PROJEK MERAH JAMBU : Hajar Bt Zulkifli
4:47 PTG | Author: Idris Bin Saleh


PROJEK

MERAH JAMBU


Tanganku ligat menekan papan kekunci komputer di hadapanku. Sesekali ku mengalihkan pandangan ke foto keluargaku. Senyuman Khaulah, anakku seindah mentari dan sering menjadi tempat persinggahan mataku pabila letih bekerja. Terasa sungguh menenangkan. Masih ku teringat saat foto itu diambil, senyuman puteriku tidak pernah lekang dari bibirnya tatkala kami sekeluarga meraikan hari lahirnya yang ke-6 di Taman Tema Impian. Aku berasa bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih memberi masa untuk kami membesarkan serta mendidik amanah dari-Nya dengan didikan Islam. Adik Khaulah, Naufal tersenyum kecil ketika kakaknya membaca doa makan sebelum kami memulakan jamuan. ”Kakak kena pandai baca doa makan, nanti syaitan tak ada peluang nak makan dengan kita”,kata ku. ”Yalah ummi. Abi pun ada beritahu kakak. Kakak tak nak bagi syaitan jadi gemuk! ” , balas Khaulah. Kami sekeluarga terhibur dengan gurauan Khaulah, alangkah indahnya jika anak-anak kini boleh menghasilkan sesuatu yang nampak biasa tetapi bermakna.

”Alhamdulillah, sudah pukul lima petang. Khaulah dan Naufal pasti sudah menungguku.” Aku segera bangkit sambil merenggangkan sedikit badanku. Kerusi itu telah penat menampungku untuk beberapa jam. Aku tidak lupa untuk sentiasa bersyukur kepada-Nya atas segala nikmat yang diberikan padaku. Ummi pernah memberitahuku, semua yang ada di atas muka bumi Allah ini adalah untuk manusia. Beberapa helai kertas yang mengandungi maklumat untuk projek istimewa, ku sisipkan di dalam fail berwarna merah jambu. ” Sudah siap!”, kata ku girang.

Proton Perdana menyusur keluar dari tempat letak kereta. Sambil memandu , mataku melewati beberapa orang kanak-kanak yang sedang bermain di taman permainan. Umur mereka kira-kira sama dengan umur Khaulah, sentiasa riang dan gembira. Dua puluh tiga tahun yang lampau, ”Syaima’,apa yang kamu buat ni?!” , celah Cikgu Zaiton. Tidak terkeluar kata dari mulutku, sering aku dimarahi guru tetapi hari ini merupakan hari paling buruk dalam hidupku. Cikgu Zaiton meneruskan bebelannya dan aku tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian ekoran kekacauan emosi yang berlaku dalam diriku.

Semua yang disuruh olehnya telah aku lakukan.Tiada kurangnya. Kerja ku seperti kerja Maria,Tasneem dan ramai lagi. Seperti ada saja kekurangan dalam diriku. Argh! Cikgu Zaiton nampak kecacatan pada diriku saja, bisikku sendirian. Mungkinkah diriku seperti Cinderella yang selalu dicerca oleh mak tiri serta kedua kakak tirinya? Hanya kesalahan yang mengaburi mata, padahal kerja yang dibuat sepenuh hati dan seikhlasnya. Aku suka membayangkan diriku seperti Puteri Kayangan yang selalu diceritakan ayah kepadaku. Hidupnya tidak dilakari saat-saat susah, hanya diwarnai saat-saat indah dan penuh kekayaan. Ayah juga suka menceritakan padaku beberapa kisah puteri sebelum aku masuk tidur seperti Puteri Beradu,Puteri Salju dan Rapunzel. Bed-time story oleh ayah seringkali membuat diriku senang untuk tidur.

Suatu malam, ayah menceritakan bagaimana Rapunzel diselamatkan oleh ahli sihir jahat yang ingin membunuhnya. Aku sungguh asyik mendengar kisah itu sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Sungguh dahsyat sekali mimpi itu. Di dalam mimpi itu, aku diserang oleh naga betina yang ganas yang ingin mencelakakan diriku sehingga aku terperangkap di atas sebuah menara. Aku lega sekali apabila tersedar daripada mimpi yang dahsyat itu. Fuhh.

Koleksi buku cerita puteri-puteri kayangan ini dibeli oleh ayah dan ummi. Aku berasa sungguh bahagia, kerana bagiku kisah-kisah mereka adalah yang paling menarik yang pernah aku baca. Sebagaimana di dalam kisah Puteri Beradu terdapat tiga orang pari-pari yang boleh melakukan apa saja menggunakan tongkat sakti mereka, di dalam kisah Cinderella terdapat sekumpulan haiwan yang bersahabat baik dengan Cinderella dan membantunya melakukan kerja-kerja rumah. Alangkah bagusnya jika aku seperti mereka, walau dimarahi Cikgu Zaiton aku boleh mengubahnya dengan bantuan tongkat sakti pari-pari. Pasti hidupku akan lebih ceria dan penuh keseronokan jika dapat berinteraksi dengan haiwan-haiwan comel seperti arnab dan burung.


* * * * * * *

Masa Kini.

Khaulah dan Naufal sudahku mandikan. Diriku juga sudah siap untuk menunaikan fardhu Isya’, Amsyar sudah ke surau untuk menunaikan solat Isya’ berjemaah. Itulah yang paling afdhal bagi muslimin. Bicara ayah semasa majlis pertunanganku dahulu masih terngiang-ngiang di telinga. Ayah mengingatkan aku bahawa perempuan yang baik dan solehah adalah untuk lelaki yang baik dan soleh. Aku cukup bahagia dengan jodoh yang telah diberikan Allah kepadaku. Alhamdulillah ku ucapkan sambil berharap Allah memelihara baitul muslim yang kami dirikan ini agar dapat membina generasi muslim yang bermanfaat kepada masyarakat. Jauh di sudut hatiku, ada sesuatu yang perlu aku lakukan untuk membantu mengembalikan sinar Islam yang dahulunya pernah menyinari alam ini. Aku tekad untuk menjadikannya suatu realiti.

”Ummi, kenapa nama kakak Khaulah ,ummi? ” , Khaulah menerpa ” Kakak, Khaulah adalah pejuang wanita Islam yang disegani. Nama beliau ialah Khaulah bt Azwa. Beliau berani berjihad di barisan hadapan di dalam satu peperangan memperjuangkan kebenaran Islam. Ummi beri kakak nama Khaulah sebab ummi tahu kakak akan menjadi muslimah yang cergas dan sentiasa bersemangat. Kakak nak jadi seperti Khaulah bt Azwa?” tanyaku untuk menaikkan semangat Khaulah. ”Ya,ummi. Kakak nak jadi seperti Khaulah itu. Kakak rasa kakak boleh menolong orang Islam, ummi akan tolong kakak, bukan? ” ”InsyaAllah, ummi akan menolong kakak untuk membantu Islam selagi daya ummi masih ada. Macam inilah anak ummi.” ku akhiri perbualan dengan pelukan penuh kasih sayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam.

Proton Perdana telah memasuki kawasan tempat letak kereta MediaIslamic Bhd. Tuut tuut, tuut tuut. Telefon bimbit ku bergetar. Teknologi memudahkan urusan kita, fikirku. Tetapi banyak juga kesan sampingannya, begitu jugalah kehidupan ini. Setiap perkara mempunyai kebaikan dan keburukannya. Telefon bimbit ku terus bergetar. Ku ukir sebuah senyuman di bibir. Terdapat mesej daripada Amsyar. Tanpa berlengah kerana masa amat berharga, terus ku buka mesej itu dan membacanya. ”Bersyukurlah wahai isteriku. Suamimu selamat sampai di Jepun tepat pukul 7 pagi tadi. Doakan diriku di sini dan jaga anak-anak kita sebaiknya ya.” Segala puji bagi Allah. Amsyar perlu ke Jepun atas arahan majikannya. Terdapat beberapa tugas penting di sana, sementara diriku juga sibuk dengan projek istimewa itu. Semoga Allah memberi keringanan kepada hambanya yang melakukan amal di atas jalan-Nya.

Projek istimewa sudah 80 peratus siap, aku menunggu beberapa sentuhan akhir daripada Widad selaku rakan sekerjaku untuk dibentangkan kepada pengurus MediaIslamic Bhd. Setiap malam ku bermohon agar projek istimewa ini terlaksana dengan jayanya. Sebenarnya idea untuk memulakan projek ini tercetus apabila aku bersiar-siar di sebuah pusat membeli-belah. Seperti biasa, sudah menjadi rutin kami sekeluarga untuk keluar bersiar-siar pada hari minggu. Ummi me’label’ hari istimewa itu dengan ’hari unik keluarga bahagia’ ketika dia turut bersama kami melihat keindahan ciptaan Allah di Taman Tasik Titiwangsa, kira-kira tiga bulan yang lepas. Motif utama aku dan Amsyar amat simple , kami ingin mengeratkan silaturrahim dengan lebih lagi antara ahli keluarga sambil menghirup udara segar dan mencuci mata memandang ciptaan istimewa dari Yang Maha Esa.

Pusat membeli-belah menjadi pilihanku pada hari itu kerana barang-barang dapur hampir habis, lagipun aku memang berhajat untuk membelikan beberapa alatan permainan untuk putera dan puteriku. Sedang kami sekeluarga berjalan menjelajah pusat membeli-belah itu, aku terlihat beberapa gadis muda yang berpakaian kemeja-T ketat tetapi memakai tudung. Tingkah laku mereka sopan sekali. Tetapi yang menjadi asbab aku terus menerus memandang mereka ialah cara mereka berpakaian. Istighfar meniti di bibirku. Mungkinkah mereka diserang virus keliru? Atau adakah mereka memang serba tidak tahu? Husnudzon. Husnudzon. Aku mengingatkan diriku. Kotak fikiranku memutarkan kembali memori sewaktu aku seusia mereka. Masa itu,aku sudah mula mengenal dan melihat akan keindahan Islam. Ummi dan ayah juga sudah mula mengubah cara hidup mereka. Aku bersyukur kerana Allah masih lagi memberi aku, ummi dan ayah waktu untuk melihat keindahan sebenar Islam.

Ummi mula membeli buku cerita pahlawan-pahlawan Islam. Tidak kurang juga, ada buku tentang Fiqh dan Sirah junjungan Nabi Muhammad SAW. Bukannya ummi tidak pernah membeli buku-buku serupa itu, tetapi seingat aku bilangannya tidak cukup untuk mengalahkan jenis-jenis buku yang lain. Sebuah bilik bacaan ada dimuatkan dalam rumahku, semasa kecil aku seringkali bermain di dalamnya. Walau apa yang terjadi, aku pasti akan berada di situ setiap hari. Salah satu faktor yang menarik perhatianku ialah bilik itu dihiasi dengan warna-warna yang cerah dan terang. Sangat menarik bagiku. Mungkin ini adalah salah satu strategi ummi untuk menjana minat ku terhadap buku. Sehingga kini, aku memang terkenal dengan gelaran si ulat buku. Terima kasih, ummi.

Aku pernah terdengar bahawa hidayah itu milik Allah. Allah akan memberinya kepada mereka yang Allah hendak. Tidak kira masa dan tempat. Oleh itu, semasa aku terlihat situasi di pusat membeli-belah itu, aku berfikir sejenak. Gadis-gadis muda itu perlu dijadikan titik tolak untuk aku memulakan perjuanganku di jalan-Nya. Setelah menegur cara berpakaian beberapa gadis itu secara berhikmah, aku berasa senang apabila mereka menerima teguranku dengan baik. Ku khabarkan hasratku kepada Amsyar dan aku tahu dia dapat bersama denganku dalam perjuangan ini. Malah tangannya sentiasa terbuka luas untuk membantu dalam gerakan mengembalikan syiar Islam.

Aku teringat akan kisah puteri-puteri yang selalu ayah ceritakan kepadaku. Kisah–kisah tersebut secara majoritinya berkisar tentang fantasi kanak-kanak. Alangkah bagusnya jika terdapat buku cerita tentang kepahlawanan orang Islam satu masa dahulu, kisah teladan yang dapat dicontohi daripada akhlak orang Islam dan bermacam lagi dapat dihasilkan dalam bentuk yang menarik hati dan mudah untuk dibaca. Jika dahulu, ketika kecilku aku boleh terpengaruh dengan kisah-kisah puteri itu. Tidak mustahil jika anak-anak kecil yang didodoikan oleh ayah mereka sambil dibacakan kepada mereka kisah-kisah teladan berbentuk islamik, akan tertanam sedikit sebanyak akhlak Islam dalam hati mereka sejak dari kecil.


Apabila anak-anak mula berakhlak mulia, kualiti dan prestasi anak muda dan belia akan lebih terjamin terutamanya anak-anak orang Islam. Seterusnya, dunia akan lebih selamat daripada jenayah hasil tangan manusia dan Islam boleh ditegakkan semula. Semuanya ini telah aku khabarkan pada Amsyar. Dialah yang menjadi peniup semangat bagiku di saat aku memerlukannnya dan bantuan daripada dirinya sudah tidak terkira banyaknya. Segala puji bagi Allah yang mengurniakan untukku teman hidup sepertinya.

Aku memulakan projek istimewa ini dengan mencari bahan-bahan bacaan yang sahih dan sarat dengan teladan. Aku membuat latar belakang dan tema yang menarik agar dapat menarik minat pembaca terhadap koleksi buku cerita ini. Sedaya upaya ku mencari yang terbaik untuk melaksanakan projek ini dengan harapan projek ini dapat menjadi penyumbang ke arah kebangkitan Islam dan mencapai keredhaan-Nya. Khaulah dan Naufal amat seronok apabila aku membawa pulang beberapa bahan projek ini ke rumah. Grafik-grafik yang comel membuatkan mereka gembira sehingga Khaulah pernah berkata ” Adik, cepatlah buat macam dalam gambar tu...nanti kakak ambil serban abi, adik pakai boleh?”,” Yalah kak. Adik pun nak jadi macam kartun tu..macam kuat je..naik kuda lagi! ”, sambung si Naufal.

Ternyata, gambar boleh menarik minat pembaca. Aku bertungkus lumus dengan segala kudrat yang ada, dan pelajaran seni yang aku pelajari semasa di universiti ku manfaatkan semaksima mungkin untuk menjamin kelancaran projek ini. Hamdalah berterusan di mulutku. Benarlah bahawa sesuatu kejayaan memerlukan pengorbanan. Tiada kejayaan yang datang begitu saja seperti kata pepatah ” yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang”. Aku perlu tetapkan hatiku selalu. Perjuanganku ini adalah suatu jalan menuju keredhaan Allah. Itu pesan Amsyar kepadaku. Selama aku melaksanakan projek ini, aku tidak pernah terlupa akan tanggungjawabku sebagai seorang isteri, ibu,anak dan hamba kepada-Nya. Allah telah meringankan bebanku selama aku melaksanakan projek ini.


Angin di luar pejabat bagai menari bersama kegirangan hatiku. Aku terus bersemangat untuk menghabiskan beberapa item yang masih tinggal dalam pembikinan koleksi buku cerita Islam ini. Widad yang sering membantuku juga mula menunjukkan riak wajah yang luar daripada biasa.

”Alhamdulillah, Widad. Kita dah berjaya!”, ”Syukur, perbanyakkan syukur ya Syaima’. Semoga usaha kita diredhai Allah.” balas Widad tenang, setenang air mukanya. Dia ku jumpa semasa kami sama-sama menghadiri sesi temu bual pekerja baru oleh MediaIslamic Bhd.,tujuh tahun yang lalu. Sudah tersurat dalam takdir-Nya, aku ditempatkan bersama Widad dalam bidang kerja yang sama dan dalam pejabat yang sama. Sungguh aku tidak sangka, dugaan dan cabaran melaksanakan projek ini bakal ketemu pengakhirannya. Kelulusan daripada pihak syarikat berkenaan projek ini telah diterima. Koleksi buku cerita Islam ini bakal dipasarkan dan akan menjadi penggerak kepada kemunculan generasi muda Islam yang subur dengan nilai-nilai murni dan adab Islamiyyah. Impianku dan Amsyar adalah untuk membentuk jati diri yang kukuh dengan pegangan Islamyang utuh di dalam hati putera-puteri kami akan menjadi kenyataan dengan bantuan koleksi buku cerita Islam ini. Segalanya pasti berlaku dengan izin Allah.

Sudah hampir tiga tahun koleksi buku cerita Islam berada di pasaran. Khaulah dan Naufal juga sering didodoikan dengan bed-time story menggunakan koleksi itu. Mereka sudah mula melakonkan semula beberapa babak dalam buku cerita Islam itu, terutama sekali buku cerita berjudul ’Hamzah Asadullah’. Projek itu secara peribadinya ku namakan Projek Merah Jambu, walaupun nama formalnya sudah ada. Merah jambu melambangkan kasih sayang dan keprihatinan. Aku berharap setelah merealisasikan Projek Merah Jambu ini, keprihatinanku terhadap kebangkitan syiar Islam makin bertambah. Aku tidak menggambarkan perjuanganku hanya berakhir di sini sahaja, tetapi biarlah ia disemai dan dibajai dengan kasih sayang dan kepekaan yang mendalam terhadap kebangkitan semula zaman kegemilangan Islam yang dahulunya pernah diterajui oleh para muslimin sehingga dapat menguasai dua pertiga dunia!

”Wahai sang Pencipta diri ini, berikanlah daku kekuatan dan ketabahan dalam menempuh ujian yang diberikan kepadaku. Semoga usaha yang kecil daripada hamba-Mu yang kerdil ini diredhai serta diberkati dan dapat mendorong kepada kebangkitan agama-Mu dan membuka hati-hati manusia menerima kebenaran Islam.” aku bermonolog sendirian.

TAMAT.


Penulis: Hajar Bt Zulkifli

Kelas: 5 Saad Abi Waqas



This entry was posted on 4:47 PTG and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 ulasan: