinta manusia, sedangkan di hadapan Tuhan kamu mengering?’

Dia banyakkan rukuk dan sujud. Dia mendalami tafsir kitab Al-Quran yang mulia. Namun, hatinya semakin resah, takut dan tidak tenang. Matanya tidak mampu menangis di hadapan Allah mahupun di khalayak rakan-rakan dan keluarga. Terpendam. Sepandai-pandai dia menyembunyikan perasaannya, namun, raup wajahnya sudah cukup jelas menzahirkan perasaan dukacitanya.

“Hilal ada masalah ke? Kalau ada, cakap saja dengan ibu..”, sapa ibunya ketika makan malam bersama lima orang lagi adik-beradiknya.

Dalam mengikuti Program Ulangkaji Intensif (PUI) seharian, Hilal lebih suka berseorangan. Dia takut bersentuhan dengan rakan-rakan. Sangat berbeza dengan sifatnya dahulu yang ceria dan suka bekerjasama. Dia memang seorang yang aktif dalam program-program sekolah dan sungguh dikenali ramai. Ramai!

Di sekolah, di rumah dan di mana sahaja, dia memang suka ke hulu dan ke hilir mengejar masa. Dia aktif berpersatuan. Hasil kerjanya kemas, bersih dan halus. Ada seni. Menarik sekali. Hasil lukisannya memang kreatif. Hasil seni mengarangnya juga ada bakat. Seni berbahasanya juga sering mendapat pujian. Seni berdebat dan berpidatonya juga amat menyerlah jauh. Tidak hairanlah jika dia ini sudah bergelar tokoh sekolah…

“Kami respect dia!!”, rakan-rakan banyak mengusik Hilal.


Tapi, mengapa kini dia sudah berubah?



Hari peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)


‘Tit-tit.. Tit-tit..’, satu mesej masuk ke telefon bimbit Hilal.


Your browser may not support display of this image.Your browser may not support display of this image.Salam. Keratokonjunktivis – kekeringan air mata kerana pernah terlalu banyak mengalirkan air mata. Untuk rawatan, sila rehatkan mata anda, elakkan terdedah dengan keadaan luar rumah, dan titiskan Eyemo. Eyemo dapat membantu melancarkan kembali aliran air mata anda. Selamat berSPM..

Daripada : Humaira’ 4:02pm 19-NOV-2008.



Tertera pesanan ringkas dari seorang rakan. Hilal diam seketika. Terhutang budi. Apa yang terlintas di fikirannya bukanlah nasihat yang tertera. Tetapi penasihatinya itu. Seinfiniti terima kasih buat Humaira’ kerana telah mengubat dirinya buat sementara waktu. Selayaknya Humaira’ digelar ‘kaunselor’. Entah bagaimana keadaan dirinya sekarang jika Humaira’ yang muda dua tahun daripadanya itu tiada muncul dalam hidupnya.


Kertas Matematik Moden tadi berjaya dijawabnya dengan tenang. Dia sudah ceria dengan senyuman. Malah dia sudah pandai membuat rakan-rakan serta guru-gurunya mengukirkan senyuman kepadanya.


“Hari kita akan lebih gembira dengan senyuman! Jom kita senyum ramai-ramai!!”, kata-kata dan senyuman Humaira’ masih segar dalam ingatannya.


Baginya, wanita lebih memahami. Sejiwa dengan dirinya yang lembut. Dia lebih suka berkawan dengan perempuan. Berborak dengan perempuan lebih selesa dan terasa bebas! Mereka gemar bercakap dan bergosip. Mereka suka bertukar-tukar hadiah dan pendapat. Mereka amat menjaga hati rakan-rakan. Mereka peduli. Mereka tidak biasa dimarah, dikeji dan dicerca. Mereka juga sensitif dengan persekitaran. Begitulah juga keinginan dirinya.


Alkisahnya, semasa di sekolah rendah dahulu, Hilal memang susah bergaul dengan lelaki. Dia dilabel sebagai seorang yang pengecut, pemalu, pendiam, dan tidak pandai bersosial sehinggalah pada tahun pertama di sekolah menengah, dia lebih suka aktif dalam persatuan dan rajin membantu sesiapa sahaja termasuklah melakukan kerja-kerja amal.


Setiap hari, dia akan datang awal ke sekolah untuk menyapu sampah. Jika lantai kelas sebelahnya kotor, dia akan tolong bersihkan juga. Dia ikhlas melakukan kerja. Jika ada banyak lagi masa terluang, dia akan pastikan tingkap tidak berdebu, meja tersusun dan keadaan sekelilingnya kemas. Di mana sahaja dia berjalan, jika ternampak sampah, dia akan kutip! Alhamdulillah, sudah banyak koleksi pahala yang sudah dia kumpulkan…


Namun begitu, Hilal sering diperli oleh rakan-rakannya kerana cara dia berjalan agak kekok. Jari-jarinya sering melentik terutama apabila berinteraksi dengan orang ramai. Penampilannya yang terlalu lembut berbanding lelaki lain, mencurigakan keluarganya. Hilal amat menekankan aspek kekemasan dan kualiti. Ramai yang mengatakan Hilal lebih bersifat feminin. Walaupun dikutuk, Hilal tetap disanjung pelajar-pelajar perempuan dan guru-guru. Adakalanya mereka lah yang membela Hilal.


Bakatnya mula terserlah apabila dia melangkah ke tingkatan dua. Hilal suka menyibukkan dirinya. Kredibiliti dan sifatnya yang proaktif dan inovatif menonjol. Dia memang hebat! Jawatan demi jawatan disandang. Program demi program diuruskan. Walaupun masih junior, dia semakin menyerlah sedikit demi sedikit. Bagaikan bayi meniarap, merangkak, bertatih, berjalan dan terus berlari. Orang ramai mula mengenalinya.


“Kami respect dia!”


“Tunjukkan kami jalan yang lurus…”

(Surah Al-Fatihah : 6)


Hilal,

Setiap manusia diberikan jalan. Dan kadang-kala mereka akan terkandas. Di hadapanmu terbentang jalan yang songsang, jalan yang berliku-liku haluannya, jalan yang mati dan jalan yang lurus. Jika kau sedang terkandas, bersegeralah bangkit! Teruskan berjalan sambil berfikir menggunakan akal yang dianugerahkan. Pastikan anda tidak tersalah membuat pilihan! Dan saya pasti, jika anda berjalan bersama peta, anda takkan tersesat dan terkandas lagi.. Silalah. Peta yang paling lengkap itulah Al-Quran Al Karim… - Humaira ’


Hilal menitiskan air mata. Terus dia melipat dan menyelitkan surat bersaiz A5 ke dalam Al-Quran tafsirnya yang berwarna merah jambu. Kemudian, dia menunaikan solat sunat taubat. Selepas beberapa minit merenung keindahan kalam Allah yang ditulis menggunakan tulisan khat yang baru sahaja diukir di dinding surau, dia kembali sujud menunaikan solat sunat Dhuha. Sejak hari itu, dia bertekad untuk tidak melepaskan peluang menikmati ketenangan naseemussobah (bayu pagi) dengan menunaikan solat sunat Dhuha.


‘Hidayah! Berikan aku hidayah Ya Allah!!’


Ketika berdiri di bangunan surau, matanya menjelajah hingga ke hujung langit. Awan berkepul, bukit berpacak, embun menitis dan koloni semut di tanah sentiasa bekerja. Lebah-lebah yang hinggap di kuntuman bunga dan cicak-cicak yang melekat di dinding sentiasa membuatkannya berfikir. Hatinya semakin tenang. Wudhu’ yang segar menambahkan lagi kelembutan pada hatinya. Dia semakin kenal Tuhan.


Sambil merenung keindahan naseemussobah (bayu pagi), teringat dia akan peristiwa ketika Humaira’ mendesaknya bersua di hadapan surau sekolah pada hari Sabtu yang lepas. Katanya urusan penting. Tidak pernah dia melihat Humaira’ secemas itu. Sungguh dia tidak percaya, Humaira’ telah membuka lembaran sejarah hitamnya. Surau itu telah menjadi saksi air matanya menitis kerana dosa-dosa silamnya. Sedekad sudah dia terjebak. Kini, sudah tiba masanya untuk bertaubat. Taubat!


Sejarah hitam terus menerus menyelinap masuk dan menusuk gambaran di matanya… Hilal sebak dan terus menangis lagi. Kini dia menangis kerana takut untuk mengangkat mukanya di hadapan Allah. Malu! Dia tambah dua rakaat lagi dalam solat sunat dhuhanya. Di akhir sujud, dia sengaja melamakan sujudnya.


Kakinya bergetar. Dia menggigil ketakutan. Dalam keadaan sebegitu, tiada manusia dapat melihat akan getaran aura yang terhasil. Cahaya nur mula melimpah. Jiwanya semakin kuat. Wajahnya sudah ada cahaya semacam muslimin yang lain. Rakan-rakan nampak perubahan pada dirinya. Mereka suka melihat Hilal semakin tawadhu’ dan tenang dalam bertindak. Dia sudah kenal Tuhan!


‘Ya rabbi, maafkan aku… Ku akui kelemahan ini, ku insafi kekurangan ini, ku kesali kejahilan ini! Terimalah taubatku ini!’, hati Hilal berdoa.



Humaira’ merenung wajah Hilal dengan dahi yang berkerut. Dia seolah-olah mengecam. Hilal tergamam. Humaira’ dapat rasakan bahawa Hilal banyak menyimpan rahsia. Rahsia yang sungguh besar, berat dan hitam! Sengaja dia menelefon Hilal pada malam semalam dengan menggunakan nada yang sangat cemas. Dia meminta Hilal hadir ke sekolah untuk menyelesaikan masalah dalaman Hilal. Sudah sebulan matanya bengkak tidak sembuh-sembuh. Humaira’ juga merasakan bahawa dirinya patut masuk campur dalam hal ini. Keadaan semakin kronik!


Imbasan perbualan dalam Yahoo Messenger pada 17 Oktober 2008 :

Fahmi : Salam. Kak Humaira’!!! Fahmi rasa... macam nak pengsan!

Humaira’ : Ya? Wa’alaikumussalam… Kenapa? Ada apa?

Fahmi : Kak Humaira’!! Kalau Kak Humaira’ baca apa yang Fahmi taip ni, janji jangan bagi tahu Hilal, tau!

Humaira’ : Jap. Fikir..

Fahmi : Nak pengsan dah ni…

Humaira’ : Ok insya-Allah! Dah. Sila taip…

Fahmi : Akak… Hilal rapat dengan Fahmi sebab dia suka Fahmi! Hilal pun suka Azri! Hilal sebenarnya suka lelaki!!!

Humaira’ : Ya Allah! Bertenang. Bertenang…

Fahmi : Allah laknat dia!!!

Humaira’ : Fahmi! Jangan melaknat orang sesuka hati! Bawa istighfar…

Fahmi : Tapi akak…

Humaira’ : Ok dah! Esok akak jumpa Hilal kat sekolah. Nabhah teman. Ok salam…

Fahmi : Janji tu pegang ya… Syukran kak Humaira’. Salam.


Dia faham jika Fahmi bertindak agresif. Fahmi masih hijau untuk menerima kenyataan itu. Lagipun, dia dan Hilal sudah lama berkawan. Sejak beberapa bulan yang lepas, mereka sama-sama bergiat aktif dalam gerakan persatuan. Susah untuknya menerima kenyataan senior yang sering dipujinya itu sebenarnya antara mangsa transeksualisme. Transeksualisme paling ketara ialah mengenai kecelaruan jantina apabila individu yang mempunyai anggota kelamin tertentu tetapi berasa begitu yakin yang dia golongan jantina sebaliknya. Itulah yang sedang dialami Hilal.


Menurut kajian Profesor Louis Gooren, kemungkinan fenomena transeksualisme berlaku ialah satu transeksual lelaki dalam 15,000 lelaki manakala satu transeksual perempuan dalam 35,000 perempuan. Lihat sahajalah di bandar Kuala Lumpur, betapa ramainya golongan “Mak Nyah” yang berkeliaran di tepi jalan pada malam hari. Mereka asyik berselimut dengan maksiat. Bayangkan, bagaimana keadaan Malaysia jika masalah ini semakin kronik? Kecelaruan jantina harus diubati serta merta kerana ia mampu menyebabkan keruntuhan gah golongan belia negara. Mampukah ia diubati?



Humaira’ dan Nabhah menunggu. Hilal tersipu-sipu datang dengan muka yang murung dan mata yang bengkak. Tangannya melembut seperti ‘kaki-kaki sotong’. Entah mengapa Humaira’ kadang-kala terasa benci melihat wajah Hilal. Muka yang gelap ala-ala mamak berkacukan bugis itu tidak menenangkan hati. Gelisah. Berita semalam cuba dia ketepikan. Buat masa sekarang, dia patut husnu dzon (bersangka baik) dahulu. Apapun, kunci husnu dzon itu ialah dengan bertanya, bukan?


Humaira’ menunjukkan isyarat memanggil Hilal untuk menjadikan hadapan surau sebagai lokasi perbincangan. Pagi itu, mereka mulakan perbualan dengan memberi salam. Masing-masing serius dan tegas. Nabhah hanya memantau dari jarak yang tidak terlalu dekat dan tidak terlalu jauh. Dia hanya mendengar suara yang terputus-putus. Tenggelam. Apapun dia faham dan percaya akan kakaknya. Dia sudah tahu tentang permasalahan dan konflik yang berlaku. Dia yakin kakaknya akan melakukan tindakan yang rasional. Allah maha melihat dan mendengar. Allah juga tahu apa yang tersemat dalam hati-hati manusia…


“Dulu awak pernah katakan yang awak mengalami masalah rakan dan identiti. Awak dah ceritakan pada saya yang awak ada masalah dengan Azri. Tapi, awak belum ceritakan tentang masalah identiti awak. Jadi, tujuan saya jumpa ni ialah untuk menyelesaikan masalah identiti awak. Saya yakin dan percaya, masalah ini akan semakin merumitkan keadaan jika awak tidak ada rakan untuk berkongsi…”, bicara bermula dengan nada Humaira’ yang tegas tetapi jelas.


“Sudah saya katakan… Masalah identiti itu ialah suatu rahsia dan awak juga tiada hak untuk ambil tahu”, jelas Hilal.


Mata Hilal seakan-akan tidak tenang. Humaira’ dapat rasakan ada suatu yang tidak kena. Dia tahu Hilal takkan bertahan dengan hanya memendam. Pemberitahuan Fahmi tentang emosi Hilal yang semakin terganggu akibat ‘berputus cinta’ dengan Azri menyebabkan Humaira’ ingin segera membawa Hilal kembali ke jalan yang lurus. Dia khuatir jika Hilal akan terus songsang di perjalanan.


“Baiklah, saya memang tiada hak dalam permasalahan awak. Tapi jika permasalan ini terlalu kronik, saya merasakan bahawa… saya wajar tahu dan cuba membantu sedaya yang mampu. Itu sahaja. Silalah ulangkaji di kelas. Saya akan sentiasa berfikir tentang masalah identiti awak dan sentiasa menunggu jawapan di surau sampai awak pulang”, jawab Humaira’. Dia seakan-akan masih tidak mahu mengalah. Humaira’ ingin mendengar pengakuan daripada Hilal tentang masalah identiti yang dialaminya. Dia juga ingin tahu akan ‘dosa perasaan’ Hilal dan sejarah naluri cintanya yang songsang.


Hilal menarik mukanya. Hatinya serabut. Rimas. Dia terus menuju ke kelas tingkatan lima dan mula menulis sebuah esei berdasarkan soalan di buku latihan Fokus SPM matapelajaran Sejarah. Lima belas minit sahaja dia bertahan. Tiba-tiba, jiwanya bergelora. Dia diserang lagi dengan perasaan hampa. Fikirannya asyik memainkan memori duka.


‘Putus cinta! Cinta songsang!’, hilaian perasaan menerjah masuk ke jiwanya.


Fokusnya hilang. Dia menutup buku dan menyelut poket. Dikeluarkannya telefon bimbit. Dia tidak tahu bagaimana ingin memulakan ceritanya. Sebagai respon pertama kepada Humaira’, dia menghantar mesej ringkas.


Your browser may not support display of this image.Your browser may not support display of this image.

Kenapa mesti diberitahu?

Daripada : Hilal 12:02pm 18-OCT-2008.





Angin semakin perlahan. Matahari memanaskan jalan tar di kawasan hadapan surau. Namun begitu, suasana dalam surau masih lagi sejuk. Satu kipas gantung di bahagian belakang berpusing. Di bawah kipas, Nabhah dan Humaira’ duduk bersimpuh. Mereka sibuk mengatur strategi. Fikiran mereka bingung dan betul-betul tidak memahami mengapa mesti ada lelaki yang berkeinginan kepada lelaki.


Adakah naluri mereka dilahirkan begitu atau disebalik kehidupan mereka ada sejarah ? Adakah mereka terlibat dengan dosa atau perasaan yang timbul itu hanyalah masalah fitrah insani? Mereka tiada pengalaman untuk mencari jawapan. Tengah hari itu sunyi tanpa kanak-kanak riang berlarian. Surau yang biasanya bising dengan alunan kelas mengaji, kini tenang. Cuma bunyi suara bisikan dua beradik yang bergema sahaja.


Humaira’ membaca mesej yang baru diterima daripada Hilal. Segera dia tekan butang “reply” untuk membalas mesej Hilal. Lalu, dia menekan pula butang-butang nombor yang terdapat di telefon bimbitnya. Tertera formasi huruf di skrin. Formasi huruf yang tersusun sehingga menjadi frasa-frasa gabungan. Satu mesej ringkas yang berakhir dengan tanda soal.

Your browser may not support display of this image.Your browser may not support display of this image.

Menyimpan rahsia yang terlalu berat untuk jatuh ke pengetahuan manusia?

Daripada : Humaira’ 12:05pm 18-OCT-2008



Soalan dibalas dengan soalan! Hilal tersentak dan jiwanya terasa ingin mengalah. Dia tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Humaira’. Tetapi, kata-kata itu sungguh membuatkannya malu dan teringatkan peristiwa hitamnya. Dia rasa sudah tiba masanya dia meluah! Lagipun, dirinya selesa bercakap dengan perempuan. Hatinya memberontak. Antara memendam dan memberitahu. Dia berfikir sejenak…


‘Aku manusia biasa! Aku punya ego! Mengapa perlu pendam, sedangkan diriku memerlukan nasihat, panduan dan sokongan? Ah! Hilal! Kamu akan menceritakannya juga! Atau kau akan gagal dalam SPM!’


Tanpa membuang masa, Hilal mendapatkan Humaira’ di surau. Humaira’ terperanjat apabila terdengar suara Hilal memanggilnya. Segera dia bangkit dari tempat duduknya.


“Oh, Hilal. Dah bersedia?”, Humaira’ seperti tidak sangka. Lelaki di hadapannya itu cepat mengalah. Mengapa? Mungkin dia amat memerlukan pertolongan.


‘Ya Allah! Patutkah aku menceritakan kepadanya?’


“Saya tersinggung dengan Azri perkara yang kecil sahaja. Tetapi impaknya cukup mendalam bagi saya. Saya sedar akan sifat sensitif saya yang menjadikan emosi saya semakin hari semakin kronik”, Hilal menunduk tidak menjawab persoalan yang dilontarkan kepadanya. Dia sendiri pun tidak tahu samada dirinya betul-betul cukup bersedia.


“Apakah perasaan awak?”, Humaira’ mula bertanya.



“Saya… kecewa, sedih, marah, hampa, geram… Macam-macam perasaan saya alami. Saya alaminya seperti orang gila. Seperti…”, kepala Hilal semakin tertunduk. Dia cuba menahan air matanya dari menitis. Tersekat di situ sahaja jawapannya.


“Awak tahu tak, perempuan bergaduh pun tak sekronik awak. Dah lama benda ni berlaku. Awak tak mampu lupakannya? Jika awak ada masalah, kenapa awak tak cari Tuhan? Mengadu sahajalah pada-NYA. Selepas itu, awak akan rasa lega”, Humaira’ cuba mengembalikan keseimbangan emosi Hilal dengan mengalihkan fikirannya kepada apa yang diperkatakannya.



"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah bersama orang-orang yang sabar"

(Al-baqarah : 153)


Hilal berfikir lama. Humaira’ mengajak Hilal duduk. Jarak di antara mereka sejauh tujuh langkah. Mereka terpaksa kuatkan suara. Nabhah yang menemani buat-buat tidak dengar dengan menyiapkan kerja rumahnya, namun, pada hakikatnya, dia sedang fokus dengan setiap perkataan yang terpancul daripada mulut Hilal dan Humaira’ .


“Saya ada masalah identiti. Identiti saya… tak dapat saya kesani. Saya tahu awak sendiri nampak gaya saya yang lebih cenderung kepada wanita. Sebenarnya, dalaman saya juga seperti wanita.”


“Maksud awak?”, Humaira’ merenung wajah Hilal dengan dahi yang berkerut. Dia seolah-olah mengecam. Hilal tergamam. Humaira’ dapat rasakan bahawa Hilal banyak menyimpan rahsia. Rahsia yang sungguh besar, berat dan hitam! Dia inginkan pengakuan dari mulut lelaki itu. Dia ingin tahu kisah yang menjadikan naluri Hilal suka pada lelaki.


“Saya punya naluri keperempuanan. Saya sensitif.”


Humaira’ merenung tajam ke dalam mata Hilal. Dia mahukan pengakuan. Pengakuan!


“… dan saya mencintai lelaki lebih daripada wanita”, tergetar bibirnya memberitakan rahsia besarnya itu. Hilal terus menyorokkan mukanya. Dia sudah tidak tahan bertentang mata. Dia malu. Jiwanya sakit, pedih dan penat! Dia takut akan respon yang bakal diterimanya. Hilal menangis teresak-esak.


“Enam tahun saya pendam perasaan ini. Awak tahu saya terpaksa tahan nafsu setiap kali berprogram di sekolah. Seksa!”, cerita Hilal. Dia sudah berjaya membiasakan diri berhubung dengan Humaira’.


‘Jika Fahmi yang mendengar pengakuan ini, sudah pasti dia cabut lari’, hati Humaira’ berbisik.


Humaira’ hanya redha dengan takdir. Itu perihal naluri. Allah yang beri. Apapun, dia yakin, cinta songsang mampu diubati. Dia cuba berfikir secara positif. Hati Humaira’ asyik berbisik. Hilal cenderung bekerja dan berbual dengan rakan-rakan perempuan. Tetapi, dalam kehidupan sosial, berkawan dengan jantina sebaliknya adalah suatu yang perlukan pengawasan dan kawalan. Walaupun gemar bermuamalah (berhubung) dengan wanita, Hilal tetap menjaga batas dan adab pergaulan. Dia terpaksa menegaskan dirinya dalam pergaulan walaupun jauh di lubuk hatinya, dia lebih selesa dengan wanita.


Sebenarnya, manifestasi fenomena transeksualisme berlaku ketika seseorang itu dalam proses pengenalan diri mengenai jantina. Dia akan berasa dirinya berbeza dengan kehendak hatinya dan kadangkala dia serba salah apabila lebih cenderung bergaul dengan individu daripada jantina sebaliknya. Menurut kajian juga, golongan wanita sebenarnya suka berkawan dengan lelaki lembut kerana mereka amat memahami dan menghargai persahabatan. Namun, perkara ini perlu dielakkan kerana masalah inilah yang menyebabkan golongan ini menganggap wanita adalah rakan dan lelaki adalah pasangan seks mereka.


Firman Allah: "Dan (ingatlah kisah) Luth, ketika ia berkata kepada kaumnya: "Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu sedang kamu melihat(nya). Mengapa kamu mendatangi laki-laki untuk (memenuhi) nafsu(mu), bukan mendatangi wanita? Sebenarnya kamu adalah kaum yang tidak dapat mengetahui (akibat perbuatanmu)."

(Surah an-Naml: 54-55)


Sebahagian besar individu yang masuk dalam golongan transeksual mengalami kekeliruan mengenai diri mereka daripada aspek identiti seksual. Mereka perlu menjalani bimbingan untuk mengenali diri dengan lebih dekat lagi, dan ini mungkin perkara awal yang perlu dilakukan. Mereka juga perlu tahu perbezaan identiti seksual yang lain seperti homoseksual, transvertisme, fetishisme dan lain-lain supaya dapat menetapkan kedudukan mereka.


Kini, Humaira’ sedang membimbing Hilal secara komunikasi jauh. Dia lebih gemar menggunakan ayat Al-Quran sebagai pengubat duka lara. Selain meneliti fakta kajian, Humaira’ sering membaca tafsir Al-Quran untuk motivasi dirinya dan juga Hilal. Humaira’ lebih suka menganggap Al-Quran sebagai “kaunselor hidup” dan “peta jalan kehidupan”. Dia sebolehnya ingin membina benteng iman yang kukuh agar tiada suatu maksiat pun berani mendatangi Hilal.


“Dekati Al-Quran, Hilal… Banyakkan berpuasa. Nafsu itu akan tunduk padamu jika kamu tunduk dan menyerahkan segala hidupmu kepada Allah s.w.t. Tiada yang lain dapat kamu mengharap selain Allah s.w.t.”, jelas Humaira’.


“Dan semua kisah dari rasul-rasul kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya kami teguhkan hatimu. dan dalam surat ini telah datang kepadamu, kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman”

(Surah Hud : 120)


Humaira’ lebih suka bersikap skema dan formal sepanjang berhubung dengan Hilal. Dia sedaya upaya membantu dan menyelesaikan masalah ini secara profesional. Dia cuba memahami kisah hidup Hilal. Humaira’ lebih banyak mendengar dan bertanya. Sebolehnya, dia ingin menyiasat sejarah hidup lelaki yang bernaluri wanita.


“Boleh saya tanya? Kenapa 6 tahun awak seksa? Kenapa tak dari kecil lagi?”, tanya Humaira’.


“6 tahun yang lepas, seusia darjah 5 dan 6, saya mula kenal ‘cinta’ dan seperti budak normal yang lain, ketika itu saya menghadapi perubahan hormon. Saya mula merasa perubahan diri. Jangka masa itu lah yang menyebabkan saya bercelaru dalam memilih jantina saya kerana saya rasa, diri saya cenderung kepada naluri perempuan”


Hilal mengaku kecelaruan jantina ini berlaku akibat persekitarannya yang terdedah kepada naluri perempuan dan kurangnya kasih sayang seorang bapa. Dia sering dipinggirkan. Kesemua adik-beradiknya perempuan dan dia merupakan abang Ngah yang lebih suka menjaga adik-adiknya dengan sifat keibuan. Dia dan kakaknya lah yang memasak tatkala ibu tiada di rumah dan dialah yang sering menyidai pakaian di ampaian setiap hujung minggu.


“Itu faktor pertama! Bukan masalah hormon!”, kata Humaira’. Dia gembira kerana telah mula mengenalpasti masalah. Dia bertekad untuk mengkaji masalah dengan lebih mendalam agar mampu mencari penawar bagi masa depan Hilal.


Semasa menyertai pertandingan Larian Merentas Desa di persekitaran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Humaira’ terserempak dengan sekumpulan lelaki-lelaki lembut. Mereka bukan bertiga mahupun berlima, tetapi bilangan mereka tidak cukup untuk dibilang dengan jari. Pakaian mereka nampak tiada beza dengan wanita-wanita dangdut. Mereka sudah berdaftar di bawah satu unit persatuan. Humaira’ hampa dan kecewa melihat semakin ramai syabab (remaja) kini yang menghadapi krisis identiti.


‘Apakah mereka masih ada semangat jihad dalam diri?’, Humaira’ berfikir.


“Kebajikan itu ialah berakhlak baik. Dosa itu ialah apa yang meresahkan jiwamu dan engkau tidak suka ia deketahui orang.”

(Hadith riwayat Muslim)


“Doakan mereka jauh daripada dosa-dosa besar…”, respon Hilal. Dia menunjukkan surah Az-Zumar ayat 53, 54 dan 55 kepada Humaira’.


“Kebanyakan mereka yang mengalami masalah identiti ialah kerana faktor persekitaran. Saya pasti, setiap mangsa transeksualisme mempunyai rahsia dan sejarah hitam mereka tersendiri. Saya berterima kasih kepada awak kerana telah membawa saya ke pintu taubat terlebih dahulu sebelum saya melangkah masuk ke IPT. Saya tak mahu dihukum seperti kaum nabi Luth. Doakan agar saya tidak menyertai persatuan seperti ini…”, kata Hilal.
This entry was posted on 9:13 PTG and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 ulasan: