KIIPPAS : Amin
9:43 PTG | Author: Idris Bin Saleh



KIIPPAS

Keindahan dihiasi lambaian putih kain tergantung di dinding dewan, diserikan dengan cahaya kuning dan putih sekeliling. Lima meja segi empat, berhadapan meja pengantin diletakkan tanda “Family” dan dua puluh meja “VIP”.

Hampir tiga ratus meja dipenuhi tetamu berbilang bangsa, menghadiri majlis perkahwinan Shyuqri dan Syakirah.

Iringan pengantin bersama kompang didendang irama ‘kelopak jantung’ masuk ke dewan megah singgahsananya. Ternanti-nanti para tetamu melihat wajah pengantin senyum berseri, sebagaimana raja dan permaisuri menghadap jelata.

“Mak, handsome juga rupanya si Shyuqri tu ya. Bertuah juga dia berkahwin dengan Syakirah.” kata Rozainah.

“Yalah, anak ibu lah katakan. Semua manis-manis muka. Hehe.”

Tiba mereka berpangkat raja sehari duduk bersanding, sekuat kilat bunyi tembakan dilepaskan dari arah pintu, terus memecahkan pasu yang berada di sebelah kanan Shyuqri. Suasana hingar-bingar seketika. Para tetamu diam sementara. Terkejut.

Shyuqri yang hampir ditembak itu, apatah lagi. Lantas Syakirah, pengantin perempuan itu pucat wajahnya. Terkelu lidah untuk berkata.

Suara garau seorang lelaki dari arah pintu mula kedengaran.

“Hey Shyuqri, jangan sangka aku tidak kembali. Janjiku padamu akanku kotakan hari ini!!” Nahaslah kamu Shyuqri!”

Sepucuk senapang ditangan kanannya, sambil sebilah pisau digenggam erat tangan kirinya. Tetamu sudah mula saling memandang sesama sendiri.

“aaaaaaaaaaaaaa~!!!”, jeritan manusia mula menyelubungi suasana.

Shyuqri tanpa berlengah, berdiri memberanikan diri dan mula melangkah satu persatu ke arah lelaki itu. Tetamu semua tunduk, menyorokkan diri yang ketakutan.

“Kamu Hyukai? Sedangkan aku berada di sini, kenapa hajatmu di bawa ke mari? Hyukai, hari ini hari aku. Jangan engkau berani timbulkan pertarungan di sini!” kata Shyuqri, tegas sambil berjalan ke arah Hyukai.

“Sekali aku berkata, pasti aku tunaikan. Lebih-lebih lagi jika berkaitan denganmu. Perkara ini, berkaitan antara hidup dan mati. Shyuqri, lebih baik kau menyerah, sebelum semua menjadi parah!”

Segenap suara, lantas Hyukai berlari menuju ke arah Shyuqri, Pada masa yang sama, Shyuqri juga berlari menuju ke arah Hyukai sehingga melompat keduanya bertempur ke luar dewan. Bunyi tembakan berdas-das kedengaran dari dalam dewan. Para tetamu masih menyorok, ketakutan. Keluarga Shyuqri, masing-masing berpelukan.

Seminit berlalu, tiba-tiba suasana di luar, sunyi seketika…..

****************

Beg hitam jenama adidas dicampakkan Shyuqri ke atas sofa, di ruang tamu. Lapar kenyang di perut tidak dihiraukannya, habuk bersih badan tidak diambil kisahnya. Jam menunjukkan tepat 4.00 petang, selasa. Shyuqri yang baru pulang dari sekolah terus menuju ke biliknya. Ayah dan ibunya masih belum pulang dari kerja.

“Abang aie, tadi mak telefon. Ibu pesan masak nasi. Kalau lapar, dalam fridge ada lauk, panaskan. Lagi satu, ibu suruh abang basuhkan baju yang ada di dalam bakul sebelah bilik ibu tu.” suara Loqman lembut memberitahu.

Shyuqri terkejut.

“Eh, Aman? Bila Aman pulang? Awalnya. Kenapa hari ini tiba-tiba Aman awal saja?”

“La, semalam kan Aman sudah beritahu, hari ini ada hari kanti. Jadi, sekolah habis pukul 2 petang tadi.” Loqman menjawab membuang kehairanan Shyuqri.

“Oh, abang lupa. Oklah, pergilah keluar dulu. Abang Aie penat. Nak rehat dalam bilik sekejap.”

“Em, abang….. Tak apalah.”, Loqman, segan-silu dengan abangnya. Malu untuk memaksa. Lantas tanpa menoleh, Loqman keluar dengan perlahan.

“Aah, penat-penat, rehat dulu. Rehat-rehat, enjoy dulu. Sekejap saja. Semalam punya mission tak habis lagi. Kalau tak, macam mana nak lega. Habiskan dulu, barulah buat kerja. Ha, bijaak bijaaak~.”

“Tiit Tooot”(Bunyi perkakas Playstation 3)


Sedang masa berlalu dengan lamanya, bergegas Loqman berlari ke arah bilik Shyuqri. Terpekik dia menjerit “Abang Aie!! Ibu dah balik!”

“Aaaa?”

“Ibu! Dah!, Balik!!”

“Eh? Ok.”

Tenang jiwa Shyuqri mendengarnya. Tetapi untuk seketika. Sedar tidak sedar, jam sudah menunjukkan hampi 6.15 petang. “Astaghfirullahal’azim! Asar! Aku belum solat. Habislah aku.” Shyuqri bermonolog.

Maimunah, 45, setiausaha sebuah syarikat swasta di bandar Ampang, menuju ke ruang tamu rumah. Keringnya dijamu air, dibawa Loqman. Duduk, memberi peluang kakinya berehat setelah lapan jam menjadi tenaga.

“Terima kasih Aman. Ha, macam mana program sekolah tadi? Ada ‘power’?”Tersenyum Maimunah sambil melihat anaknya.

“Wah, boleh tahanlah ibu. Aman rasa, perut Aman dah tambah tiga inci. Hehe.”





Tersengih Maimunah dengan gelagat anaknya dan tenang berkata“Amboi, banyak makan betul anak ibu ni. Nak makan itu boleh. Tapi ingat, Rasulullah, perutnya tak pernah kenyang tau. Nak tahu kenapa? Sebab, Rasulullah pesan, makan bila lapar, dan berhenti sebelum kenyang. Aman pun tau kan?”

“Ya! Wahai ibundaku! Dari kecil ibu sudah kata.”

“Ha, Aman. Abang Aie mana?”
“Ada kat bilik dia. Aman dah panggil dia tadi. Nanti dia datang.”

Gelas penuh menjadi kosong. Dahaga Maimunah sudah terjawab. Aman mengangkat gelas itu kembali ke dapur. Jam sudah menunjukkan tepat 6.30 petang.

“Mana Aie ni”, monolog Maimunah.

“Tok tok tok”(Bunyi pintu)

“Aie, Aie.”

Shyuqri yang baru selesai menunaikan solat asar, cepat membuka pintu.

“Aie, awak tu buat apa? Lama dah ibu tunggu ni. Dah solat ke belum?”

“Dah. Baru saja.”

“Eh eh awak ni. Awak tu dah tingkatan dua tau. Em, murid sekolah menengah lah katakan. Dah tu, buatlah cara orang dah besar. Ha, tu kenapa televisyen tak tutup? La, Aie main game?”

“Mana? Oh, itu. Er, ya. Kejap saja bu. Aie habiskan satu mission saja. Selepas ini Aie….”

“Oo, semalam pun macam ini juga. Kelmarin pun sama. Sama juga minggu lepas. Esok? Sama sajalah agaknya. Aie, janganlah begini. Awak ni. Nasib baik abah awak tu dapat masukkan Aie ke sekolah yang Aie nak sangat masuk itu. Berbelas surat rayuan abah buat tau. Jangan sampai abah hantar Aie ke asrama pula. Nanti siapa nak jaga Aman? Rumah? Kak Ain dah kahwin. Aie lah yang paling tua kat sini nak jaga adik.”

“Em, ya ibu. Aie dengar.” perlahan Aie berkata.

“Dah, ibu penat ni. Nanti tolong ibu kemas meja makan. Hari ni ibu nak masak special”

“Wah, Ok ibu!”

****************

9.00 malam. Kereta Perdana hitam, WMK 1290 membelok ke halaman. Kereta yang sudah tujuh tahun ‘umurnya’ masih elok digunakan. Langit gelap, hanya bercahayakan bintang dan bulan sambil menitis air hujan. Renyai-renyai begitu.

“Ibu! Abang! Abah dah balik.” teriak Loqman memanggil.

“Pergi bukakan pintu tu. Selepas itu tolong ibu hidang. Kita makan sama-sama.” Kata Maimunah sambil memotong lobak merah di tangannya.

Shyuqri terus meninggalkan biliknya dan menyambut kepulangan abahnya itu.

Hujan masih rintik dari awal senja.

“Sedapnya bau. Ibu masak apa ni Aie?Aman?” Zahir teruja seketika.

“Ha, kalau abah nak tahu, hari ini ibu kata, ibu masak special, tapi kami ini pun tidak tahu apa yang ibu masak.” balas Aman sambil ketawa.

“Oh begitu. Oklah, abah nak mandi dulu. Selepas itu kita makan ramai-ramai. Laparnya oi~” kata Zahir, mengusap perutnya.

Meja bulat, penuh dihidangkan makanan. Semua sudah berada di kerusi menunggu doa. Maka, mengisilah masing-masing dengan makanan itu.

Gelap langit sudah menutupi semuanya. Rintik hujan sudah berhenti sepenuhnya.

Jalan sudah lengang dari manusia sambil jam menunjukkan 10.30 malam.

“Abang…” Maimumah perlahan memanggil sambil menuju ke suaminya.

“Em?Kenapa?” jawab Zahir, duduk menonton televisyen.

“Aie”

“Kenapa dengan Aie?”

“Tak adalah, cuma saya risau dengan dia tu. Hari-hari tenung PS3 dia. Dah petang, sambung malam. Kata nak belajar tapi tidak juga. Saya dah nasihat, tapi macam tu sajalah dia. Alasan, dah main baru boleh fokus. Kelakar sajalah dia itu.” kata Maimunah sambil menenangkan diri duduk berhadapan Zahir.

“Hrm, sebenarnya abang dah perasan juga perkara ini. Oklah, tidak mengapa. Nanti abang akan fikir cara. Allah tu kan segala-galanya. Insya-Allah pasti ada cara.Ok? Dah, awak tu pergi masuk tidur. Abang ada kerja sekejap di sini.” jawab Zahir penuh ketenangan.

Shyuqri, berkaca mata, agak tinggi orangnya berbadan tidak gempal dan tidak kurus masih bersama dengan perkakas menjamu selera minda permainannya. Kadang-kala, tersenyum sorang-sorang pun ada. ‘Kenyang’ game mengalahkan ngantuknya.

****************

Khamis, Zahir tidak ke tempat kerjanya. Mengambil cuti kerana membawa Loqman untuk mendaftarkan diri di tabung haji. Umurnya yang sembilan tahun itu sudah cukup melepasi kadar minima pendaftaran sebagai penyimpan tetap. Jam satu tengah hari, Rozainah menziarahi keluarganya. Loqman kegembiraan kerana itulah kali ke tiga dia dapat berjumpa dengan kakaknya setelah dua bulan berkahwin.

Maimunah juga telah pulang awal hari ini setelah mendapat khabar Rozainah berada di rumah.

“Assalamualaikum!” teriak Maimunah menuju masuk ke rumah.

“Waalaikumussalam… …”

“Eh, Ibu. Apa khabar ibu. Ibu sihat? Mari masuk duduk dulu. Tadi Ain sembang-sembang dengan abah dan Aman ni. Nak isi rindu lah katakan.” kata Rozainah tersengih sambil Aman berdiri di sebelahnya.

“Oh.(tersenyum) Jangan dikata Ain saja yang merindu, kami ni pun teringin nak jumpa Ain juga. Tapi, eh, mana Hamzah?” Tanya Maimunah akan suami Rozainah.

“Hamzah ke kedah. Dia kata ada urusan di sana. Esok dia balik. Jadi Ain ada banyak masa, datanglah ke sini.”

“Begitu..”

“Abang, pasal Aie macam mana?” tanya Maimunah nada rendah.

“Aie???” Rozainah hairan.


Hening suasana seketika. Seperti tidak ingin diberitahu oleh Zahir. Tapi apakan daya, suram Zahir berkata, “Hrmm. Tentang itu, abang sudah buat keputusan. Mulai minggu hadapan, Aie akan tinggal berasingan dengan kita. Abang dah sewa apartment, Aie tinggal di situ. Dekat saja dengan sekolah. Dia jalan sendiri. Tak perlu naik bas lagi.”

“Eh?????” Maimunah dan Rozainah, masing-masing pandang sesama sendiri.

“Betul kah?”

“Ya, abang sudah buat keputusan. Munah dan Ain tak perlu risau apa-apa. Abah dah uruskan semuanya termasuk guru peribadinya, Cikgu Karim. Malam nanti abah akan beritahu Aie.”

Loqman yang berada di meja, masih seronok dengan keknya. Maklumlah, peminat setia segala jenis kek. Shyuqri masih belum pulang. Rozainah berhasrat untuk bermalam di situ.

****************

Pancaran siang menjadi malam. Sayup udara mendayu menerbangkan daun, berguguran. Zahir, Maimunah dan Rozainah berada di ruang tamu menonton berita di televisyen. Maka jam berdetik memancarkan pada 8.45 malam. Shyuqri dan Loqman baru sahaja selesai mengisi perut mereka di dapur.

“Aie, mari sini sekejap.” Panggil Zahir yang berada di sofa.

Shyuqri menoleh dan menyahut panggilan abahnya. Maka, duduklah dia bersama keluarganya di ruang tamu.

“Ada apa abah? ibu? kak Ain?” Kehairanan Shyuqri bertanya.

“Aie, begini. Abah, ibu dan kak Ain kamu, dah setuju untuk hantar Aie tinggal di apartment sewa, dekat dengan sekolah Aie. Senanglah untuk Aie ke sekolah hari-hari, jalan kaki saja. Tidak lagi perlu tunggu bas. Jadi, mulai minggu depanlah, Aie tinggal di situ.”

“Apa? Aie tinggal sorang-sorang? apartment? Jalan kaki?”

“Begini Aie, sebenarnya abah kamu tu sudah fikir masak-masak untuk kebaikan kamu.”

“Em, Aie. Abah dah dapat banyak teguran dari guru kamu kat sekolah. Kamu sebenarnya hampir…. …. …dibuang, tapi abah merayu kat mereka. Maka, eloklah kamu tinggal di apartment itu. Aie jangan risau, abah dah upah guru peribadi Aie, Cikgu Karim. Dia akan tolong Aie di sana. Ok?”

“Errr…….”

Shyuqri terdiam sebentar. Tanpa menoleh dia terus ke biliknya.

“Perlukah aku ke sana?” Shyuqri bermonolog.


Pejam mata buka mata, hari silih berganti. Malam kembali siang, siang kembali malam. Laluan di sekitar Cheras, padat dengan manusia sekitarnya. “Apartment Indah”, 100 meter dari Sekolah Menengah Agama Integrasi al-Jadid Cheras. Tingkat dua, blok hujung, teratak Shyuqri menjinakkan kakinya untuk berada. Sudah tiga minggu Shyuqri di sana. Pembelajaran Shyuqri bertambah baik dengan suasana baru, dan kehadiran Cikgu Karim, juga sebagai penjaganya.


Tiga hari selepas itu, Zahir, sudah ke pulang ke Rahmatullah, dirompak di pasaraya, berseorangan. Perompak, sinonim didengar dan dilihat di dada akhbar mahupun kaca televisyen sememangnya semakin berleluasa. Maimunah terpaksa cuti bekerja seketika. Rozainah mengikut Hamzah, suaminya turut masing-masing sayu akan perkara tersebut. Loqman, sudah beberapa hari tidak ke sekolah.

“Assalamualaikum, Shyuqri! Ini Cikgu ni.” panggil Cikgu Karim sambil mengetok pintu.

“Waalaikumussalam, Cikgu. Jemput masuk.” jawab Shyuqri pantas.

“Hari ini, kita nak belajar tentang apa cikgu?” tanya Syuqri.

“Erm, hari ini. Hrm, sebenarnya begini. Lupakan dulu tentang itu. Tadi, Cikgu dapat pesanan dari ibu kamu yang sebenarnya….. …. sebenarnya……”

“Sebenarnya apa?”

“Sebenarnya… abah kamu…. abah kamu….abah….sudah… Em, Allah sudah menyayangi abah kamu lebih dari kita.” kata Cikgu Karim, muram dirinya.

“Innalillahi wa innailaihiraji’un, ya Allah…..” kata Shyuqri tersebak.

“Jadi, cikgu pulang dulu. Ibu kamu pesan, jaga diri baik-baik. Nanti dia datang melawat kamu. Usah kamu melawat mereka. Ya? Ini ada akhbar pasal abah kamu. Ok. Cikgu pergi dulu. Tabah ya nak.” lontaran semangat Cikgu Karim.

Shyuqri, muram. Pilu rasa hati. Tidak sanggup menghadapi. Semangat dikumpul hilang bagai ditiup angin berduri.

Seminggu berlalu. Ketidak hadiran Shyuqri ke sekolah, mengungkit kehairanan dan penambahan kukuh bahawa Shyuqri, tiada minat. Dek kerana, selama itu, Shyuqri langsung tidak menampakkan wajahnya di sana.


Dua bulan berlalu, hilang Shyuqri akan cita-cita. Hanya mencari impian untuk dibentuk semula. Sekolah?

“Apa saja yang aku ada sekarang? Ibu, Aman, kak Ain di rumah. Aku? Seorang di sini? Sampai bila?” ungkapan hati pilu Shyuqri.

“Macam mana hidup, abah dah tak ada. Sekolah, sudah lari dari aku. Ibu, rumah di sana. Aku? Ahh! Cukup! Esok aku kerja! Habis segala-galanya.” tekanan perasaan Shyuqri semakin di rasa.



8.50 pagi, langkah demi langkah, diperhatikan ke kiri dan ke kanan. Tertoleh, senyuman terpapar di raut wajah yang tidak dikenali. Namun, lantas Shyuqri meneruskan perjalanan. Akhbar demi akhbar habis kulit ke kulit. Butiran pekerjaan semua dicari. Rupanya, nasib Shyuqri di akhbar mingguan. Bahagian tengah, belah kiri atas, bertajuk ‘Anda mampu beraksi?’, telah menarik minat Shyuqri.

“Eh, macam best, kelayakan, umur 13 hingga 20? Boleh ni! Bila ya? Oh, minggu depan, sabtu untuk temu duga di Syarikat ETHR Sdn. Bhd. Ampang. Eh! Dekat sahaja! Betulkah ini?” kejutan Shyuqri sambil menggosok-gosok matanya membaca berulang kali.

****************

“Assalamualaikum, Aie!”

“Abang Aie!!!” dingin Aman menggamit rindu.

“Waalaikumussalam. Ibu?Aman?Eh????” hairan Shyuqri.

“Kenapa? Terkejut?”

Shyuqri tergamam seketika. Lalu melihat jam, masih lagi menunjukkan pada 12.15 tengah hari. Hairan melihat kedatangan ibu dan Aman, sambil menjemput keduanya masuk ke rumah sewanya.

“Err, ibu. Errr…”

“Apa yang di ‘errr’ lagi. Ibu sudah tahu. Pihak sekolah sudah cerita pada ibu.” tegas nadanya.

“Habis tu, macam mana?” soal Shyuqri, perlahan suara.

“Tak apa, nanti ibu carikkan sekolah lain. Sudah, kamu tu macam mana sekarang?.....” balas Maimunah.

Sehingga jam 3.45 petang Shyuqri diziarahi keluarganya. Sinar sekolah kembali dari Ibu untuk Shyuqri. Sedangkan, tidak terniat untuknya menyambung persekolahan. Cukup sebagai ilmu yang padanya, boleh dipelajari juga tanpa menghadiri kelas-kelas formal.

****************

“Segalanya terjawab Hyukai! Ketajaman kipasku tak dapat engkau tandingi. Adakah engkau, masih kehausan kesengsaraan lagi?”

“Cut!!!! Tahniah!! Pengambaran kali ini tiada masalah. Hai Shyuqri, kamu betul-betul berbakat. Cerita kita pun sudah hampir siap. Tak lama lagi merata lah ‘Kiippas’ di Malaysia. Tak silap saya pilih kamu. Dah, mari makan. Hari ini saya belanja.” Kata Encik Tahir Jamaluddin kegembiraan, pengarah filem Metro Indah Sdn. Bhd.

“Eh eh, terima kasih tuan.”

“Usah kamu ber’tuan-tuan’ lagi dengan saya. Sudah dua tahun kita bersama. Hrm, saya masih teringat lagi sewaktu pertama kali berjumpa dengan kamu. Bayangkan, lima tahun kamu bersama ETHR, sudah ‘hidup’ kamu dengannya. Tapi malang, celik pejam mata, sekejap saja ETHR terpaksa ditutup pada masa itu. Aih, angkara dengki manusia macam-macam boleh terjadi. Kebetulan pada masa itu saya jumpa kamu, memang kamu berbakat.” Suara Encik Tahir begitu teruja sambil keduanya berjalan menuju ke restoran berdekatan.

“Terima kasih lagi sekali ya encik.”

“Ya sama-sama. Ha, Shyuqri. Kamu ini kan, saya lihat, pandai juga ya kamu melakonkan watak itu. Aksi kamu bukan main lagi. Mana kamu dapat?”

“Oh, itu. Erm, bolehlah. Saya cuma buat yang terbaik untuk cerita kita tu. Ini pun dari tunjuk ajar dari rakan-rakan Metro Indah jugalah.” balas Shyuqri merendah diri, sambil dirinya tersenyum, teringat akan game dari Playstation 3 yang juga beraksi lincah, untuk menyelesaikan misi-misinya tersendiri.

“Alahai, terharunya saya dengar. Oklah, kita pun dah sampai. Jom makan”


****************

“Kiippas”. Sebuah filem superhero Malaysia berunsurkan teknologi kipas angin, dibintangi oleh Shyuqri sebagai Shyuqri juga, sebagai mengikut nama asalnya, telah diletupkan oleh sambutan para penonton di seluruh negara. Secara logiknya juga, Shyuqri telah popular dalam kalangan rakyat Malaysia atas lakonannya yang begitu beraksi.

Hidup Shyuqri sama sekali telah berubah. Lebih-lebih lagi Shyuqri telah mengenali seorang jelitawan bernama Syakirah, yang memaparkan gaya hidup sungguh seperti seorang muslimah sejati. Sebagaimana kehidupannya, maka berkahwinlah mereka berdua.

****************

Seminit berlalu, tiba-tiba suasana di luar, sunyi seketika…..

Para tetamu meninggikan kepala mereka. Ke kiri ke kanan melihat keadaan sekeliling. Masing-masing mengembalikan posisi asal mereka, berdiri menghadap ke luar dewan. Apa yang telah terjadi?

“Ibu! Bangun Ibu! Abang Aie ni, dari tadi tak nampak-nampak. Ibu!” suara risau Loqman mengejutkan ibunya.

“Ehh, Aman, tak apa. Sabar. “ pujuk Rozainah.

POOOOM!!!!!! (Bunyi letupan). Sedang para tetamu menghadap ke luar dewan, rupanya pelamin di atas pentas telah meletup. Asap, berkepul-kepul. Terkejut para tetamu sekali lagi. Lantas….. “Ya!!!... Hahaha!” kedengaran suara lelaki dari arah pelamin.

Muzik tiba-tiba dimainkan. Para tetamu yang terkejut, kerunsingan.

Dalam kesesakan asap di atas pentas, tiba-tiba muncul dua orang lelaki yang hampir mirip wajahnya akan Shyuqri dan Hyukai, sambil mereka berdua berdiri bersebelahan menghadap tetamu.

“Terima kasih diucapkan kepada semua hadirin dan hadirat sekalian. Usahlah anda semua bimbang lagi…”

“Benar, tiada apa yang anda perlu bimbangkan. Oleh kerana, ini semua adalah….”

“Lakonan??!!!!” teriak salah seorang tetamu.

“Haha. Tepat sekali!” jawab Shyuqri penuh senyuman.







Ditulis,

~Am~

……………

21 Mac 09, 12.46 am
This entry was posted on 9:43 PTG and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 ulasan: