Cahaya ?: Aiman Hafidz
9:11 PTG | Author: Idris Bin Saleh
CAHAYA?

Alunan syahdu bacaan ayat-ayat suci al-Quran sayup-sayup didengari. Mata Kamal dibuka dengan perlahan-perlahan seperti bayi yang baru pertama kali membuka dan menatap dunia. Satu firasat di lubuk hatinya menyatakan bahawa dia baru bangun dari tidur yang lama. Dia masih mendengar bacaan al-Quran yang dibaca dengan nada sedih.

“Aku tahu suara ini,” bisik hatinya. Lantas dia menoleh ke arah sumber suara itu dan mendapati ibunya sedang membaca surah Yasiin dengan air mata yang tidak boleh berhenti mengalir. Kamal kebingungan. Dia melihat kawasan sekelilingnya. Perasaan terkejut menyelubungi jiwa nya apabila mendapati dirinya terlantar di atas katil hospital. Satu impasan menerpanya. Ingatannya tentang apa yang telah berlaku datang kepadanya dengan sekelip mata.

“Hahahahaha! Kemenangan di tanganku!” jerit Kamal sambil memecut motornya dengan laju tanpa melihat kereta-kereta yang hampir melanggarnya. Matanya hanya dapat melihat duit dan perempuan yang akan diraihnya apabila menang perlumbaan ini. Bam! Darah mengalir seperti sungai. Kamal tidak dapat rasa kakinya mahupun tangannya. Kesakitan menguasai badannya. Matanya melihat segala perbuatan yang pernah dia lakukan. Seakan-akan seperti satu filem tentang hidupnya dimainkan dengan sepintas lalu di depan matanya. Matanya pejam. Perkara yang seterusnya dia ingat ialah dirinya terlantar di katil hospital. Dia menoleh ke arah ibunya.

“Sudah berapa lama adik di sini, mak?” Tanya Kamal. Ibunya yang berpakaian serba sederhana tidak terus menjawab. Dia amat terkejut sehingga tidak ada sehuruf pun keluar dari mulutnya. Alangkah gembira hatinya apabila melihat anaknya yang sudah sekian lama terlantar di hospital bangun secara tiba-tiba. Tanpa memberi apa-apa amaran. Kamal mula hilang sabar.

“Mak…Kamal tanya elok-elok ni..” Tiba-tiba pertanyaannya dipotong.

“Mak, Kak Tipah, Angah, Nizam! Cepat masuk! Adik sudah bangun!” Jerit ibunya tanpa menghiraukan pertanyaan anaknya. Dalam sekelip mata empat manusia telah memasuki blik itu. Nenek Kamal, Makcik Fatimah, Pakcik Husyen, dan sepupunya, Nizam terpaku tanpa mengata apa-apa. Mereka kelihatan seperti baru melihat orang yang mati hidup balik.

“Adik...ini memang adik kan?” tanya Fatimah sambil menunding jari ke arah anak saudaranya. Kamal hanya mengangguk.

“Dah berapa lama adik terlantar di sini?”

“Lapan bulan, dik” jawab ibunya, Junaidah. Mata Kamal terbeliak. Mulut terlopong besar. Ibunya Nampak dengan jelas sekali riak muka anaknya yang seperti tidak percaya kata-kata yang keluar dari mulutnya. Lantas Kamal bangun dengan tergesa-gesa seperti mahu mengejar emas yang berjalan di depan matanya.

“Aduh!” badan Kamal menjunjung lantai. “Kenapa ni!?!? Tak mungkin sudah koma lapan bulan kakiku masih sakit!?” keluhnya. Kaum kerabatnya yang ada di situ terus mengangkatnya dan ibunya seraya berkata, “Sabar dik, doktor cakap lagi dua minggu baru adik boleh keluar.”

“Kenapa begitu? Sudah empat bulan adik buang masa di sini. Adik tidak boleh sabar lagi!” Ibunya tunduk dan bermonolog dalam hatinya ‘Adik masih tidak berubah…..dia masih tidak bersyukur seperti biasa’. Melihat keadaan makciknya yang hampir mengalirkan air mata, Nizam meniggikan suaranya.

“Kenapa dengan kau ni!? Hampir mati pun tak insaf-insaf lagi! Kau tak sedar ke bahawa ini adalah azab Allah kerana kau melanggar perintahnya!? Solat entah ke mana, bergaul bebas, rempit pulak tu!” Hati Kamal panas membara darahnya seperti air yang mendidih

“Kau siapa nak nak tegur-tegur aku! Hidup aku, hidup aku la! Kubur aku, kubur aku la! Lagipun aku mana main rempit-rempit, pamdai-pandai sahaja fitnah aku!!” Ayat yang dilemparkan kepada Nizam merupakan ayat yang sama Ustaz Yahya cakap.

“Jika kita tegur orang dengan cara yang salah, mereka tidak akan menghiraukan teguran kita, malah ada sesetengah golongan yang akan memarahi kita balik dengan ayat-ayat yang biasa didengari seperti ‘hidup aku, aku punya pasal la’ dan ‘kubur aku, kubur aku. Kubur kau kubur kau. Kau risau tentang kubur kau sendiri la.’”

“Sudah kamu berdua!” sampuk Pak Cik Yahya. “Tak habis-habis gaduh. Kamal, kamu masih sakit lagi, pergi rehat.”

Ingatan Nizam mati. Sejurus mendengar sampukan ayahnya, dia keluar dari wad itu. Kamal pula baring semula atas katil. Dia melelapkan matanya.

***

Tap, tap, tap. Pintu wadnya diketuk.

“Masuk” kata Kamal dengan nada biasa. Empat manusia masuk. Kamal terkejut melihat tetamu-tetamu yang memang rapat dengannya muncul di depan matanya.

“Assalamualaikum,” sapa salah seorang daripadanya.

“Eh, Daus, Man, Wan, Tam. Apa cerita kau sekarang?”

“Assalamualaikum,” kata Aman sekali lagi.

“Hahahahaha…kau memang pandai buat lawak la…” jawab Kamal sambil ketawa. Perasaan keliru jelas terpancar pada wajah mereka.

“Kenapa kau ketawa dan tak jawab salam Man? Jawab salam wajib bukan?” kata Rostam.

“Mentang-mentang aku sakit lagi kau semua nak mempermainkan aku pula. Sejak bila kau tau wajib, halal, dan haram?? Sebelum ini tak pernah bagi salam pun.”

Mereka berempat memandang sesama sendiri. Kamal merasakan bahawa sesuatu telah berlaku. Tetapi dia tidak menghiraukannya. Mereka berbual lama seperti kawan yang baru berjumpa setelah bertahun-tahun terpisah. Gelak ketawa mewarnai wad yang sebelum ini hitam putih. Kamal mula memasuki topik yang digemarinya, yakni lumba haram. Berang membakar hatinya kerana dia telah meninggalkan perbuatan yang ‘membunuh diri’ itu lebih empat bulan.

“Apa cerita geng kita sekarang? Banyak menang tak? Kalaulah kereta sial itu tidak melanggarku, aku tak akan ketinggalan empat bulan perlumbaan.” Soalannya tidak dijawab dengan cepat. Sunyi menguasai wad itu buat beberapa saat.

“Apa yang kau maksudkan?” tanya Firdaus mengerutkan mukanya.

“Tentang ‘racing’ la. Berapa banyak kiti menang selama aku koma?” kata Kamal. Kawan-kawannya berbisik sesame sendiri. Kini Kamal yakin bahawa sesuatu memang telah berlaku, dan ‘sesuatu’ itu tidak akan menguntungkannya sama sekali.

“Jawab la!” hati Kamal naik berang.

“Benginilah..” mula Wan.

“Kami sudah meninggalkan perbuatan bahaya dan tidak berfaedah itu…” katanya dengan tenang. Tetapi kata-katanya dipotong sepantas kilat oleh Kamal.

“Ha!? Apa!? Telinga aku ni masuk habuk ke? Aku rasa aku dengar kau cakap kau dah berhenti ‘racing’. Hahahaha…ulang semula. Percakapan kau tak beberapa jelas.”

“Ya, memang, ker..” tutur kata Wan dipotong sekali lagi.

“Apa kena dengan kau semua!? Buang tabiat? Kau semua tahu kan rempit merupakan hidup kita. Takkan empat bulan aku pergi kau semua dah lupa prinsip kita!?” Jerit Kamal. Empat kawannya tidak mengeluarkan sepatah pun. Mereka sudah sangka inilah respons yang akan dilemparkan kepada mereka.

“Kau semua sudah lupa ke jasa aku? Berempit dan menang dalam ‘racing’ telah membawa durian runtuh kepada kita. Beratus-ratus kita dapat seminggu. Perempuan pun beratur untuk kita. Semua ini adalah hasil usahaku. Akulah yang membawa kau semua kepada nikmat hidup yang sebenar!” Sambung Kamal dengan nada yang tinggi.

“Astaghfirullah. Kau tak lihat ke keadaan diri kau sekarang? Sebab rempitlah kau terlantar di sini,” kata Rostam tanpa menghiraukan tohmahan yang akan diterimanya.

“Alhamdulillah kau masih bernafas sekarang. Ini bermakna Allah masih saying akan kau dan memberi peluang kedua kepeda kau supaya kau boleh sedar akan kesilapan-kesilapan kau…” sambung Firdaus.

“Sudah! Aku tak nak dengar ceramah dari kau,” balas Kamal. Tiba-tiba pintu terbuka. Mereka semua menoleh ke arah pintu yang bergerak secara tiba-tiba itu. Ibu dan nenek Kamal masuk.

“Oh, kamu semua kawan Kamal ya? Maaflahlah jika makcik mengganggu pertemuan ni. Maklumlah, sudah empat bulan tak berborak,” sapa Junaidah.

“Tidak mengapa cik, kami pun baru habis bergelak ketawa. Lagipun kami sudah lewat menghadiri usrah ni. Kami minta diri dulu ya, cik,” kata Aman dengan wajah manis.

‘Usrah? Apa yang man merapu ni?’ bisik hati Kamal.

“Kami pergi dulu Mal, kami tunggu kau minggu depan di kolej,” Aman menoleh ke arah Kamal.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Kali ini Kamal menjawab salam mereka tanpa banyak soal. Mereka berempat pun beredar.

***

Kamal mejejak kakinya ke universiti yang sudah lapan bulan lebih dia tinggalkan. Dia sedar bahawa dia sudah ketinggalan jauh dalam matapelajarannya dan perlu menjadi dua kali ganda leih rajin daripada rakan-rakannya. Dia sedar akan semua ini.

‘Aku mesti menang racing lusa tak kira apa cara sekali pun. Aku mesti naikkan semula namaku yang sudah lapan bulan hilang. Perempuan-perempuan mesti sudah lama kebulur untuk melihat aku beraksi, hahahaha,’ inilah yang dibisik hatinya. Pelajaran hanya mampu meronta-ronta mencari tempat di hatinya.

Ramai pelajar dan tenaga pengajar kolej sangat terkejut dengan kehadirannya. Berita tentang kesembuhannya tidak sampai ke telinga mereka. Tetapi perkara yang paling mengejutkan ialah Kamal masih tidak insaf meskipun hampir dijemput maut.

***

Sayup-sayup terdengar alunan bacaan kitab suci al-Quran. Dengan mata yang separuh terbuka Kamal melihat jam di dinding bilik. Matanya terkejut apabila melihat jarum jam menunjukkan pukul empat suku pagi.

‘Kenapa Aman baca al-Quran pagi-pagi buta lagi ni,’ keluh hatinya. ‘Tak faham ke aku baru balik berlumba pukul dua tadi, hei.’ Dia pun bangun dan pergi ke bilik Aman. Dia mendapati Aman sedang khusyuk membaca al-Quran di atas katil manakala Firdaus sedang solat. Tiba-tiba keinginannya untuk meminta Aman berhenti membaca hilang. Dia tidak tahu apa puncanya. Kamal terserempak dengan Rostam di luar bilik.

“Mana Wan?”

“Dalam bilik, tengah solat Tahajjud,” jawab Rostam ringkas.

“Oh,” balas Kamal. Keadaan tiba-tiba sunyi. Masa seakan-akan berhenti bergerak. Kamal mengambil nafas.

“Apa yang sebenarnya berlaku selama aku tiada? Kenapa tiba-tiba sahaja kau semua insaf?” perasaan ingin tahu tiba-tiba menyelubungi dirinya.

“Dua minggu lepas kau koma, ada pelajar lelaki baru datang. Mukanya suci. Di tangannya sentiasa ada buku. Dialah yang telah berdakwah kepada kami..tak, kami dan ramai lagi yang lain sedikit demi sedikit. Tetapi reaksi kami dan beberapa yang lain sama seperti reaksi kau semasa di hospital. Kami dan kebanyakan yang lain tidak menerimanya. Kadang-kadang kami menengking, mengutuk, dan memarahinya. Kami selalu menjauhkan diri daripadanya,” Rostam berhenti seketika.

“Tetapi dia tidak pernah memarahi kami. Dia terus menerus berdakwah kepada kami secara langsung dan tidak langsung tanpa kami sedari. Dia menunjukkan akhlaq yang mulia. Dia menegur dengan penuh berhemah dan kadang-kadang aku sendiri rasa yang dia dapat membaca dan memahami apa sebenarnya kehendak hatiku. Kemuncaknya apabila dia mengajak kami berempat pergi berkhelah semasa cuti semester selama beberapa hari. Dia memang tahu bahawa kami memang meminatinya. Dia membawa kami ke satu kampung. Penduduk kampung itu sangat ramah dan mempraktikkan banyak sunnah Rasulullah seperti solat malam macam yang aku dan yang lain tengah buat sekarang. Tetapi yang paling menyentuh hati kami ialah kesungguhan mereka untuk menuntut ilmu. Meskipun perlu mengayuh sampan untuk ke sekolah setiap hari, mereka tidak mengeluh. Penduduk kawasan itu tahu apa tujuan hidup mereka dan mementingkan masa depan mereka. Pada awalnya, kami hanya mengikut-ikut perbuatan mereka kerana malu dan supaya tidak menjadi janggal. Tapi lama-kelamaan kami dapat rasa nikmat dan ketenangan dalam semua ini. Penduduk di situ juga…..”

“Ha, ha…..ya, ya…..” sampuk Kamal sambil menguap. Dia hanya mendengar separuh sahaja cerita Rostam.

“Kau ni cerita panjang lebar, nama dia pun kau tak cakap lagi….” kata Kamal dengan nada mengantuk.

“Khalid bin Fateh,” jawab Rostam.

“Tetapi selepas kau ditimpa kemalangan teruk takkan kau masih nak ber….,” kata-kata Rostam dipotong lagi.

“Aku tak kisah kau semua nak beribadah banyak-banyak. Tapi jangan nak pandai-pandai cakap apa yang aku perlu dan tidak boleh buat. Hidup aku hidup. Hidup kau hidup kau. Habis cerita,” kata Kamal.

“Dah lah….aku nak tidur ni…” sambungnya dan masuk bilik.

Rostam terpaku di situ. Tidak mengeluarkan sepatah pun. Hatinya berbisik dengan nada kecewa. ‘Aku tak sebaik Khalid’.

Seminggu berlalu.

“Assalamualaikum,” sapa seorang pemuda.

“Waalaikumussalam,” jawab Kamal dan menoleh kea rah sumber suara itu. Dilihatnya seorang remaja yang berpalaian bersih dan memegang buku.

‘Ni mesti budak Khalid tu. Nak dakwah kepada aku la ni,’ desus hatinya.

“Kau tak perlu nak nasihat atau dakwah aku. Aku tahu bagaimana nak uruskan hidup sendiri,” Kamal berkata dengan nada sinis.

“Eh? Ana nak belanja kau pun salah ke?” jawab Khalid dengan tenang. Senyuman manis terukir di wajahnya. Kamal tidak menolak pelawaan Daie’ itu. Mereka berborak panjang. Tetapi apabila Kamil menyentuh sedikit tentang agama Kamal berasa tidak tenang. Dia teus beredar tanpa mengata apa-apa. Keadaan ini sudah menjadi kebiasaan bagi Khalid. Dia sedar mencelikkan mata seseorang ke arah kebenaran agama Allah bukanlah perkara yang senang dan mengambil masa yang lama. Semangat Jihadnya yang tinggi merupakan tulang belakang dakwahnya.

Khalid tidak bergerak sendirian dalam dakwahnya. Dia mempunyai rakan-rakan seperjuangan yang mempunyai cinta yang mendalam terhadap Islam dan mahu melihat Islam berdiri dengan utuh dan gemilang di muka bumi ini.

Khalid tidak pernah jemu membawa Kamal ke arah cahaya Iman. Meskipun usahanya seakan-akan tidak membuahkan hasil. Setiap kali Khalid cuba untuk menarik Kamal ke arah kebenaran, dia dikutuk dan ditengking. Ada kalanya Kamal hampir menumbuk muka Khalid tetapi dihalang oleh orang ramai.

“Dah berapa kali aku cakap, aku tak perlukan nasihat-nasihat kau! Kalau nak berceramah, masjid banyak. Tak perlu nak berceramah kepadaku! Aku sudah gembira dengan kehidupanku sekarang!” Kamal menjerit ke muka Khalid. Hati sahabat-sahabat Khalid panas melihat rakan seperjuangannya ditengking depan matanya. Tetapi Khalid tidak menunjukkan keinginan untuk membalas tohmahan yang diterimanya. Mukanya tenang. Perkara sebegini sudah sebati dengan hidupnya.

“Anta tak perlu lagi nak dakwah kepada Kamal lagi, hatinya sudah tertutup. Bukankah Allah berfirman bahawa Allah tidak akan ubah nasib sesuatu kaum atau seseorang itu sehingga mereka sendiri mahu berubah?” kata salah seorang sahabatnya, Mahfuz.

“Memang betul. Tapi takkan kita nak guna firman Allah itu sebagai alasan untuk kita berhenti berdakwah??” Khalid menjawab soalan sahabatnya dengan tenang. Mahfuz menundukkan mukanya. Malu.

“Menjadi tanggungjawab kepada kita untuk membawa umat manusia ke arah cahaya kebenaran, yakni cahaya Islam. Sama ada orang yang didakwah itu terima atau tak bukan perkara untuk kita persoalkan. Kita hanya melaksanakan amanah yang diberikan Allah dan Allahlah yang member hidayat kepada siapa sahaja yang dikehendakiNya,” sambung Khalid lagi. Muka Mahfuz sudah merah padam.

“Maafkan ana. Lupakan apa yang ana cakap tadi,” Mahfuz menjawab dengan nada malu.

“Tak apa. Tak perlulah kita mengungkit perkara ini pada masa hadapan.”

***

Kamal terjaga pada dua per tiga malam. Dia pun terus keluar dari biliknya.

‘Sudah lebih enam bulan mereka mengaji dan solat pada tengah-tengah malam,’ bisik hatinya sambil melihat empat rakan yang tinggal di apartment sewa yang sama sedang solat atau menbaca al-Quran. Dia semakin tertarik dengan amalan mereka. Dia sering terjaga apabila rakan-rakannya beribadah pada malam hari. Dia sudah tidak mengeluh lagi apabila amalan rakan-rakannya mengejutnya secara tidak sengaja. Tanpa disedarinya, hatinya semakin menerima perbuatan rakan-rakannya. Dia merasai satu suasana yang sungguh menenangkan apabila melihat kawan-kawannya beribadah dengan penuh khusyuk.

‘Apa yang sudah terjadi padaku ini? Apakah perasaan ini? Tak pernah aku rasa ketenangan sebegini dalam hidupku,’ soal hatinya yang runsing. Dia terus tidur semula.

“Kau nak apa lagi, ustaz?” jawab Kamal apabila Khalid menyapanya.

“Ana cuma nak minta kamu tolong aku dalam soalan ini,”

“Kau tak perlu nak berlakon lah, kau pun tahu kau lagi pandai daripada aku. Kau nak perli aku ke ni?” jawab Kamal. Tetapi nadanya tidak tinggi.

“Ana betul-betul tak tahu soalan ini..”

“Kalau tak tahu, carilah orang yang lebih pandai dari kau, bukan lebih bodoh.”

“Kalau begitu, jomlah pergi denganku jumpa Haziq, bolehlah kita sama-sama tahu jawapannya,” jawab Khalid.

“Ah, malaslah.”

“Peperiksaan akhir semester nak dekat dah….”

“Kau tak perlu kisah tentang aku. Aku dah belajar banyak,” balas Kamal. Egonya masih ada.

“Ana tahu merempit dan membuat maksiat tidak memberikan kenikmatan dan ketenangan yang sebenar. Ana tahu hatimu meronta-ronta mencari apa itu ketenangan dan kenikmatan hidup yang sebenar.”

“Apa yang kau merapu ni? Aku sudah berkata banyak kali…aku cukup gembira dengan hidupku sekarang. Kau tak perlu nak ubah aku.”

“Ibumu setiap hari mendoakan kejayaan kau. Cuba fikirkan perasaan ayahmu jika dia melihat keadaan kau sekarang. Kau tak nak banggakan mereka ke?” Khalid berkata-kata dengan suara lembut.

“Diam. Kau apa tau tentang hidupku!?!?!?” marah Kamal tiba-tiba. Dia pun terus beredar dari taman rekreaksi universiti.

‘Aku tak dapat ketenangan sebenar?? Apa yang dia maksudkan?? Aku cukup gembira dan tenang semasa merempit dan ditemani perempuan.’ Tiba-tiba dia berhenti. Hatinya bercakap lagi.

‘Sebab perempuan dan rempitlah duit aku dipukul dan duitku banyak dikikis. Sebab perbuatan-perbuatankulah aku berhutang banyak dengan ramai orang dan dikejar tiga geng,’ hatinya mula terbuka.

‘Adakah ketenangan sebenar yang dia maksudkan itu adalah……’ hatinya mula sedar.

Tanpa dijemput, datang satu suara yang berbisik di hatinya.

‘Apa yang budak itu tahu tentang hidup kau?? Budak tu cuba nak menghina ayah kau yang sudah tiada di bumi ini! Berani dia cakap ayah kau tidak pernah bangga dengan kau!?!?!? Dia tidak tahu penderitaan yang kau harus tempuhi seorang diri tanpa kasih saying dari seorang ayah!!’ Hatinya mengangguk kepada suara itu.

‘Takkan kau nak biar sahaja dia terlepas begitu sahaja!?!? Tunjukkan kelakianmu!!!’ Bisikan itu menguasai hatinya sekarang. Lantas dia terus pergi mencari Khalid untuk melepaskan geramnya. Dia pergi denagn hati yang dikuasai kemarahan.

Selepas puas mencari, akhirnya dia jumpa mangsanya berseorangan di dalam sebuah bilik. Dia terus membuka pintu bilik dengan kekerasan. Khalid tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Kamal mendapati Khalid sedang membaca al-Quran dengan suara yang sungguh merdu dan penuh penghayatan. Tanpa Kamal sedari, air mata mengalir membasahi pipinya.

‘Apa yang kau lakukan!?!?!? Adakah kau nak jadi lemah seperti empat kawan-kawan kau tu!?!? Bangun dan selesaikan dia!’ Tetapi suara itu tidak lagi dihindarnya.

“Su..surah apa yang kau baca tu?” kata Kamal tersekat-sekat.

“Surah Taha,” jawab Khalid ringkas.

“Apa maksud ayat-ayat yang kau baca tu?”

“Nah, bacalah,” Khalid menghulurkan al-Quran terjemahannya.

‘Kami tidak menurunkan al-Quran ini kepadamu agar engkau menjadi susah; melainkan sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah),’ hatinya membaca maksud ayat dua dan tiga surah itu. Air matanya merembes keluar. Dia telah merungkai persoalan hidupnya. Hatinya telah menggapai cahaya sebenar, cahaya Iman.


This entry was posted on 9:11 PTG and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 ulasan: