ILUSI LOGARITMA: SAIDATUL SYIREEN BT SHAZRI
9:13 PTG | Author: Idris Bin Saleh

“Apa, kita kena pindah lagi?! Mama, lepas ni ke mana pula?” balas Ryaz setelah ibunya mengumumkan berita yang agak gempar buat dirinya ketika mereka anak beranak sedang berjemaah menjamah hidangan makan malam di ruang makan.

“Riz, mama terpaksa tukar. Kalau tak mama kena buang kerja. Lagi pun papa dapat tawaran kerja di sana,” ujar Puan Zaha dengan nada memujuk kepada anaknya. Encik Raif yang dari tadinya hanya diam membisu sambil matanya dipaksa bergilir-gilir melihat ke arah pinggan yang berisi makanan dan bertukar pula ke arah skrin besar berjenama Sony yang memancarkan siaran berita di hadapannya turut mula bersuara.

“Betul tu Riz. Kenapa, bunyi macam tak setuju je? ujar Encik Raif.

“Bukan tak setuju. Tapi mama, papa, kita kan baru tujuh bulan di sini, lepas tu terpaksa pindah lagi. Riz penat la macam ni. Lagi pun, Riz baru je nak berseronok-seronok dengan kawan-kawan baru di sini.Kalau boleh Riz tak nak ikut,” bantah Ryaz pula.

Raut wajah Puan Zaha dan Encik Raif berubah. Namun, perubahan yang ditunjukkan oleh Encik Raif hanya sekejap. Tidak sampai lima saat, matanya kembali ke arah LCD. Andaian tanpa soal selidiknya mengatakan bahawa kata-kata anaknya itu hanya gurauan semata-mata. Lain pula dengan Puan Zaha. Dia terkedu seribu bahasa. Acuh tak acuh mahu dibalas kata-kata anaknya itu, tetapi sudah terlambat. Ryaz telah pun bangun dari tempat duduknya. Seleranya berkurang. Makanan kegemaran yang terhidang tidak jadi untuk ditambah. Kebetulan pula nasi dalam pinggannya itu telah habis dilicinkan. Jadi ada alasan kukuh untuk dia terus beredar dari situ. Tanpa berlengah kakinya terus melangkah ke dapur untuk mencuci pinggannya itu dan terus naik ke tingkat atas.

Encik Raif dan Puan Zaha hanya melihat gerak- geri anaknya itu. Hendak dipanggil, mulut bagaikan sudah dilekat dengan gam berkuasa kuat, iaitu gam bercap Gajah. Hanya perubahan pada ekspressi wajah sahaja mampu dinampakkan dek kerenah pelik anaknya itu. Mereka pun terus menjamah makanan sambil membincangkan masalah anak mereka itu.

“Satu kuasa satu, campur dua kuasa dua, campur tiga kuasa tiga……”. Begitulah kata-kata yang akan diungkapkan dengan sekadar mengumat-ngamitkan mulut sahaja oleh Ryaz setiap kali menaiki tangga apabila tiap-tiap kali emosinya terganggu. Kemudian, setelah sampai pada anak tangga terakhir, dia akan menjumlahkan pengiraannya itu.

Ryaz Umar merupakan anak tunggal kesayangan Encik Syed Raif dan Puan Zaha. Dia sangat terkenal dengan kecekapan otaknya bermain dengan digit pelbagai angka di setiap sekolah yang ditujunya. Hal ini dibuktikan apabila Ryaz mampu mengira digit sama ada beroperasi tambah, tolak, darab, bahagi,mempunyai kuasa dua, kuasa tiga dan lain-lain walaupun digit itu mencecah sehingga lima enam angka. Ryaz juga dikenali sebagai peta bergerak kerana nama-nama negara di seluruh dunia diingatinya. Bukan sekadar itu, malah, ibu nagara, kedudukan negara tersebut, daerah-daerah kecil di setiap negara juga turut melekat di ingatan Ryaz. Semua orang di sekolahnya amat kagum dengan kehebatannya itu. Ada yang menggelarnya “Stephen Hawking Junior”, ada juga rakan berbangsa Cina dan India di sekolahnya membuat gelaran tidak masuk akal pada dirinya dengan mengatakan bahawa dia merupakan “anugerah tuhan dari langit” dan macam-macam lagi gelaran yang diberi oleh rakan-rakan kepadanya.

Kadangkala, Ryaz rimas mendengar kata-kata yang boleh membangkitkan perasaan ria’ dalam dirinya. Namun, Ryaz hanya mendengar sekadar “masuk telinga kanan keluar telinga kiri” sahaja segala perkataan pujian pada dirinya itu. Tidak ada satu pun yang terlepas masuk ke dalam hatinya. Semuanya hanya berlegar-legar di sekitar kawasan telinga sahaja.Hal ini membuatkan dia sangat digemari ramai. Ryaz yang sangat suka berkawan berasa seronok setiap kali barada di sekolah.

Namun keseronokan dan kegembiraannya itu sering kali dirampas oleh ibu bapanya yang sangat sibuk dengan pekerjaan bagaikan tiada ruang untuk memikirkan perasaan anaknya itu. Hal ini dapat dibuktikan apabila baru sahaja beberapa bulan atau kadang-kadang dalam tempoh setahun dua berada di kawasan baru, ibunya akan membuat suatu pengunguman penting dan meminta belas ihsan daripada anaknya: “Riz, dua minggu lagi, kita kena pindah ke……” Sekiranya mendapat bantahan Ryaz pula:“Riz, mama terpaksa, kalau tak mama kena buang kerja. Tolonglah Riz…”

Begitulah kata-kata yang sering keluar dari mulut Puan Zaha lebih kurang setiap dua tahun atau setahun semenjak tujuh lapan tahun yang lalu. Pada permulaannya, setiap kali Puan Zaha membuat pengumuman tergempar ini, Ryaz akan menguntum senyuman tanda setuju dengan ibunya itu. Maklumlah pertama kali ketika usia setahun jagung, berpindah-randah merupakan suatu perkara yang menyeronokkan kerana dapat bersiar-siar ataupun berulang-alik dalam kereta. Tetapi kali ini, buat pertama kalinya dia telah memulakan bantahan terhadap kedua ibu bapanya kerana hendak ke luar negara.

Jika selama ini Encik Raif dan puan Zaha hanya bertukar dalam negara sahaja, kali ini mereka akan ke luar negara- Jepun. Itulah yang membuatkan Ryaz membantah keras dan nekad dengan keputusannya itu. Walaupun sesetengah orang menganggap keputusan Ryaz amat ini pelik dan merugikan kerana peluang di depan mata untuk ke negara matahari terbit dan itu ditolak bulat-bulat, tetapi baginya lebih beruntung dan bahagia sekiranya masa di negara sendiri dihabiskan dengan menikmati serta merasai sepuas-puasnya budaya dan pantang larang negara sendiri. Pemikiran Ryaz ini juga boleh dikenali sebagai proses mengenali negara sendiri dengan lebih mendalam. Dia sedikit pun tidak berminat dengan negara luar walaupun dalam kotak ingatannya dipenuhi dengan beratus-ratus nama negara sedunia. Mungkin setelah puas berada di negara tempat tumpah darahnya, baharulah timbul keinginan untuk menjelajah dan menetap di luar negara pula.

****************

“Macam mana ni Bang, Riz tu memang dah nekad tak nak ikut kita. Saya dah pujuk banyak kali dah. Macam-macam umpan dah saya beri. Satu pun tak jalan. Dia memang dah nekad,”kata Puan Zaha kepada suaminya ketika mereka sedang berehat santai di ruang rehat yang dilengkapi dengan set “home theatre” itu.

“Masalah besar ni. Oh,ya. Baru saya teringat. Hari tu masa saya jumpa Chad, dia ada beritahu fasal sekolah khas untuk budak-budak macam anak kita ni. Dengar macam bagus sekolah tu,” ulas Encik Raif kepada isterinya.

“Oh,baguslah kalau dah macam tu. Kita serahkan pada dia sahajalah waktu kita tiada di sini nanti. Lagipun dia yang paling rapat dengan Riz tu. Nanti abang call lah dia untuk confirm kan,” pinta Puan Zaha.

Encik Raif hanya mengangguk dan terus menyambung bacaannya. Puan Zaha pada mulanya berat hati hendak membenarkan Ryaz tinggal di Malaysia. Namun setelah memikirkan keadaan anaknya yang bertekad tidak mahu mengikuti mereka tidak dapat dapat berbuat apa-apa dan hanya menerima keputusan anaknya itu. Encik Raif dan Puan Zaha jarang sekali meluangkan masa dengan anak tunggalnya itu. Tetapi Ryaz dapat menjaga dirinya dengan baik walaupun kekurangan tumpuan dan perhatian. Mungkin Ryaz memanfaatkan tumpuan yang diberi oleh ibu bapanya apabila dia dibawa bercuti ke tempat-tempat menarik terutamanya di luar negara . Lazimnya mereka akan bercuti seminggu atau dua minggu di sana.

Sedang asyik rancak berbual, Ryaz tiba-tiba terpacul di hadapan mereka dengan tangan yang memegang erat cawan berisi Ice Lemon tea. Dia turut serta dalam berbincangan ibu dan bapanya yang dari tadi tidak henti-henti bagaikan kereta api Bullet yang berkelajuan berkelajuan 300 km per jam.

“Ha, Riz, semalam papa ada call Uncle Chad. Kami bincang fasal Riz…..”ujar Encik Raif sambil diperhatikan Puan Zaha.

Belum sempat Encik Raif menghabiskan ayat-ayatnya,

“Papa call Uncle Chad? Oh, cakap fasal sekolah Riz kan?” Riz membuat celahan tidak berizin.

Hasil dan rezeki yang baik. Cubaan meneka tepat dan tidak memalukan diri. Encik Raif dan Puan Zaha tercengang. Sudah lebih daripada sekali adegan sebegini rupa berulang. Cubaan meneka yang dibuat oleh Ryaz sentiasa tepat dengan apa yang hendak diperkatakan. Encik Raif dan Puan Zaha pada mulanya menganggap fenomena ini merupakan perkara biasa, tetapi setelah berkali-kali cubaannya tepat pada sasaran, ianya bertukar melepasi tahap normal. Pelik. Boleh pula dia membaca fikiran atau gerak hati orang lain? Seperti pula Saidina Umar yang memberitahu Saidina Huzaifah tentang kehadiran musuh di belakangnya walaupun kedua-dua mereka berada di tempat yang jauh berbeza. Namun, disebabkan semangat inkuiri yang lemah terhadap perkara pelik ini, Encik Raif dan isterinya hanya mendiam dan mengiyakan sahaja.

“Ya, disebabkan Riz tak mahu ikut papa dengan mama, Riz terpaksa dipindahkan ke sekolah berasrama penuh. Uncle Chad yang cadangkan sekolah tu. Katanya bagus,” terang bapanya tanpa memberitahu bahawa sekolah yang dicadangkan itu merupakan sekolah khas.

Ryaz mengulum senyuman tanda setuju dan gembira kerana dia dibenarkan untuk tidak mengikuti ibu bapanya ke negara Nippon itu.

“Apa nama sekolah tu papa? Tempatnya di mana?” Tanya Ryaz rancak. Tidak sabar untuk mengetahui serba sedikit tentang sekolah yang bakal dimasukinya itu.

“Akademi Wawasan Diraja,di Subang Jaya,” celah Puan Zaha tiba-tiba.

Hari ini, genaplah waktu untuk Encik Raif dan Puan Zaha bertolak ke negara matahari terbit itu. “Flight” yang akan dinaiki akan bertolak pada jam 8.30 malam. Ini bererti mereka berdua perlu keluar dari rumah dua atau tiga jam lebih awal untuk menjalani prosedur-prosedur yang perlbagai termasuk dengan perjalanan menuju ke lapangan terbang. Pagi itu, mereka sibuk bersiap-siap mengemas barang-barang untuk pergi dan duduk di negara orang.

Setelah selesai, Puan Zaha membuat pesanan terakhir kepada anaknya tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan hal di rumah. Dia memberitahu Ryaz bahawa kad kredit dan sejumlah wang tunai telah diletakkan di dalam laci almari di ruang tamu. Puan Zaha juga memberitahu anaknya itu bahawa wang bulanan akan dimasukkan ke dalam bank setiap bulan. Ryaz terdiam apabila ibunya memberitahu pelbagai tugasan yang perlu dibuat ketika ketiadaan mereka berdua.

“Esok pagi Uncle Chad datang. Riz tunggu dia. Nanti dia bawa Riz Pergi ke sekolah tu. Kalau Riz perlukan apa-apa, beritahu dia, ok?” pesan Puan Zaha lagi. Ryaz hanya menggangguk dengan raut wajah seperti kanak-kanak yang baru mendapat pelajaran baru dari cikgunya.

Teksi yang ditempah Encik Raif telah tiba untuk membawa mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Ryaz keluar ke halaman luar rumah untuk mengucapkan selamat tinggal kapada kedua ibu bapanya. Setelah selesai anak beranak itu bersalaman dan berpelukan, kini tinggallah Ryaz seorang ditemani dengan dua buah kereta kepunyaan ibu bapanya- BMW 525i dan Ferrari Cayyenne S di halaman rumah itu. Sunyi.

Pada keesokan harinya, tepat jam 8.59 pagi, Uncle Chad tiba di rumah banglo yang tersergam indah itu. Ryaz sangat gembira kerana tahap kebosanannya semakin meningkat seolah-olah meningkatnya suhu air yang telah mendidih sehingga paras 100 darjah Celcius. Uncle Chad yang merupakan adik kepada Encik Raif sering berkunjung ke rumah mereka terutamanya pada hari minggu. Lebih-lebih lagi, faktor jarak antara rumah keluarga Encik Raif dengan rumahnya membuatkan dia kerap datang ke rumah abangnya itu. Dia yang juga masih bujang dan seorang pereka persendirian pelbagai bidang sangat akrab dengan anak buahnya ini. Disebabkan Uncle Chad bekerja secara persendirian, dia sentiasa kelihatan seperti penganggur kerana dia boleh bekerja bila-bila masa yang diinginkan tidak mengikut tepoh dan waktu tertentu.

Setelah selesai berborak-borak, bersantai di depan televisyen dan makan tengah hari, Uncle Chad membawa Ryaz ke sekolah yang dikatakan istimewa itu untuk didaftarmasukkan. Setelah mengisi borang butir peribadi, bakal pelajar hendaklah menunjukkan bakat atau kelebihan luar biasa tersendiri kepada pihak bertugas yang mengendalikan kemasukan pelajar baru di sekolah tersebut. Kemudian setelah selesai menunjuk atau menerangkan tentang kelebihan pada diri sendiri, bakal pelajar akan diuji untuk memastikan kesahihannya. Begitulah antara prosedur atau langkah-langkah untuk memasuki ke sekolah ini.

“Pelik. Takkan semudah ini untuk masuk ke sekolah khas ini,” bisik hati Ryaz sendirian.

Sekolah yang tidak mempunyai pembelajaran khas ini hanya menitikberatkan apa yang ada pada diri pelajar itu sendiri dan mementingkan pengalaman. Disebabkan setiap pelajar mempunyai kelebihan masing-masing, para pelajar akan dihimpunkan di dalam satu kelas yang sama walaupun kelebihan atau kecenderungan bidang yang mereka miliki berbeza-beza. Hal ini bertujuan untuk mengajar pelajar-pelajar tersebut cara berinteraksi dan bekerjasama sesama mereka supaya mereka dapat menguasai perkara-perkara lain di luar bidang mereka. Dengan cara ini, misi ataupun projek yang ingin dilaksanakan akan bertambah hebta dengan adanya gabungan idea daripada pelajar-pelajar hebat yang berlainan bidang. Namun ada beberapa hari yang diperuntukkan kepada para pelajar untuk masuk ke kelas yang hanya fokus pada kelebihan atau kecenderungan masing-masing. Dengan hal ini, bakat dan keistimewaan yang ada dapat diasah denag baik. Apa yang istimewanya di sini ialah sekolah ini dibina khas untuk pelajar yang beragama Islam sahaja.

Setelah selesai menjalani ujian dan proses penilaian oleh pihak sekolah yang bertugas, Ryaz diminta untuk tunggu beberapa minit sementara keputusannya dikeluarkan. Dia yang menunggu di luar bilik ujian dan temu duga sebentar tadi itu seolah-olah pesakit yang sedang menunggu namanya dipanggil untuk mengambil ubat ketika di klinik berdebar-debar menantikan keputusannya. Sambil menunggu, Ryaz berbual-bual dengan Uncle Chad mengisi kekosongan masa. Setelah 20 minit berlalu, akhirnya namanya dipanggil. Ryaz telah pun diterima masuk. Senyuman segaris menata di bibir Ryaz dan pak ciknya serentak. Lega sungguh hati Ryaz “bagaikan kacang direbus satu”. Terus, pada keesokan harinya, Uncle Chad membawa Ryaz ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan asrama.

***************

Apabila memandang ke arah kiri, kelihatan kelompok pelajar yang sedang bergelak ketawa. Ada di antara mereka sedang melukis gambaran anatomi badan manusia dengan selengkap-lengkapnya. Apa yang dikatakan lengkap ialah, lukisan yang dilukis itu menunjukkan organ-organ dalaman sekaligus tiada satu pun urat-urat pada tiap-tiap organ yang tidak dilukis. Subhanallah. Semuanya sempurna.

Apabila dipandang ke kanan pula, kelihatan seorang pelajar sedang melihat pada sebuah buku yang penuh dengan kotak-kotak di setiap muka suratnya.Pengelihatannya itu bagaikan hendak tembus buku yang berada di hadapannya itu. Ryaz terus memeharti gelagat pelajar itu. Kemudian pelajar itu memejamkan mata seolah-olah orang yang sedang bertafakkur dan terus mengisikan kotak-kotak itu dengan nombor-nombor sehingga penuh. Ryaz tercengang. Kemudian pelajar itu menutup bukunya tanda telah selesai. Mata Ryaz terus tertumpu pada kulit hadapan buku itu. Apa yang tertulis ialah “Fudoku”. Sekali lagi Ryaz tercengang. Fudoku ialah permainan dari Negara Jepun seperti Sudoku, cuma bezanya ialah bilangan kotak dan nombor yang perlu diisi itu lebih banyak daripada Sudoku.

Ryaz terasa keseorangan. Sehingga kini, dia masih tidak mempunyai rakan. Sekadar beberapa orang sahaja yang dianggap berhati perut kerana sudi untuk menegurnya. Itu pun boleh dibilang denagn jari.Ramai yang menggelarnya “Budak nerd”. Ada juga yang memanggilnya “Mat skema”.Jika hendak diikutkan hati, mahu sahaja Ryaz melayangkan penumbuk Lennox Lewis kepada mereka yang menggelarnya itu dengan gelaran sedemikian rupa. Namun kesabaran yang tertunas dalam hatinya sejak kecil lagi serta sikapnya yang tidak banyak bercakap menghalang perbuatan itu daripada berlaku.

Mungkin Ryaz yang sering memegang dan menelaah buku setiap kali di dalam kelas menyebabkan mereka menggelarnya sebegitu. Mungkin juga kerana kelebihan Ryaz tidak dapat ditunjukkan pada zahirnya menyebabkan orang lain tidak mempedulikannya. Mungkin juga dia yang boleh mengira tanpa kalkulator tidak dipandang orang kerana semuanya boleh dikira dengan menggunakan kalkulator.

Berbagai-bagai ragam pelik manusia dapat dilihat di sini. Kadang-kadang Ryaz seolah-olah tidak memahami apa sebenarnya yang diinginkan di sekolah ini. Ryaz yang suka berkawan dan amat memerlukan perhatian seorang rakan berasa sangat sedih. Dia sentiasa memikirkan tentang kekurangan-kekurangan yang ada pada dirinya. Walaupun dulu dia sentiasa dipuji dan dianggap hebat, namun kini tidak lagi. Oleh itu dia perlu ingat supaya “jangan sentiasa mengharapkan air sentiasa pasang”.

Sedang asyik Ryaz memerhati gelagat-gelagat penghuni di kelas itu, Cikgu Rifhan masuk ke kelas dengan raut wajah yang ceria. Setelah semua pelajar berdiri dan memberi salam kepada guru, CIkgu Rifhan pun memberitahu tentang kerja atau projek yang dilaksanakan. Menurutnya, dua minggu lagi sekolah akan mengadakan pertandingan mereka cipta betemakan “Teknologi”. Setiap orang mesti mempunyai pasangan masing-masing untuk menjalankan projek ini. Apabila diumumkan sahaja perkara ini, semua pelajar mula sibuk memilih pasangan masing-masing tanpa menghiraukan Ryaz.

“Oh ya, kelas ini mempunyai 38 orang. Tetapi setakat ini ada 37 orang sahaja kerana seperti yang anda semua telah sedia maklum, Izmer telah pun ke Makkah al-Mukarramah mengerjakan umrah. Tiga empat hari lagi dia akan balik,” kata cikgu Rifhan kepada para pelajar di dalam kelas tersebut.

“Izmer? Siapa dia? Diakah yang akan menjadi teman aku untuk buat projek ni? Harap-harap dia dapat ‘ngam` dengan aku,” bisik hati Ryaz seorang diri.

Hari demi hari berlalu. Kebanyakan pelajar telah pun mula berbincang tentang projek masing-masing. Ada yang telah pun mula melukis pelan dan “draft”.

“Tak boleh jadi ni. Takkan aku nak tunggu sampai mereka yang tegur aku. Kalau nak tunggu mereka, nampak gayanya kena tunggu sampai aku berjanggut kat sini. Baik aku yang tegur mereka dahulu,” bisik hati Ryaz yang kemudiannya beralih ke meja tepi kanannya.

“Emm, nak buat apa ni?” Tanya Ryaz secara sopan sambil tangannya menunjukkan kepada kertas yang terdapat di atas meja kepada dua orang pelajar yang tertera di tanda namanya Sulaiman dan Adam ketika Ryaz mengalami kebosanan di dalam kelas.

“Tak ada apa-apa…,” Jawab mereka serentak sambil cepat-cepat mereka menutup kertas yang tadinya digunakan untuk berbincang.

Ryaz tidak dilayan. Hendak ke meja hadapan, dia yakin bahawa dia akan turut dihalau juga. Apa salah dirinya? Mungkin mereka mempunyai tanggapan bahawa Ryaz tidak layak memasuki sekolah yang dikatakan hebat ini. Jadi mereka semua melayan Ryaz seperti orang yang terkena sumpahan halimunan. Dia kembali ke mejanya. Kedua-dua lengannya diletakkan di atas meja dan kemudia diletakkan kepalanya di atas kedua-dua lengan tersebut. Fikirannya mula melayang jauh. Lebih jauh daripada Planet Pluto di dalam sistem solar.

“Kan ‘best’ kalau orang-orang macam Al-Jazari, Abbas bin Hayyan atau al-Khawarizmi ada kat sini tolong aku buat kerja-kerja ni. Senang sikit. Manalah budak yang pergi umrah ni? Imer? Izmer? Mana-manalah. Tak balik-balik lagi ke?” sekali lagi Ryaz bermonolog.

Setiap kali Ryaz keseorangan memikirkan projek yang langsung tidak dimulakan walaupun sehabuk ini, dia pasti berangan-angan bahawa dia akan berjumpa tokoh-tokoh yang dikaguminya itu. Sehingga tibalah pada suatu hari Cikgu Rifhan masuk ke kelas dan bertanya tentang perkembangan projek tersebut. Semua pelajar telah pun siap lebih kurang satu pertiga daripada projek mereka. Namun apabila tiba gilirannya, dia hanya menggeleng kepala tanda tidak siap menunaikan amanahnya itu. Nasib menyebelahi Ryaz. Cikgu Rifhan tidak memarahinya. Tetapi hanya memberi amaran supaya kesalahannya ini tidak diulangi. Ryaz menarik nafas lega kerana dilepaskan kali ini.

Kali ini Ryaz betul-betul tertekan. Dia tidak dibantu dan dilayan. Perasaannya bagai tidak berguna. Tidak pernah dihargai oleh makhluk yang mempunyai perasaan sepertinya juga. Sekolah yang lebih percaya bahawa pelajar-pelajarnya boleh berdiri di atas kaki sendiri walaupun tidak dibantu dan diberi tunjuk ajar ini juga turut membuatkan dia tertekan kerana guru-guru jarang mempedulikan murid-murid. Semuanya diserahkan bulat-bulat kepada pelajar. Fikir hatinya, hendak sahaja dianjurkan “Kempen Guru Peduli Pelajar” di sekolah ini supaya semua guru lebih prihatin dengan pelajar.

Kemudian dia kembali termenung dan berangan. Hidupnya di sekolah ini seolah-olah dihabiskan dengan berangan-angan sahaja seperti Pak Pandir. Sekali lagi dia berangan-angan dapat bersama-sama dengan golongan hebat pandai. Kali ini anganannya bukan seperti anganan biasa. Ianya amat aneh dan pelik. Lebih menyeronokkan kerana dia seolah-olah dapat bersama-sama seorang bijak pandai melakukan suatu projek di sebuah makmal canggih. Seperti di alam realiti. Bukan ilusi lagi. Sepuluh minit telah berlalu. Tiba-tiba loceng berbunyi tanda tamatnya waktu kelas. Semua pelajar berbondong-bondong keluar ke kelas untuk menuju ke asrama. Begitu juga dengan Ryaz.

**************

Sedang asyik Ryaz menelaah buku berjudul Travelog Iran yang dihadiahkan oleh Uncle Chad kepadanya itu, tiba-tiba terdengar suara sayup-sayup dan tidak jelas seolah-olah sedang memberitahunya sesuatu.

[SISTEM PENYELAMAT POLIMER AKTIF]

Secara tidak langsung, Ryaz terus memandang ke kiri dan ke kanan kalau-kalau ada yang sedang cuba bercakap dengannya. Suaranya macam pernah didengarinya sebelum ini. Secara tidak langsung juga, dia sempat bertanya pada dirinya tentang suara tersebut. Kemudian dia membiarkan sahaja perkara tersebut berlalu kerana menganggap ianya khayalannya sahaja.

[SAYA, YANG BERSAMA-SAMA AWAK MEMBUAT PROJEK DI MAKMAL HARI TU. AWAK BOLEH PANGGIL SAYA ABANG, DAH LUPAKAH?]

Daripada sedang duduk membaca buku tersebut, dia terus bangun secara tiba-tiba. Terkejut dan terkesima. Tangannya memegang kepala secara menekan seolah-olah orang yang menghidap “migrane”. Dia mula tidak tentu arah sambil dirinya memikirkan tentang perkara tersebut. Takut, gementar, cemas, dan kaget.

*************

Hari ini hari minggu. Pagi tadi, Ryaz menerima panggilan daripada mama dan papanya, Puan Zaha dan Encik Ryaz. Mereka bertanyakan khabar anak kesayangannya itu. Ryaz sangat gembira.

Apa yang berlaku pada Ryaz ialah dia tidak pernah mengetahui tentang telepati. Dia juga tidak pernah mengetahui bahawa dirinya itu mempunyai kuasa telepati. Setelah Abang menerangkan segala-galanya kepadanya barulah dia faham tentang telepati tersebut. Hakikatnya sewaktu dia sedang berangan-angan itu merupakan permulaan kepadanya apabila hendak cuba berhubung dengan orang lain. Cuma Ryaz yang tidak mengerti ini tidak meyedarinya. Kelebihan yang ada ini tidak digunakan dan tidak diaplikasikan kerana selama ini Ryaz tidak keseorangan dan mempunyai ramai teman. Namun, apa yang terjadi sekarang ialah, Ryaz mengalami tahap kebosanan dan keseorangan yang maksima sehingga dapat memanggil-manggil orang lain pada ruangan lain pula. Perkara ini dirahsiakan buat sementara waktu sehingga Ryaz bersedia untuk memberitahunya sendiri.

Ryaz cuba menghubungi Abang dan ingin bertanya semula tentang Sistem Penyelamat Polimer Aktif yang pernah diutarakan oleh Abang tetapi persoalan Ryaz tidak dijawab. Dia tahu bahawa Pro….sengaja bersikap begitu kerana tidak mahu memberitahu bulat-bulat malah mahu Ryaz berusaha sendiri untuk mencipta alat tersebut.

[POLIMER, “SPRAY”, “SENSOR”]

Itu sahaja isyarat yang dapat Ryaz dengari daripada Abang.

Ryaz mengambil keputusan untuk memulakan projeknya tanpa menunggu rakannya yang seorang itu setelah dia membuat analisa dan bacaan tentang bahan-bahan yang diberitahu. Disebabkan dia baru sahaj hendak memulakan projek ini dan hari pertandingan hamper tiba, dia bersengkang mata membuat projek in. Apa yang cuba direka tentang Sistem Penyelamat Polimer Aktif yang ialah sebuah alat yang mudah dan ringkas berbentuk kotak yang dipenuhi dengan polimer. Alat ini sesuai dipasang di rumah, pejabat taupun kedai bagi mengelakkan kebakaran berlaku. Ianya hanya perlu dipasang di atas syiling yang bersambung padanya paip untuk mengalirkan air padanya. Terdapat padanya pengesan asap dan haba daripada api yang akan memberi isyarat supaya air daripada paip mengalir ke dalam alat tersebut dan masuk ke bahagian yang berisi polimer. Apabila polimer tersebut bercampur dengan air, ianya akan mengalami proses dihidrasi yang akan menjadikan saiz polimer itu membesar seribu kali ganda. Saiz yang terlalu besar akan menyebabkan polimer terus tertolak keluar daripada kotak menerusi “spray”. Polimer yang lembut dan sejuk itu akan memadamkan api yang baru sahaja mula menyala.

Kemudian pada hari yang sama polimer tersebut mula mengalami proses dehidrasi dan akan kembali ke bentuk asal seperti serbuk kristal. Selepas tiga atau empat hari, polimer yang masih mengalami proses dehidrasi tersebut akan terus mengecil dan boleh disapu dan akhirnya diletakkan semula di dalam alat tersebut.

********************

Hari pameran telah pun tiba. Kelihatan Uncle Chad datang untuk melihat kehebatan anak buahnya. Giliran Ryaz dan membuat pembentangan tentang alat yang diciptanya itu akan tiba selepas ini. Dia menunggu dengan sangat gementar. Setelah beberapa minit menunggu, tiba-tiba datang seorang pelajar terpacak di sebelahnya.

“Saya Izmer Qais. Saya difahamkan bahawa saya akan membuat projek ini bersama-sama awak. Betulkan? Saya minta maaf kerana lambat. “flight” saya baru sampai pukul malam semalam. Jadi apabila membaca surat tentang perkara ini, saya terus bergegas ke sini. Ada apa-apa yang boleh saya tolong pada saat akhir ini?” Ucap Izmer kepada Ryaz tanda serba salah.

“Emmm, apa yang boleh awak buat sekarang. Saya akan membuat pembentangan tentang projek saya ni lepas kumpulan tu,” jawab Ryaz sambil tangannya menunujuk kea rah kumpulan yang sedang membuat pembentangan.

“Oh, saya rasa, apa kata awak serahkan sahaja kepada saya pembentangan tu? Maksud saya, biar saya sahaja yang bentangkan kesemuanya. Awak hanya perlu memperkenalkan alat ini sahaja. Boleh?” Balas Izmer dengan nada yang bersemangat dan teruja hendak membantu rakan yang masih belum dikenali sepenuhnya itu.

“Tapi, awakkan baru je sampai sini. Awak takkan tahu apa yang saya buat ini. Lagipun masa tinggal lagi 20 minit sahaja. Macam mana saya nak terangkan pada awak semua benda dan istilah ni?” Tegas Ryaz tidak mahu menyerahkan pembentangan projeknya tersebut kepada orang yangtidak dikenali kebolehannya yang tiba-tiba datang untuk melakukan perkara yang tak masuk dek akal.

“Ok, sekarang awak ada salinan ‘draft` dan skrip yang telah dihantar pada pihak pengadil bukan? Jadi beri saya ‘draft` tersebut pada saya,” dengan pantasnya Izmer menjawab kerana masa sangat suntuk sengan kerenah Ryaz yang meragui kebolehannya itu. Ryaz tidak akan meragui kebolehannya itu jika dia memberitahu kepada Ryaz tenta kebolehannya itu. Namun masa yang tidak mengizinkan menghalangnya daripada berbuat demikian.

Ryaz yang masih terpinga-pinga mendengar apa yang diterangkan Izmer tidak sempat berbuat apa-apa kerana nama mereka telah pun dipanggil. Lantas, Izmer yang ternampak “draft” di atas meja yang diduduki Ryaz tadi terus mengambil, melihat dan menghafaznya. Sementara itu, Ryaz pula sibuk membuat persiapan terhadap alat ciptaannya itu. Apabila mengarahkan supaya mereka memulakan pembentangan, dengan muka yang tenang walaupun kepalanya berserabut dengan kehadiran Izmer tadi memulakan ucapan pembukaan.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Hari ini saya akan menerangkan apakah alat ciptaan saya dan bagaimana ia berfungsi………” belum sempat lagi Ryaz menghabiskan ayatnya, Izmer memintasnya dengan yakin.

“Alat ini selalu mudah dipasang kerana ia hanya di letakkan di atas syiling rumah ataupun pejabat. Ia tidak memerlukan elektrik untuk mengoperasikannya malah hanya paip air yang perlu disambungkan pada alat tersebut. Cuba kita lihat pada model dapur ini……..” Izmer membuatkan orang ramai terpegun apabila mendengar kata-katanya yang penuh dengan keyakinan itu. Apalagi Ryaz. Dia yang tadinya tidak mahu mempercayai Izmer terasa tercabar dan malu dengan perangainya tadi.

Izmer mendapat tepukan paling gemuruh kerana personalitinya yang meyakinkan dan penuh bersemangat berbanding kumpulan lain yang membuat pembentangan membosankan penonton. Izmer mempunyai keupayaan menangkap segala benda yang dilihatnya dengan cepat dan tangkas. Apa yang ditangkapnya memang tepat dan benar sekali. Apa yang digelar dalam Bahasa Inggeris “Photographic memory”. Sekali pandang, terus masuk, melekat dalam kepalanya. Apabila melakukan proses “output”, dia akan mengeluarkan semua maklumat dengan tepat tanpa ada kecacatan. Hal ini dan dibuktikan kerana dia telah pun menghafaz 30 juzuk daripada kitab suci al-Quran selama lima hari sahaja. Subhanallah! Semuanya kuasa Allah.

“Akhir sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan saya, Ryaz Umar yang telah memerah otaknya sendirian mencipta alat ini sepenuhnya ketika saya mengerjakan ibadah umrah……,” tiba-tiba Izmer membuat penyataan yang menggemparkan kepada orang ramai sambil berdiri mendekati dan menepuk-nepuk bahu Ryaz. Ryaz terkesima bercampur terharu mendengar ucapan itu. Semua penonton berdiri memberi tepukan yang paling gemuruh buat kali kedua apabila mendengar pengakuan jujur dan ikhlas tersebut.

“Saya minta maaf sebab perkara tadi. Sekarang saya sedar yang saya tak patut nilai orang dari luaran sahaja. Sekarang saya sudah tahu tentang diri awak. Sekali lagi saya minta maaf. Kita kawan?” Ujar Ryaz sambil menghulurkan salam perkenalan setelah mereka selesai membuat pembentangan.

“It’s okay. Kita kawan,” sambut Izmer dengan segaris senyuman.

************

Kini di sekolah, semua orang segan dan kagum dengan kehebatan Ryaz apabila dia diumumkan sebagai juara dan ciptaannya itu akan diperkenalkan kepada pihak yang atasan untuk dimanfaatkan. Kini semua orang di sekolahnya itu berebut-rebut untuk bercakap dengannya. Guru-guru pula sudah mula menyayangi Ryaz. Dia sangat bersyukur dengan nikmat yang baharu sedikit dikurniakan Allah ini jika hendak dibandingkan dengan nikmat di Akhirat sana. Kini Ryaz dan Izmer seolah-olah isi dengan kuku. Tidak pernah berpisah. Dia tidak pernah merasai nimat berkawan seperti ini. Dia akan menghargai dan menjaga peluang keemasan ini dengan baik. Izmer Qais al-Hafiz yang mempunyai budi bahasa dan keluhuran budi, itulah kawan,rakan dan teman yang paling disayanginya.

Petang tadi, Ryaz telah mendapat panggilan daripada mama dan papanya yang mengatakan mereka akan bercuti dan pulang ke Malaysia selama beberapa minggu. Ryaz sangat seronok kerana dia amat merindui ibu dan bapanya itu. Memandangkan minggu ini cuti semester pertama, Ryaz mengajak Izmer untuk menetap di rumahnya.

******************

Di hadapan laut berombak yang memukul lembut Pantai Mauritus dan bulan yang mengambang terang, mereka-Encik Raif, Puan Zaha, Ryaz Umar ,dan Izmer Qais berkelah membuat BBQ sambil berbual-bual mesra dan bergelak ketawa.

“Izmer, kami ni memang kaki jalan sikit, nanti kalau kami ajak Izmer ikut kami jalan-jalan macam ni, janganlah malu pula. Lain kali kalau nak ikut bagi je tau kami. Boleh temankan Ryaz ni,” ujar Puan Zaha mesra kepada Izmer.

“ Betul tu. Nanti kalau Izmer tak nak ikut, papa bagi lesen kat Riz untuk heret juga Izmer ni ikut kita,” lawak Encik Raif kepada mereka semua sambil tangannya mengalih-alihkan ayam yang dibakar.

Sementara Puan Zaha dan Encik Raif membakar dan menyediakan BBQ tersebut, mereka berdua bermain-main air di tepi pantai sambil berborak-borak mesra.

“Riz, jom lah kita tolong mama dengan papa kau,” tiba-tiba Izmer mencelah ketika mereka sedang rancak berborak-borak lantas terus bangun menuju kepada Puan Zaha dan Encik Raif.

“Ha, nak bangunlah ni,” ujar Ryaz walaupun sebenarnya dia tidak mahu bangun lagi.Matanya menghadap terus ke arah bulan di hadapannya.

[TERIMA KASIH ABANG SUATU HARI NANTI,AKU PASTI AKAN BERTEMU DENGAN ABANG DAN JADI ANAK MURID ABANG]

“Riz, mari makan sayang!” Panggil Puan Zaha.

“Ok Ma!” Balas Ryaz sambil bangun berjalan ke arah keluarganya.

Sedang mereka menikmati hidangan istimewa tersebut, Encik Raif membuat pengunguman yang paling gempar daripada sebelum-sebelum ini. Encik Raif dan Puan Zaha akan memberi hadiah yang tidak terkira nilainya atas kemenangan anak mereka. Mereka akan mengorbankan pangkat tinggi dan darjat mereka di sana untuk kembali tinggal bersama-sama dengan anak mereka di Malaysia. Mereka percaya anak mereka boleh menjadi lebih hebat sekiranya mendapat sokongan yang padu daripada diri mereka sendiri.

TAMAT

This entry was posted on 9:13 PTG and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 ulasan: