Emansipasi. “lahirnya dari sebuah revolusi”


“Dah 2009! Cepat kan masa berlalu?”

Hari itu hari Isnin. Hari Isnin yang menjadi pembuka sesi persekolahan tahun itu. Hari Isnin yang membawa wajah ceria pelajar-pelajar baru. Hari Isnin yang membawa tekad baru. Hari Isnin yang menjadi pembuka setiap minggu. Hari Isnin yang tiada lainnya. Hari Isnin yang tiada luar biasanya. Hari Isnin yang sememangnya bukan hari kegemaranku. Hari Isnin yang bagiku terasa bagai satu minggu lamanya untuk sampai ke penghujung hari. Hari Isnin yang apabila tiba detik tasbih kafarah dan surah al-Asr’ dibacakan buat kali terakhirnya, menjadi penutup sesi persekolahan pada hari itu, aku tersenyum sendiri. Alangkah bahagianya saat itu.

Berjalan aku ke kiri dan ke kanan tanpa ada hala tuju. Konon mencari tempat yang selesa. Yang mampu membuat aku bertahan selama 1 jam dengan hanya duduk bersila. Yang mampu menghindarkan aku dari sebarang omongan kosong bersama teman. Aku tak suka tempat paling belakang. Selalu menjadi tempat pengawasan. Tempat paling hadapan juga aku tidak mahu. Sentiasa menjadi perhatian guru-guru. Akhirnya, aku mengalah. Aku memilih untuk mengambil tempat di antara yang hampir-hampir hadapan, dan tempat yang tidak kurang jauhnya dari belakang. Berbaris dan mengikut arahan. Aku duduk dan tunduk. Tanda ‘akur’ dengan setiap kata yang diucapkan. Bacaan ikrar mengakhiri jam pertama waktu persekolahan.




Kringg..kringg..kringgggggg..ring..ring!


Loceng menandakan tamat waktu rehat pertama. Aku hanya menjeling tanpa ada rasa ingin menoleh ke arah 3 orang pelajar perempuan yang berdiri di antara bilik guru besar dan makmal fizik. Suara nyaring mereka berjaya menarik perhatian ramai. Ada yang hanya memandang dan berlalu pergi. Ada yang memandang dan membuat muka jengkel. Ada yang memandang dan gelak bersama. Berkejaran, berebut-rebut untuk menekan loceng. Tekan loceng. Rasa bagai diri ini menguasai keramaian; setekun mana pun seorang itu sedang menikmati juadah, harus dia tinggalkan demi mematuhi peraturan. Tidak ada yang bisa memprotes, bahkan menunjukkan tanda protes juga tidak mungkin.


Katakanlah manusia itu boleh mematuhi perintah Tuhan Maha Pencipta sepertimana mereka mematuhi loceng yang tidak bernyawa itu, kan bagus.


Petang itu. Aku menuju ke bilik guru untuk menghantar kertas kerja. Patah balik melalui jalan yang sama. Langkah seolah-olah diatur dengan kemas. Jalan seolah-olah dibuka dengan luas. Aku terpaku. Terhenti seketika. Corong nafasku bagai tersumbat. Sukar sekali untuk aku bernafas. Begitulah sukarnya untuk aku menahan rasa yang dipendam. Walau sekadar angin yang berselisih. Terasa ribut yang melanda. Memang benar, aku suka sama dia. Dia, Muammar. Sudah menjadi lumrah bagi seorang manusia. Tidak aku nafikan. Aku kerap mencuri pandang tika berselisih. Aku kerap memikirkan dia. Aku kerap membayangkan dia bersama aku. Walau aku tahu itu dosa. Aku seringkali alpa.



“Yasmin, balik lambat kan?”

“Ya, nak buat kerja sekolah sama-sama?”


Atina mengangguk tanda setuju. Dia adalah teman sekerja aku di kala yang lain sudah pun bersantai di rumah. Dia sangat rajin. Aku berjalan di belakangnya. Langkah kami hampir seiring. Tangga pertama dia pijak, aku pijak. Tangga kedua dia langkah, aku langkah. Tangga keempat dia jejak, aku ikut jejak. Andai sahaja aku mampu mengubah sikap malasku dan menjadi seperti dia. Seperti mana langkah kami yang serupa. Tiada yang termampu kecuali rasa cemburu. Entah sampai bila rasa ini akan terus menumbuh. Aku yang berterusan menjadi sumber tumbesaran perasaan itu. Merelakan sahaja. Mengiakan sahaja. Seperti seorang penggemar tanaman melihat pokok bunganya berkembang mekar. Begitulah aku.



Aku tersentak.


“Itu dia..”


Senyum itu terukir tanpa ada yang melukisnya. Begitulah aku setiap kali melihat kelibatnya. Melihat dia berjalan tegap di hadapan aku. Melihat dia memijak bumi penuh keyakinan. Melihat dia mengatur langkah penuh rapi. Aku cemburu. Cemburu kerana setiap mata yang ada di sekelilingku memerhati objek yang satu. Objek yang aku kira hanya aku yang mampu perhatikan. Walau berat untuk aku relakan. Aku sedar bahawa objek itu bukan punya aku. Hati yang diburu dengan variasi perasaan; senang hati, sakit hati, patah hati, berlumba-lumba untuk sampai ke gerbang utama. Namun tidak lama aku biarkan perasaan itu berlari-lari. Aku hanya mampu menahan dengan bicara istighfar.


Entah sampai bila aku akan terus begini. Terus-terusan membutuhkan rasa bahagia yang aku sendiri tahu itu sementara. Aku juga punya rasa ingin mengasihi dan dikasihi. Aku sedar keinginan aku itu tiada yang mampu untuk mengatasi melainkan aku sendiri. Bingung aku setiap kali memikirkan soal itu. Terkadang aku tersedar. Aku tidak punya kekuatan untuk menahan perasaan ini. Perasaan yang dulunya pernah aku sulam. Pernah aku melayarinya. Pernah aku menitinya. Pernah aku merasakan nikmat berada di dalamnya. Pernah aku terhanyut bersamanya. Bahkan aku rindukan rasa itu. Walau pernah rasa itu yang membawa bisa. Bisanya menyegat ke lubuk hati yang paling dalam. Peritnya Tuhan saja yang mengerti.


“Ah! Persetankan! Macam lah dia masih punya rasa yang sama pada aku seperti dulu.”


Sukarnya berbohong pada diri sendiri. Benarlah nurani itu tidak bisa berbohong. Benarlah kata itu nyalarnya dusta.





“Wa la tagqrobu zina!”


Acap kali aku mendengar potongan ayat itu dibacakan. Aku tak perlukan tafsir untuk memahaminya. Aku tak perlukan penjelasan yang spesifik untuk mendalaminya. Kerana aku sangat mengerti. Apa yang cuba ditekankan. Cuma tinggal hati yang keras untuk dilembutkan. Telinga yang pekak untuk didengarkan. Jauh sekali rasanya perjalanan informasi untuk sampai ke otak. Untuk digerakkan. Untuk dibilang tindakan terhadap rangsangan. Entah kenapa. Rasa hati ini belum menemukan suatu yang bisa menghapuskan rasa gelisah. Suatu yang dinamakan ‘ketenangan’. Aku mahu ketenangan itu berlarutan. Tiada perhentian. Tapi apa? Bagaimana?


Jujurnya aku benci sekali dengan persepsi klise sesetengah mereka.


“Lupakan saja dia. Kalau kau benar-benar suka, doa saja moga dipertemukan jodoh.”


Bukan aku mahu pertikaikan soal jodoh. Bukan juga aku mahu persoalkan ketentuan Tuhan Sang Pencipta Siang dan Malam. Cuma otak kusut aku tak mampu menerimanya. Emosi yang menguasai tak mampu menghadamnya. Bilang saja,


“Dia bukan untuk kau.”


Itu lebih memberi ketenangan. Cemburu aku semakin membesar. Ego aku semakin meninggi. Aku jarang sekali menceritakan perihal perasaan kepada teman-teman. Aku malu. Aku takut mereka tak dapat terima. Aku takut mereka punya rasa yang sama seperti mereka. Lagi pula soal perasaan bagi mereka tidak wajar dibicarakan selalu. Aku ikut setuju. Bagi aku, mereka teman. Mereka yang paling mengerti aku selepas orang tuaku. Mereka yang sudah hampir 10 tahun aku bersama. Hampir sedekad bertepuk tampar. Hampir satu persepuluh abad bergelak tawa, berduka lara.






“I’m just a little bit caught in the middle

Life is a maze and love is a riddle

I don’t know where to go can’t do it alone

I’ve tried and I don’t know why..”


Terasa malas untuk bangkit menjawab panggilan. Tapi hati kecil aku memujuk. Mudahnya aku termakan pujukan.


“Hello?”

“Hello Min, online sekejap. Penting!”

“Ala, kenapa? Malas la.”

“Ish, suka hati kau la. Tapi baik kau baca shoutbox blog kau.”

“Kenapa kenapa? Ada apa?”

“Tengok la sendiri. Bye!”


Aku kaget. Aku membaca ayat yang ditulis berulang-kali.


‘Engkau sedar diri sikit boleh tak? Engkau tu dah la merokok! Tak suci! Perempuan tak ada maruah! Gatal! Harap pakai saja tudung! Mulut mencarut-carut! Kau fikir lelaki suka perempuan macam kau?’


Ya Allah. Apa benar apa yang aku baca? Kalau benar ada yang menulis itu. Apa yang cuba dia sampaikan? Mengapa aku dihina sebegitu rupa? Mengapa perlu aku dicaci di tempat awam? Mengapa perlu aku dimalukan tanpa sebab? Arus air mata yang mengalir terasa deras. Ironinya, tiada rasa marah dalam dada. Tiada rasa ingin untuk memprotes. Apa mungkin ini satu peringatan dariNya? Peringatan buat diri aku yang dinodai dosa. Tidak lama aku menangis. Hati aku tergerak untuk membaca ayat-ayatNya. Dalam kekesalan. Aku merindukan bait-baitNya.


Aku bingkas ke kamar mandi. Mengambil wudhuk. Menyarungkan pakaian sembahyang yang putihnya buat aku rasa tenang tika berada di dalamnya. Segera aku berniat. Mengangkat takbir melaungkan nama Allah. Bergetar hati menyebut nama ar-Rahman. Terasa diri begitu dekat tika sujud ke bumi menyembahNya. Aku memanjangkan sujud terkahir. Memohon teresak-esak. Tersedu-sedu. Banyaknya permintaan aku daripadaNya. Sedangkan kewajipan ke atasNya yang satu. Payah sekali aku tunaikan. Apa permintaan aku layak dimakbulkan? Hinanya aku. Kerdilnya aku. Selesai memberi salam. Aku menadah tangan. Sekali lagi memohon keampunan di atas segala kelalaian.


Aku bangun separuh berdiri. Memanjangkan tangan untuk mencapai al-Quran. Al-Quran yang sekian lama aku tinggalkan. Tak pernah meninggalkan aku. Aku membaca satu demi satu perkataan. Sedaya upaya untuk menjiwai. Bergetar jiwa melafaznya. Sedar tidak sedar. Hati aku begitu tenteram. Aman sekali. Aku merenung seketika.


“Ayat-ayat ini yang bisa mengamankan semua. Ya Allah, Engkau masih kasihkan hambaMu yang hina ini.”


Sesudah itu aku mencapai selimut. Membaca surah al-Masad, al-Falaq, an-Nas, ayat kursi, doa sebelum tidur dan syahadah. Tenang sekali tidur aku malam itu.





“Yasmin, aku nampak Muammar tengok kau tadi. Suka la tu!”


Aku hanya mampu diam. Diam seribu bahasa. Hati yang tersenyum girang. Bukan aku bangga punya mata yang memerhati aku. Jauh sekali memikirkan kalau aku berjaya menggoda. Cuma bahagianya terasa. Diri ini masih dicinta. Masih dimahu. Namun kewarasan sempat meggerakkan aku. Menyedarkan aku dari lamunan. Ini semua dugaanNya.






“Ya Allah, Engkau Tuhan yang menjaga hati. Tetapkanlah hati aku.”


Mumtaz yang sedari tadi aku biarkan tertanya-tanya sendiri. Menanti kalau aku akan memberikan tindak balas yang normal. Aku sekadar menggerakkan bibir. Bibir itu ternaik. Pada hujungnya disertai sinaran mata. Membayangkan rasa suka.


“Kau macam tak suka saja.”

“Bukan aku tak suka, cuma aku rasa dah tak ada apa-apa sebab untuk aku rasa gembira mendengar khabar itu.”


Benar. Aku tidak kuat lagi untuk berbohong. Rasa itu harus aku bakar sehangus-hangusnya. Harus aku tanam sedalam-dalamnya. Harus aku lupakan semahu-mahunya. Paling tidak. Aku harus cari jalan untuk membuka ruang yang sempit itu. Sempitnya yang menghimpit. Himpitan yang membuat aku tersepit. Telah sekian lama aku lemas di dalam sangkar ini. Sangkar yang menyekat kebebasan untuk aku berfikir dengan wajar. Mengurung rasa sebuah emansipasi yang aku cari.


Sepanjang hari aku berfikir. Setiap apa yang disampaikan di dalam kelas oleh guru mahupun rakan. Aku pedulikan. Pada saat itu, aku dihujani pelbagai rasa. Aku keliru. Apa aku benar-benar bisa menolak setiap perasaan yang dulunya hadir tanpa diundang? Alangkah baiknya jika perasaan itu bisa pergi tanpa perlu ada yang menjemputnya. Aku mahu berhenti berharap. Lelah hati ini meyakinkan. Itu yang terbaik. Saban hari aku menunggu. Menunggu sebuah jawapan.


Aku kemaskan barang. Siap-siap untuk pulang. Kapan semua ini akan berakhir?





“Ibu, boleh bicara sebentar?”

“Boleh sayang, ada apa?”

“Ibu ingat Muammar? Min pernah cerita dulu.”

“Oh, budak yang Min pernah suka tu? Kenapa? Dia dah tahu Min suka dia?”


Berat sekali untuk aku tidak berkata benar. Aku menceritakan setiap yang terjadi. Dari detik awal aku jatuh hati. Sehingga sabotaj yang menghantui diri. Hati aku sekali lagi terasa tenang. Sama seperti yang aku rasakan semasa sujud menyembahNya. Selama ini aku lalai. Aku tidak pernah sedar kalau ibu itu sentiasa ada. Setia mendengar keluh-kesahku. Setia mengesat air mataku. Setia membuka pelukan yang aku perlu. Dakapan itu yang aku butuhkan. Yang aku rindukan. Setiap kata yang ibu ungkap. Amannya jauh lebih baik berbanding meditasi.


“Jangan salahkan siapa-siapa dalam soal ini. Jangan juga salahkan diri sendiri. Ini semua memang ujian dari Allah. Perasaan itu lahirnya secara natural. Tinggal manusia yang perlu berusaha mengawalnya. Nafsu itu memang tugasnya meronta-ronta minta dipuaskan. Jangan terlalu kejarkan materi dunia. Memang indah bila dapat. Tapi indah itu sementara. Kejarkan cinta Allah. Dahagakanlah kasih sayang Allah. Walau apa jua terjadi, ibu sentiasa ada. Ibu sentiasa sayangkan Min.”


Ya Tuhan, mulianya hati seorang ibu. Aku terharu.





Malam itu aku terjaga. Jam 3 pagi. Tanpa ada yang membangunkan. Aku duduk di atas katil. Dalam kegelapan. Berfikir sejenak. Kata-kata ibu masih terngiang.


“Kalau lah aku mati sekejap lagi, siapa yang nak teman aku?”


Aku bingkas bangun. Mengambil wudhuk dan memakai telekung. Telekung itu masih wangi. Walaupun aku yang berbau menyarungnya. Aku menunaikan tahajjud. Sudah lama aku tidak bertahajjud. Kali terakhir seingat aku. Semasa program Tamrin di sekolah. Aku memohon semahu-mahunya pada sujud terakhir. Saat itu. Aku rasa sangat dekat dengan Allah. Aku rasa berat sekali untuk bangkit dari sujud. Bagai ada daya tarikan graviti yang kuatnya tiada tara. Bahagianya pula usah dikata. Aku memanjangkan sujud itu. Terlerai juga akhirnya. Aku memberi salam dan berdoa.


Sungguh, Allah itu sangat mengasihi aku. Aku ingin menjadi seperti pendengar loceng; setekun mana pun aku sedang menikmati sesuatu, harus aku tinggalkan demi mematuhi peraturan. Tidak ada yang bisa aku bantah, bahkan menunjukkan tanda protes juga tidak mungkin. Aku benar-benar mahu mengejar cintaNya. Sungguh, cinta itu bahagianya sementara. Yang indah itu hanya selepas ada ikatan yang halal. Yang kekal itu hanya pada Tuhan Sang Pencipta Cinta.


This entry was posted on 9:50 PTG and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 ulasan: