Aku suka benar dengan suara ombak yang memukul pantai. Suara yang mewujudkan ketenangan di dalam atmaku. Subhanallah, sungguh indah ciptaan Allah, hatiku berbisik. Aku perhati gunung yang terpasak indah, laut yang terbentang luas dan langit yang berarak di atas kepalaku tanpa memerlukan tiang untuk meneguhkannya. Sesungguhnya benarlah, Dia-lah yang Maha Pencipta. Jika dibandingkan dengan penciptaan manusia yang sering dipuji kerana kecanggihannya, ciptaan Allah jauh lebih sofistikated dari apa-apa pun. Tiada angka yang boleh membandingkan ciptaanNya dengan ciptaan hambaNya yang kerdil. Perbandingan yang infiniti.
Hobi aku ialah memerhati. Aku suka melihat gelagat manusia dari pelbagai bangsa dan agama. Kemudian, aku sentiasa mengaitkan kehidupan seseorang dengan kehidupan orang yang lain. Bagaimana tuhan telah menetapkan takdir kehidupan seseorang dari pelbagai cara. Bagaimana tuhan telah menjadikan tiap-tiap manusia dengan latar belakang kehidupan yang lain. Kemudian, Dia tempatkan kita semua dalam satu tempat yang sementara. Bumi.
Aku memeluk kakiku dengan lebih rapat apabila seluruh badanku mulai terasa sejuk. Angin yang pada mulanya lembut menyentuh kulitku, kini terasa kuat. Namun,aku masih duduk membatu memerhati kawasan sekeliling.
“Shafiyah … “ kedengaran suara memanggil aku dari belakang.
Lalu, aku menoleh ke belakang. Sejurus sahaja aku melihat air muka seorang insan yang aku kenali itu, aku terjerit kecil dan serta merta memeluknya dengan erat.
“Apa khabar?.” katanya pelat. Dia masih kekok dengan Bahasa Melayu.
“Bila awak sampai di Malaysia? Kenapa awak tidak beritahu saya dahulu? ”tanya aku bertindan-tindan.
“Saya baru sampai.” katanya sambil merenung ke arah matahari yang akan terbenam sekejap sahaja lagi. Aku berasa hairan dengan riak muka wajahnya. Aku cuba menterjemahkan ekspresi muka itu. Namun, gagal.
Dia mengukir senyuman kepadaku. ”Saya sudah buat keputusan.” dia mengeluh kecil namun di sebalik keluhan itu terselit satu perasaan yang puas dengan keputusan yang dibuatnya.
”Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.”
Di belakangnya, ada seorang insan yang aku kenali juga mengucapkan salamnya kepadaku.
***
“Saffy, kamu ada apa-apa rancangan hari ini?” tanya ibuku sambil sibuk menyiapkan sarapan pagi.
Aku menggeleng-gelengkan kepalaku supaya sedar dari tidur dan menggosok-gosok mataku. Aku merebahkan badan aku di atas sofa yang terletak di tengah ruang tamu kondominium kepunyaan ibuku itu dan merenung ke arah kaca televisyen yang dibuka oleh ibuku baru sahaja tadi. Seorang wanita 20an memakai jaket fesyen ala bohemian itu muncul dari kaca televisyen itu. Berambut perang diikat tidaklah begitu kemas dan jaket yang dipakainya lusuh namun tidak serabai. Wanita itu mengkomersialkan lukisan-lukisannya secara tidak langsung di Muzium Seni yang terletak berdekatan dengan Edinburgh, London.
”Oh, Mary.” kata ibuku sendirian.
Aku mengerutkan dahiku sambil membetulkan kedudukanku setelah ngantukku sudah hilang. Setahu aku, ibu tidak pernah cerita tentang perempuan itu, getus hatiku. Ibu selalu menceritakan kepadaku mengenai kehidupannya di United Kingdom terutama sekali orang-orang yang dia kenal di sini. Tambahan pula, ibu bekerja sebagai pengurus syarikat bisnes yang tiada kena-mengena dengan bidang seni walau sedikitpun. Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal itu.
”Dia anak saudara kawan rapat ibu sejak dari dahulu lagi. Mary, Mary Sylvester. Pelukis impressionisme yang boleh dikatakan popular dan berpengaruh di sini.” kata ibuku spontan seperti memahami perkara yang bermain-main di fikiranku.
Ibuku terus mengacau air kopinya seraya berkata ”Tapi dia lain sikit.” Kopi ibuku diminum walaupun masih hangat. Aku hanya diam tidak memberi sebarang respon kerana kurang faham dengan maksud sebenar ibuku.
”Jadi ?” Ibu memandangku seperti menunggu jawapan dariku.
Aku membesarkan mataku kepadanya sebagai tanda tidak faham dengan ibu. Ibuku hanya menggeleng lalu mengajak aku untuk bersarapan.
”Jadi apa ibu?” aku duduk di hadapan ibuku dan tersenyum sejurus melihat sarapan yang ibuku sediakan. Roti sandwich kegemaranku dan susu panas.
”Kamu ada rancangan tak hari ini?” kata ibuku sambil menghulurkan pinggan kepadaku.
”Oh, ada” jawab aku konfiden.
”Saffy mahu berjalan-jalan di sekitar kawasan sini sahaja ibu. Tak mahu pergi jauh-jauh. Lagipun, ibu sibuk bukan?. Abang Hakim pula tak sampai lagi. Jadi, ibu usah bimbanglah dengan Saffy, Saffy sudah besar. Saffy boleh bawa diri.” senyum aku kepadanya untuk menyenangkan hati ibuku sedikit. Aku mahu dia tahu bahawa aku sudah matang dan pandai untuk bawa diri walaupun di tempat orang.
***
”Balqis, tak bolehkah sekali sahaja. Sekali sahaja kau cuba jadi seorang anak untuk aku.” rayu Datuk Ris memicit-micit dahinya yang kian runsing.
Balqis tercegat di depan pintu rumah itu dan membiarkan air mata membasahi pipinya. ”Ayah, sudah enam belas tahun, enam belas tahu Balqis jadi anak ayah. Pernahkah dalam masa satu minit pun, ayah memainkan peranan ayah ... sebagai seorang bapa?” Balqis merenung ke mata ayahnya yang gila dengan harta itu.
”Kalau ayah beriman dengan dunia, ayah puaskanlah hati ayah dengan kemewahan yang sementara itu. Tetapi, kalau ayah beriman dengan akhirat, ayah hanya akan peduli dengan suruhan Dia.” Balqis mengesat air matanya.
Datuk Ris membisu. Balqis mengangkat beg rodanya dan keluar dari rumah banglo yang terletak di tengah-tengah kawasan perumahan elit itu.
”Balqis, kau mahu pergi?” suara itu mengejutkan Balqis. Balqis pusing ke belakang dan tidak berkata apa-apa.
”Aku cuma mahu beritahu kau sesuatu, nak” Pak Mat berkata perlahan. ”Kakak kau ... ” Pak Mat, pemandu ayahnya yang sudah bekerja selama 7 tahun di situ terhenti.
***
”One ticket for Chambers Street, please.” kata aku kepada penjual tiket itu. Sejurus sahaja tiket itu berada di tangannku, aku menuju ke LRT yang berkenaan. Aku memasukkan tanganku kedalam poket jaket hitamku dengan harapan tanganku tidak akan beku kesejukkan.
”Ah, lupa nak bawak sarung tangan pula.” getus aku sendirian. Aku baru sahaja dalam proses membiasakan diri dengan cuaca sejuk ini. Amatur.
Aku berdiri memegang besi yang berhampiran dengan pintu LRT agar mudah untuk aku keluar dari kesesakan di dalam LRT itu. Ibu kata Chambers Street merupakan salah satu tempat yang terkenal dengan kebudayaan dan kesenian masyarakat kota ini. Oleh itu, aku mengambil keputusan untuk menjenguk tempat ini sambil meluaskan paradigma kehidupan aku. Aku sudah melewati negara Dubai, Itali dan juga Korea. Namun, dalam banyak-banyak tempat yang aku sudah jejaki, Mekkah merupakan tempat yang paling mulia. Tempat yang membuat aku mahu pergi ke situ sekali lagi dan berkali-kali.
Di Mekkah, aku menunaikan umrah bersama nenek, kakak dan abangku. Aku berpeluang berjumpa dengan Datin Sari dan 2 anak lelakinya. Pada satu hari, Datin Sari pernah berkata kepadaku bahawa dia sudah berkali-kali menjejaki Tanah Haram ini bersama anaknya. Dia juga menambah bahawa dia bangga sekiranya berpeluang mendapat anak seperti aku. Aku bertanya kepada dia akan alasan harapannya itu. Dia menjawab bahawa anaknya sendiri malu untuk keluar melancong bersama ibunya sendiri, apatah lagi dengan neneknya. Tetapi, aku, aku tidak. Datin lihat aku melayan nenek aku dengan baik sekali.
”You are now at Chambers Street.” suara perempuan yang seakan robot itu membangunkan aku dari lamunan tadi. Aku dengan segera mencari jalan yang kosong untuk keluar dari lembah kesesakan itu.
”Excuse, excuse me” dalam beberapa langkah sahaja untuk keluar dari kenderaan bergerak itu, kaki kiriku seakan tertanam ke dalam tanah dan badanku tidak tertampung lalu rebah jatuh tersungkur.
”Ah ... ” aku terjerit kecil. Dagu aku terasa sakit.
Pemuda yang berdiri di sebelah pintu itu ketawa terbahak-bahak. Mukaku merah menahan malu. Rupanya, dia sengaja meletakkan kakinya agar kakiku tersadung.
”Hey snoopy head, don’t you know how to walk? Where is your god anyway. The one that you think will help you if you get stuck.” pemuda itu ketawa sekali lagi.
”He’s busy finding your brain.” aku memanggung kepalaku mencari tuan kepunyaan suara itu. Pemuda itu terdiam. Wanita yang berkata itu menghulurkan tangannya lalu mengukir senyuman kepadaku. Pintu LRT itu tertutup.
***
Wanita itu menghulurkan secawan kopi kepadaku dan sekeping plaster. Aku teragak-agak untuk menerima kopi itu.
”Don’t worry, I bought the coffee from the nearby shop. Mya shop, an Indonesian shop” dia berkata spontan lalu duduk di tepiku. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya dan terus mengenakan plaster itu ke atas dagu yang cedera tadi.
”Are you from Indonesia?” dia yang berambut perang itu bertanya. Aku menggeleng. Masih terkilan dengan kejadian tadi.
”Malaysia, then?” dia meneka sekali lagi. Aku tersenyum mengangguk.
”Kalau begitu, baguslah.” dia berkata pelat. Aku terpangah.
”Kamu boleh berbahasa Melayu?” aku sudah mula bercakap.
”Ya, tapi tidak ... cekap sangat” dia tersengih.
”At least, I have malay friends to talk to. Betul?” perkataan ’kawan’ yang diujarkannya itu seakan-akan aku sudah menjadi kawannya.
”Saya Mary, Mary Sylvester.” dia menghulurkan tangannya kepadaku sebagai salam perkenalan. Aku terpangah sekali lagi.
***
”Kakak kau ... terpaksa berkahwin dengan Ikmal. Dia tiada pilihan lain. Salah seorang daripada kamu berdua harus berkorban. Sama ada kau atau dia yang menjadi bahan pengikat dalam perhubungan perniagaan yang ayah kau rancang tu. Dia terpaksa. Dia mahu kau kejar impian kau. Dia tidak mahu kau jadi seperti dia.” suara Pak Mat terngiang-ngiang di telinganya. Walaupun sudah beberapa belas tahun sudah berlalu, dia masih terbayang-bayang dengan nostalgia hidupnya. Balqis mengeluh dan merenung jauh ke luar tingkap kapal terbang MAS itu.
”Cik...” Balqis memandang ke arah suara itu.
”Cik mahu menu makanan apa? Hari ini kami ada ...” belum sempat peragawati itu menghabiskan ayatnya Balqis sudah menggeleng-geleng kepalanya.
”Tolong berikan saya secawan kopi sahaja. Tanpa susu dan satu sudu gula merah.” Peragawati itu turut sebagai layanan yang baik kepada penumpang penerbangan kelas satu itu. Balqis cuba menenangkan hatinya kembali dan cuba untuk melenyapkan memori lama.
***
”Oh, nama kamu Shafiyah.” ujar perempuan berkulit kuning langsat itu.
”Mm’mmh” aku mengangguk.
”Kamu ingat kisah isteri Rasulullah, Shafiyah Huyai. Seorang gadis quraisy yang memeluk agama islam dan diambil sebagai isteri Rasulullah.” kata Mary lagi.
”Sudah pasti. Anak perempuan kepada ketua kabilah Bani Nadhir. Siapa sangka, takdirnya untuk menjadi isteri Rasulullah.” aku menjawab.
“Aku juga berminat dengan kisah Nabi Sulaiman dan Puteri Balqis.” katanya lagi.
Aku tergelak dan memandang ke arahnya. “Kamu lain, ya, kamu sangat lain. Sebagai seorang pelukis impressionisme di sini.” kata aku.
“Jadi, kamu sudah tahu saya artis.”
“Ya, saya nampak kamu di televisyen pagi tadi.”
“Kehidupan saya bukan seperti artis yang lain. ‘Mereka’ semua sudah tahu cara hidup saya. Ada yang memandang rendah ada juga yang menyokong. Lumrah kehidupan”
“Bahasa Melayu kamu tidaklah teruk sangat. ” aku menukar topik perbualan.
“Terima kasih.”
Aku meneguk kopi yang suam itu. Cuaca kian menjadi sejuk. Tambahan pula, bulan ini bulan November. Musim salji mulai dekat.
“Marilah, saya jadi ‘tour guide’ kamu untuk satu hari. Mahu?” kata dia.
“Kamu… memang sudah rancang untuk ambil saya.” tiba-tiba sahaja aku membuat spekulasi.
Mary mengangkat keningnya. “Bagaimana kamu tahu?”
“Saya boleh baca fikiran orang.” jawab aku dengan nada sindiran. “Jadi, apa destinasi kita yang pertama?”
“Muzium aku.”
***
“Ah, lukisan ini.” aku meluruskan jari telunjukku kearah lukisan yang menggunakan cat arklik di atas kain kanvas itu. Lukisan itu tergantung di tengah-tengah salah satu daripada bilik muzium itu.
“Kisah seorang perempuan yang terpaksa menjadi seorang geisha di Jepun. Yukino. Aku jumpa dia masa aku melancong Jepun. Dia merupakan salah seorang geisha. Aku dapat ilham untuk buat lukisan ini daripada dia.” terang Mary panjang.
Aku mengangguk dan memerhati lukisan itu satu persatu butir-butir dan perincian yang ada dalam lukisan itu. Selain daripada lukisan itu, aku juga tertarik dengan lukisan dia yang menerapkan aspek kebebasan dari segi mentaliti.
“Aku rasa Islam itu sungguh mudah.” kata Mary. Aku seperti tidak percaya dengan kata-kata yang dia ucapkan. “Agama yang sempurna tetapi malangnya, kadang-kadang ada penganutnya yang tidak.” tambah dia.
“Dari mana kamu belajar semua ini?” tanya aku sambil membetulkan kaca mata aku.
Dia tersenyum. “Ibu aku seorang muslim tetapi ayah aku kristian. Mereka bercerai semasa aku dua tahun. Aku terpaksa tinggal bersama ayahku.”
***
“Waalaikumussalam.” aku menjawab salam Balqis dan merafakkan kesyukuranku kepadaNya atas keislaman Mary baru sahaja tadi.
“Tak sangka masa berlalu dengan pantas. Seperti baru sahaja aku berada di sana.”
“Masih ingat bagaimana kita berjumpa?” tanya Balqis secara tiba-tiba.
“Ya” jawab aku ringkas.
Soalan Balqis itu seakan memutar mesin masa di mindaku. 20 November, aku terjerempak dengan Balqis semasa aku menjemput abangku, Hakim di Lapangan Terbang United Kingdom. Seorang gadis yang berdikari dan tabah pernah aku jumpa. Secara kebetulan, Balqis juga ada kaitan dengan Mary. Balqis bekerja di salah satu Syarikat Malaysia dan bertugas sebagai Financial Controller. Mereka bekerjasama dalam menjalankan satu perniagaan.
Dahulu, Balqis merupakan seorang anak usahawan yang terkenal. Walaupun kehidupannya yang mewah, namun dia enggan menggunakan sesen pun duit ayahnya setelah mengetahui sumber wangnya tidak halal. Balqis cuba menyedarkan ayahnya agar tidak mengejar kehidupan di dunia. Namun, ayahnya tidak pernah mengambil peduli dengan kata-katanya. Itulah salah satu sebab penceraian ibu bapa Balqis berlaku.
“Ya, banyak sungguh memori di Edinburgh sana bukan? Seperti kita telah ditakdirkan berjumpa di situ. Dunia ini sungguh besar.” kata Mary sambil membaling batu ke arah pantai.
Aku dan Balqis berpandangan sesama sendiri dan serentak ketawa sinis.
“Dunia ini kecillah.” Balqis membetulkan Maryam. Raut muka Maryam yang pada mulanya kehairanan itu berubah kemerahan.
0 ulasan: