Matahari pagi itu sudah setinggi langit ketika Ahmad membuka kedua-dua belah kelopak matanya. Sinaran cahaya yang memancar tidak sedikit pun menggugat kenyenyakan tidurnya sebelum ini. Jam yang tergantung menunjukkan angka sepuluh. Ahmad mengeluh panjang. Hari ini dia akan lewat ke sekolah lagi. Sebagai pelajar sekolah menengah, Ahmad sedar dirinya tidak mampu menjadi seperti rakan-rakan yang lain. Dia merupakan anak sulung dalam keluarga yang serba kekurangan. Hal ini menuntut pengorbanannya untuk menyara kesemua ahli keluarga yang berjumlah tujuh orang itu. Upah yang diterima ibunya sedikit pun tidak mampu menampung kehidupan seharian mereka. Apalah sangat nilainya RM 50 sebulan yang diterima ibunya sebagai pembantu rumah kepada Datuk Ismail. Oleh itu, Ahmad perlu memerah keringat, membanting tulang dalam mencari sumber lain bagi menampung kehidupan keluarga mereka.
Ahmad mencapai berus giginya, lalu meluru ke tandas yang terletak di bahagian luar rumahnya. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, ibu Ahmad, Mak Miah tetap menekankan kebersihan dalam kalangan anak-anaknya sekalipun bahagian yang kecil. Oleh kerana itu, Ahmad dan adik-adiknya tidak pernah melupakan rutin yang satu itu. Setelah selesai menberus gigi, Ahmad dengan pantas menukar pakaian sekolahnya. Sebelum menuju ke sekolah, Ahmad sempat mencari kelibat adik-adiknya. Bayang-bayang Syafa sudah tidak kelihatan. Barangkali sudah ke sekolah. Haziq dan Nadia berada di ruang tamu sedang menyiapkan kerja sekolah mereka. Waktu persekolahan mereka, iaitu bagi murid-murid tahap dua sekolah rendah bermula pada jam 1 petang.
Afiq dan Wafa yang masing-masing berusia lapan dan enam tahun itu pula masih diulit mimpi.
Setelah bersalaman dengan adik-adiknya, Ahmad pantas menuju ke sekolah. Walaupun sudah berkali-kali berazam untuk tidak lewat ke sekolah lagi, Ahmad masih tidak mampu melaksanakannya. Pekerjaan yang dilakukan Ahmad sebagai buruh jalan raya memaksa dia untuk pulang ke rumah selewat jam empat pagi setiap hari. Setelah berpenat lelah, mana mungkin dia mampu bangun seawal jam enam pagi untuk ke sekolah pula. Setibanya di sekolah, Cikgu Hanani, guru kelasnya sedang mengajar subjek Matematik. Kehadiran Ahmad yang lewat sedikit mengganggu konsentrasinya. Ahmad kemudian mengambil tempat duduk di sebelah Zuhdi anak Datuk Ismail itu.
“Kau ni, setiap hari waktu begini juga kau datang. Entah-entah alasan yang kau berikan pada cikgu itu rekaan semata-mata,” kata Zuhdi , cuba menguji perasaan Ahmad.
“Suka hati engkau lah mahu fikir apa. Aku sedar aku salah dan aku akan cuba membetulkannya,” bisik Ahmad kembali kepada Zuhdi.
*****
Petang itu Ahmad kembali ke rumah dengan perasaan bersalah. Antara pelajaran dan tanggungjawab keluarga, dia pasti akan memilih keluarganya. Namun, kehidupan tidak semudah yang dijangka. Ahmad masih terikat dengan pelajaran yang seharusnya dipelajari di sekolah. Tambahan pula, tahun ini dia akan mengambil satu peperiksaan besar, iaitu Penilaian Menengah Rendah.
“Ahmad, kamu sudah pulang?” tanya Mak Miah apabila mendengar bunyi pintu dikuak.
“Sudah, mak. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” balas Ahmad kembali dengan penuh sopan.
“Marilah duduk. Ada perkara yang mak nak bincangkan bersama kamu,” ajak Mak Miah.
Ahmad mendengar penuh teliti. Mak Miah risau akan kehidupan keluarga mereka yang ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Upah yang mereka perolehi tidak cukup untuk menampung kehidupan mereka. Mak Miah juga sudah semakin tua. Badannya semakin lemah. Dia mengharapkan Ahmad untuk berkorban lebih bagi menampung kehidupan mereka. Ahmad menunduk resah. Kali ini dia nekad untuk lebih menumpukan perhatian dalam mencari sesuap nasi untuk keluarganya. Baginya sekarang, pelajaran sudah tidak penting lagi. Kehidupan yang sempurna bagi keluarganya adalah lebih utama.
Malam itu, Ahmad keluar lagi untuk menjalankan tugasnya sebagai buruh. Dia nekad untuk bekerja lebih masa bagi mendapatkan upah tambahan. Ahmad melakukan kerjanya dengan bersungguh-sungguh. Setelah semua rakan setugasnya pulang, barulah Ahmad pulang. Ketika itu jam menunjukkan kira-kira pukul enam tiga puluh pagi.
Syafa kehairanan melihat abangnya baru pulang pada waktu itu. Bulan ini sahaja, sudah berkali-kali abangnya lewat ke sekolah. Bukan dia tidak faham tentang bebanan yang digalas abangnya, tetapi baginya pendidikan adalah lebih utama daripada segalanya. Ilmu adalah penentu hidup mereka sekeluarga.
“Lewat pulang hari ini,” sindir Syafa kepada abangnya.
“Kerja lebih, mak tak berapa sihat tu,” balas Ahmad perlahan. Dia keletihan. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia duduk di rumah sepanjang hari. Syafa menggeleng melihat abangnya. Dia bergegas menyiapkan pakaiannya untuk ke sekolah. Kalau abangnya sudah tidak mahu mementingkan pelajaran lagi, biarlah dia pula yang berusaha keras dalam bidang itu.
Ahmad merebahkan diri di atas lantai kayu rumahnya. Biarlah dia lambat lagi ke sekolah hari ini. Dia bukan robot yang boleh mengerah kudrat sepanjang masa. Ahmad terlelap sebentar. Dia kemudian tersedar kembali apabila mendengar tangisan adik kecilnya Wafa. Wafa menangis ingin dibelikan beg sekolah yang baru. Afiq yang berada di sudut ruang tamu rumah mereka hanya tertunduk. Tidak tahu bagaimana mahu menenangkan adik yang hanya berjarak dua tahun dari usianya itu.
Ahmad mengeluh panjang. Keadaan sebegini membuatkan hidupnya lebih tertekan. Kalau boleh, dia mahu memutarkan masa agar bergerak dengan lebih pantas supaya adik-adiknya akan lebih cepat membesar dan memahami desakan hidup keluarga mereka. Walaubagaimanapun, Ahmad tidak cepat melatah. Dia berjanji kepada Wafa untuk membelikannya sebuah beg sekolah baru apabila dia mampu kelak.
Setelah tangisan Wafa reda, Ahmad lekas menyiapkan diri ke sekolah. Setibanya di sekolah, Zuhdi memandangnya dengan pandangan simpati. Ahmad tidak menghiraukan pandangan tersebut. Pada waktu rehat, Zuhdi cuba mendampingi Ahmad.
“Kau ada masalah ke Ahmad? Aku lihat kau semakin kerap datang lambat ke sekolah. Buku-buku sekolah juga tidak kau bawa ke sekolah,” tanya Zuhdi, perihatin.
“Entahlah Zuhdi, hidup aku seperti biasa saja. Tidak pernah lekang dek masalah,” jawab Ahmad kembali.
Zuhdi mengangguk tanda memahami. Dia dapat merasakan keperitan Ahmad yang terpaksa menggalas pelbagai bebanan. Mak Miah yang sudah bertahun bekerja di rumahnya juga sudah dianggap seperti ahli keluarganya sendiri. Kadang-kadang dia bersimpati dengan nasib Mak Miah. Ayahnya, Datuk Ismail, walaupun seoarang usahawan berjaya, langsung tidak mengambil peduli akan kehidupan pekerjanya. Upah yang diberikan pula adalah sangat sedikit berbanding sepatutnya.
*****
Satu semester berlalu, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang bakal diduduki Ahmad kian hampir. Syafa semakin bimbang. Belakangan ini, abangnya sudah mula tidak kelihatan di sekolah. Ketika dia bangun untuk ke sekolah pada waktu pagi, abangnya masih belum pulang daripada tempat dia bekerja. Kalau berterusan begini, Ahmad tidak akan mampu untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Syafa sudah beberapa kali menegur, namun tidak dihiraukan Ahmad. Bagi Ahmad, Syafa masih belum matang dalam memikirkan soal kehidupan mereka sekeluarga. Ahmad bukan mengabaikan pelajaran dengan sengaja, bahkan untuk membaiki taraf kehidupan mereka juga.
Mak Miah pula hanya mendiamkan diri. Dia membiarkan anak-anaknya membuat keputusan sendiri. Dia tahu, setiap keputusan yang dibuat oleh Ahmad mahupun Syafa adalah untuk kemaslahatan keluarga mereka juga. Cuma yang berbeza adalah pemikiran mereka sahaja. Dia juga tidak mahu masuk campur dalam urusan tersebut. Pelajarannya tidaklah setinggi mana untuk menentukan masa depan anak-anaknya.
Di sekolah pula, cikgu-cikgu mulai risau akan prestasi Ahmad. Ahmad semakin kerap tidak hadir ke sekolah. Kalau hadir pula, dia akan sentiasa tidur di dalam kelas sewaktu guru mengajar. Perubahan ini jelas kelihatan di mata guru-guru dan teman rapatnya. Cikgu Hanani tidak henti-henti menyarankan Zuhdi, teman baik Ahmad agar sentiasa memberikan semangat kepada Ahmad.
Sebagai sahabat yang memahami, Zuhdi seringkali menasihati Ahmad supaya lebih menumpukan perhatian terhadap pelajarannya. Namun demikian, segala nasihat yang dilontarkan hanya ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Ahmad masih teguh dengan pendiriannya. Dia perlu membanting tulang membantu ibunya menampung kehidupan keluarganya. Pelajaran adalah soal kedua baginya.
*****
Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah akan diadakan keesokan harinya. Ahmad kelihatan tenang. Malam itu Ahmad berdoa bersungguh-sungguh agar Allah mempermudah segala urusannya. Dia tidak mengharapkan kejayaan setinggi gunung, cuma harapannya agar dia tidak mengecewakan sesiapa hasil keputusan peperiksaan itu kelak. Syafa juga turut berdoa meminta ampun dan memohan supaya Allah menenangkan hati abangnya dan mempermudah segala urusannya pada keesokan hari. Walaupun terselit rasa kecewa atas sikap abangnya yang tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh, doa Syafa terhadap kejayaan abangnya tidak pernah putus.
Dua bulan berlalu. Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang diduduki Ahmad akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Ahmad menanti penuh resah.
Pada hari pengumuman keputusan tersebut, Ahmad berjalan ke sekolah sendirian dengan perasaan berdebar. Soalan yang dikemukakan tempoh hari tidak dapat dijawab dengan baik. Banyak pelajaran yang dia telah ketinggalan. Ahmad melihat ke arah papan kenyataan yang tertera keputusan peperiksaan bagi murid-murid di sekolahnya. Beberapa saat kemudian, dia menunduk malu. Ahmad gagal dalam peperiksaan tersebut. Dia gagal dalam empat mata pelajaran.
Zuhdi yang berada di sebelahnya mengingatkan agar Ahmad redha dengan keputusan yang diberi. Dia tidak mahu Ahmad menyalahkan sesiapa atas kegagalan tersebut. Ahmad hanya mengangguk tanda memahami. Saat itu, tiada perkataan yang boleh diungkapkan bagi menggambarkan perasaanya.
Petang itu, Ahmad termenung di jendela rumahnya sambil memerhatikan adik-adiknya, Haziq, Nadia dan Afiq bermain di halaman rumah. Tanpa disedari, setitis demi setitis air mata jatuh dari kelopak matanya. Mak Miah dan Syafa yang sedang berada didapur simpati melihat keadaan Ahmad. Mereka tidak mampu bekata apa-apa. Mereka sedar Ahmad telah mengorbankan pelajarannya dalam memastikan mereka mendapat kehidupan yang baik. Sebagai anak sulung, Ahmad tidak pernah bersikap lepas tangan terhadap adik-adiknya.
Ahmad mendongakkan mukanya. Air mata yang mengalir dibiarkan bercucuran. Selama ini dia telah tersilap langkah. Setelah gagal mendapatkan keputusan yang baik, barulah Ahmad sedar dia tidak akan mampu membawa perubahan yang lebih baik kepada keluarganya tanpa ilmu di dada. Dia mula bersetuju dengan adiknya, Syafa. Ilmu adalah penentu hidup mereka. Ahmad juga cemburu akan kejayaan Zuhdi yang berjaya menempatkan diri di sekolah berasrama penuh. Peluang untuk Zuhdi melanjutkan pelajaran ke universiti kelak adalah lebih tinggi berbanding dirinya yang serba kekurangan.
Azan Maghrib berkumandang. Sebelum bergegas untuk menyempurnakan solat fardunya, Ahmad memanggil adik-adiknya yang sedang bermain untuk turut naik ke rumah dan solat bersama-sama. Usai solat berjemaah, Ahmad memberikan sedikit tazkirah kepada seluruh ahli keluarganya. Dia mengingatkan agar adik-adiknya sentiasa bersabar dalam menempuh ujian hidup kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Syafa di belakang mengangguk faham. Mak Miah yang diam seribu bahasa itu pula mengakui kebenaran kata-kata anaknya di dalam hati. Dalam diam, dia kagum dengan anak sulungnya itu. Adik-adiknya yang lain pula kelihatan tekun mendengar. Ahmad mahu menanam sikap tersebut terhadap adik-adiknya dari kecil, sesuai dengan kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
*****
Tahun baru menjelma lagi. Ahmad sudah memasang tekad untuk berusaha bersungguh-sungguh di dalam pelajaran. Dia nekad untuk berjaya di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang akan didudukinya di tingkatan lima kelak. Ahmad masih meneruskan pekerjaan sampingannya. Namun, dia kini lebih bijak membahagikan masa antara pelajaran dan pendapatan. Adik-adiknya sudah mulai faham akan desakan hidup mereka atas usaha Ahmad yang sering mengingatkan adik-adiknya supaya sentiasa bersabar dan bersyukur dengan nikmat yang diperolehi. Tazkirah yang diberikannya pada setiap malam usai solat Maghrib berjemaah benar-benar meresap ke jiwa adik-adiknya.
Di sekolah pula, cikgu-cikgu kagum dengan perubahan positif Ahmad. Cikgu Hanani, guru kelas Ahmad sentiasa memberikan kata-kata perangsang agar Ahmad terus bersemangat dalam mencari kejayaan. Walaupun tanpa sahabat baik di sisi, Ahmad masih boleh belajar dengan bersunguh-sungguh.
Mak Miah dan adik-adik Ahmad juga turut memberi sokongan kepadanya dalam meneruskan pelajarannya. Kehidupan Ahmad kini jauh lebih tenang berbanding dahulu. Selain menyedari matlamat dan tujuan hidupnya, Ahmad juga lebih banyak mendekatkan diri kepada Allah. Jika sebelum ini Ahmad menghabiskan waktu malamnya dengan memerah keringat mencari pendapatan, kini Ahmad menghabiskan malamnya bersama adik-adiknya dalam mendekatkan diri kepada tuhan yang maha esa. Setiap malam mereka akan berdoa agar Allah membantu mereka dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini.
*****
Nama Ahmad diumumkan oleh pengerusi majlis. Ahmad tersedar dari lamunannya. Kini giliran dia untuk naik ke pentas mengambil segulung ijazah daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. Ahmad bukan sahaja berjaya menamatkan ijazahnya sebagai mahasiswa perubatan, malah turut dinobatkan sebagai mahasiswa terbaik di universiti yang didudukinya. Ketika berjabat tangan sebelum mengambil gulungan ijazahnya, jiwa Ahmad dipenuhi dengan perasaan terharu dan gembira. Di bawah pentas, kelihatan Mak Miah serta adik-adiknya menyaksikan saat yang berlalu itu dengan penuh kegembiraan.
Ahmad berulang kali mengucap syukur ke hadrat ilahi. Dia berazam untuk memastikan setiap adik-adiknya mendapat pendidikan sempurna. Syafa kini berada di tahun tiga mengambil jurusan ekonomi di Universiti Malaya. Dengan izin Allah, Syafa akan menjadi pakar ekonomi terkemuka dunia suatu hari kelak. Ahmad juga sedar bahawa Allah telah menjadikan setiap sesuatu itu dengan hikmah di sebaliknya. Jika suatu masa dahulu dia tidak pernah mengalami kegagalan, dia juga mungkin tidak akan mengecap kejayaan yang diperolehi sekarang. Sesungguhnya, di dalam Al-Quran ada menyebut bahawa manusia merancang, dan Allah juga merancang. Namun perancangan Allah jualah yang terbaik.
0 ulasan: