Lembah Panjshir, Afghanistan: Muhammad Safwan
9:21 PTG | Author: Idris Bin Saleh



Lembah Panjshir, Afghanistan

Jun 1980, 1.00 Pagi



Malam terlalu sunyi dan sejuk di kawasan ini. Sudah lumrah alam, suhu di gurun sangat sejuk, berbeza dengan suhu di siang hari kerana kurangnya litupan awan. Sesekali angin gurun bertiup, menambahkan lagi kedinginan malam yang mencucuk hingga ke tulang.

“Manisheh! Bagaimana keadaan di sana? Ada apa-apa yang mencurigakan?!”

“Keadaan di sini baik sahaja! Tiada sebarang tanda-tanda musuh!”



Malam itu, aku dan 24 orang pengawal lain berkawal di luar kawasan pangkalan. Aku mengambil tempat untuk berkawal di sebuah parit bersama-sama temanku, Bashir. Manisheh berkawal di sebuah pondok di lereng bukit. Tugasnya meninjau dan melaporkan kepada pengawal di bawah sekiranya musuh datang menyerang. Dia juga berperanan sebagai pemusnah pesawat udara kerana di pondoknya berdiri teguh sebuah mesingan antipesawat jenis 90 mm M1A1 buatan Amerika Syarikat. Ianya seberat kira-kira 8 tan. Senjata pemusnah itu boleh dikendalikan oleh seorang pejuang dan boleh dialihkan. Sejak kebelakangan ini, musuh semakin ganas. Mereka menyerang tanpa sebarang amaran. Sebagai langkah berjaga-jaga, kawalan keselamatan telah diperketatkan. Bilangan pengawal telah ditambah menjadi 20 orang. mengawal kawasan pangkalan kami yang didiami kira-kira 100 orang pejuang Mujahidin Afghanistan.

Entah mengapa, hatiku terasa gelisah, seakan-akan sesuatu yang sangat buruk bakal melanda. Auzubillahi min zaalik. Ya Allah, lindungilah kami daripada musuh-musuh kami. Aku berdoa memohon perlidungan daripada-Nya. Kulihat disebelah kananku, Bashir sedang tekun memerhatikan sebarang tanda-tanda kedatangan musuh. Dia sedang memegang erat selaras raifal Kalashnikov. Dia juga kelihatan tidak tenteram, seolah-olah dapat merasakan sesuatu bakal terjadi. Matanya liar mencari sebarang tanda kedatangan musuh. Tiba-tiba, telingaku dapat menangkap suatu bunyi yang biasa kudengari. “Eh, bunyi itu macam…”, aku berteka-teki sendirian. Ku amati bunyi itu sedalam-dalamnya. Sebelum sempat aku meneka, tiba-tiba muncul sebuah helikopter penyerang jenis Mil Mi-28 dari balik bukit. Tanpa sebarang amaran, sebuah roket dilancarkan dan…. Booommm!! Tepat mengenai khemah, meletupkan khemah itu dan orang yang mendiaminya.

“Kita diserang!! Kita diserang!!

Boommm!! Bommmmm!!!

Tanpa berlengah, aku dan Bashir terus menembak kearah helikopter itu. Helikopter itu terus menyerang, kali ini menggunakan tembakan mesingan. Tembakan yang bertubi-tubi itu telah menyebabkan ramai pejuang menemui syahid. Manisheh dengan kudrat pejuangnya terus mengambil posisi di mesingan antipesawat untuk menembak jatuh helikopter itu.

“Allahuakbar!!! Hancurlah kau, syaitan!!”

Manisheh dirasuk api kemarahan. Tembakan bertubi-tubi dari mesingan antipesawat itu tepat mengenai badan helikopter itu. Percikan-percikan api kelihatan menandakan helikopter itu diserang dengan peluru-peluru mesingan. Akan tetapi, tembakan itu seperti tidak memberi kesan kepada helikopter itu kerana rangkanya sungguh kebal dan kalis peluru. Helikopter itu turut melepaskan tembakan mesingan. Malang bagi Manisheh kerana tembakan dari helikopter itu tepat mengenainya. Manisheh telah syahid.

Kini, semua orang telah dibunuh, termasuk ketuaku yang tinggal di dalam khemah yang musnah tadi. Tinggallah aku dan Bashir yang masih berjuang bermati-matian. Helikopter itu sukar untuk menembak kami kerana kedudukan kami agak terlindung di dalam parit. Tiba-tiba, Supp! Supp! Dua butir peluru mengenai dada Bashir. Darahnya memercik ke mukaku. Bashir pula menemui syahid. Kemudian, sekali lagi sebuah roket dilancarkan. Boommmm!!! Nasib menyebelahiku kerana roket itu meletup agak jauh dari parit tempatku berlindung. Aku meniarap didalam parit itu, dengan harapan musuh tidak akan perasan akan ku. Tindakanku itu berhasil apabila helikopter itu berlalu pergi begitu sahaja. Mungkin pengemudi helikopter itu meyakini bahawa aku sudah menemui ajal dengan tembakan roket tadi. “Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah”, aku menghembuskan nafas lega sambil terus mengucapkan syukur tanpa henti. Aku bangun dan melompat keluar dari parit itu. Masya Allah! Aku melihat mayat-mayat pejuang yang syahid bergelimpangan di sana-sini. Pemandangan di situ sungguh mengerikan. Tanpa kusedari, air mata bercucuran jatuh ke pipiku. Kerana apa? Sedih mengenangkan nasib yang menimpa kami ini. Berapa ramai lagi yang harus menjadi korban demi mempertahankan kedaulatan bumi tercinta? Berapa ramai lagi yang harus menjadi menjadi korban kezaliman musuh? Musuh yang nyata bagi penduduk Afghanistan. Sekiranya batu, tumbuhan, binatang ternakan diberi kudrat untuk berjuang, mereka juga akan turut berjuang bersama-sama pejuang Mujahidin dibarisan hadapan. Aku tidak akan membiarkan mereka terus bermaharajalela! Aku nekad!

“Allahuakbar!!! Allahuakbar!!!”


* * *


“Perhatian wahai seluruh rakyat Afghanistan. Saya, Marshal Sergei Sokolov, komander tentera Soviet. Pada pagi ini bersamaan dengan 28 Disember 1979, Afghanistan telah dibebaskan dari pemerintahan Presiden Hafizullah Amin. Pada hari ini, semangat persahabatan dan saling berkerjasama akan kita semaikan…”

Pengumuman melalui radio itu masih segar dalam kotak ingatanku. Pada pagi itu, komander tentera Soviet di Afghanistan telah mengumumkan kejayaan mereka mengambil alih pentadbiran Afghanistan daripada Presiden Hafizullah Amin yang berjaya dibunuh dalam operasi penaklukan yang dinamakan ‘Operation Storm-333’. Operasi penaklukan itu disertai oleh pasukan khusus tentera Soviet yang amat terlatih iaitu GRU Spetsnaz dan OSNAZ. Objektifnya adalah untuk menawan Istana Tajbeg dimana Hafizullah Amin bersembunyi dan membunuhnya.

Pada hari itu juga, Afghanistan menyaksikan kemasukan bala tentera Soviet dibawah pimpinan Marshal Sergei Sokolov dengan kekuatan sebanyak 1,800 kereta kebal, 2,000 kereta perisai dan askar yang jumlahnya melebihi 100,000 orang. Oleh itu, tentera Soviet secara rasminya telah menakluk Afghanistan. Sejak hari itu, langit Afghanistan seringkali dilintasi pesawat-pesawat tempur Soviet persis helang yang terbang mencari mangsanya. Kereta kebal milik mereka sering dilihat merentasi gurun-gurun. Tentera-tentera berada di setiap pelusuk negara. Lambang bintang merah menjadi kemegahan mereka.

Penjajahan di Afghanistan tidak pernah berhenti sejak dulu lagi. Sejarah menceritakan bahawa Genghis Khan pernah menjajah negara ini. Kemudian British mmenyusul. Kini, Kesatuan Soviet pula datang menggantikan penjajahan British. Akan tetapi, penduduk Afghanistan tidak pernah berdiam diri. Mereka terus berjuang demi mempertahankan maruah dan kebebasan tanah air mereka. Penjajah tetap penjajah. Musuh tetap musuh. Tentera Soviet perlu diusir kerana mereka tidak berhak ke atas bumi ini walau seinci pun. Demi mendapatkan sebuah kemerdekaan, pejuang Mujahidin Afghanistan berani menyahut cabaran untuk mengusir dan menentang mereka menggunakan apa jua cara sekalipun sehingga ke titisan darah yang terakhir. Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagen pernah menggelar mereka sebagai pejuang kebebasan tulen. Walaupun hanya bersenjatakan Kalashnikov dan menunggang kuda, namun semangat mereka menjulang tinggi mengatasi awan. Laungan takbir mereka bergema di celahan gunung-ganang!


* * *


Kawasan Gurun Afghanistan,

135 Kilometer dari Sempadan Afghanistan-Pakistan

Angin gurun bertiup kencang membawa debu-debu halus berterbangan. Terik mentari membakar kulit, seolah-olah berada hanya sejengkal dari kepala. Ah, sungguh azab ketika itu! Sudah tiga hari aku berjalan. Tekakku berasa perit kerana kehausan. Air di dalam botolku sudah habis. Langkahku semakin longlai kerana kekurangan tenaga. Aku masih belum menjamah apa-apa makanan sejak tiga hari yang lalu. Aku sehelai sepinggang tanpa bekalan yang secukupnya. Aku cuma membawa selaras raifal Kalashnikov dan beberapa butir bom tangan yang sempat kuambil dari stor di pangkalan.

Kini, destinasiku cuma satu, iaitu Peshawar di Pakistan kerana disitu aku boleh mendapatkan bantuan. Untuk sampai ke tempat itu, aku harus menempuh perjalanan sejauh 180 km yang memakan masa selama 15 hari dengan berjalan kaki. Suatu perjalanan yang amat menyeksakan bagi mereka yang tidak biasa, lebih-lebih lagi melalui kawasan pergunungan dan gurun yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhnya. Hanya anak jati Afghanistan sahaja yang mampu menempuh perjalanan melalui ‘neraka’ seperti itu kerana sudah lali dan menjadi asam garam dalam kehidupan.

Aku mengambil keputusan untuk berhenti rehat di sebuah gua kecil. Tidak tertahan lagi rasanya untuk meneruskan perjalanan. Sedang aku berteduh, aku terlihat kelibat tiga orang sedang berjalan di gurun. Nampaknya seperti pengembara. Suatu peluang keemasan bagiku! Siapa tahu? Mungkin aku boleh meminta sedikit bekalan makanan dan minuman daripada mereka. Tanpa berlengah, aku bergegas keluar dari gua tempatku berteduh dan berlari kearah mereka.

“Tunggu!! Tunggu!!! Jangan pergi!!”, jeritku.

Salah seorang daripada mereka berhenti dan berpaling kearahku, seraya memanggil kedua-dua orang rakannya. “Tunggu dulu saudara-saudara sekalian! Jangan pergi!”, rayuku. Kemudian, ketiga-tiga mereka mengangkat raifal masing-masing dan mengacukan tepat kepadaku.

“Siapa kau? Kawan atau lawan?” tanyanya kepadaku.

Aku mengangkat kedua-dua tanganku keudara seperti mahu menyerah diri.

“Jangan, aku bukannya musuh. Aku, kawan. Sama seperti kalian.”, jawabku.

“Apa benar kata-katamu itu?”, soalnya kembali.

“Demi Allah, aku dipihak yang benar,” jawabku kembali. Perlahan-lahan, dia menurunkan senapangnya dan berjabat tangan denganku.

“Namaku, Ahmed Massoud”, katanya kepadaku.

“Aku, Jalaluddin Haqqani”, kawannya menghulurkan tangan untuk berjabat tangan denganku.

“Aku Abdullah Azzam. Gembira kerana dapat bertemu anda”, sapa salah seorang dari pengembara itu. “Kami adalah pejuang Mujahidin yang bertempur di kawasan Oruzgan. Malangnya, syaitan Soviet telah menghancurkan kem kami”, tambahnya lagi.

“Namaku Ismail Khan. Aku juga seorang pejuang Mujahidin. Nasib kita sama kerana telah diserang oleh musuh. Pangkalanku telah digempur tiga hari yang lalu. Sudah tiga hari aku berjalan,” kataku.

“Aku rasa, lebih baik kita berhenti di sini dahulu. Kita akan dirikan khemah dan esok, kita akan menyambung perjalanan kita. Mari Ismail, sertai kami,” pelawa Ahmed kepadaku. Aku membantu mereka mendirikan khemah dan menghidupkan unggun api untuk memasak. Kawasan khemah kami agak terlindung dari pandangan musuh kerana dikelilingi batu-batu gunung yang besar. Helikopter musuh sukar untuk mengesan kami. Apabila tiba waktu Zohor, Ahmed mengimamkan kami bertiga. Setelah itu, kami duduk dan dan menikmati makanan yang tidak seberapa itu. Kami juga bertukar-tukar cerita tentang kisah hidup masing-masing. Tika itu, aku merasa tenang dan aman bersama-sama mereka. Mereka orang-orang yang baik. Dari pangamatanku, mereka ini adalah orang-orang yang warak dan kuat beragama. Alhamdulillah, Allah masih mencurahkan rezeki-Nya yang melimpah ruah kepada hamba-hambanya yang taat dan setia kepada-Nya.


* * *



Senja telah berlabuh dan bumi kian kelam. Matahari tidak kelihatan lagi, bersembunyi di kaki langit. Bebola api itu menggelincir ke arah barat hingga hilang ke ufuknya. Tiba masa bagi sang rembulan untuk bersinar di langit malam. Kelihatannya burung-burung berterbangan dilangit, mencari sarang masing-masing.

“Allahuakbar! Allahuakbar!”

“Allahuakbar! Allahuakbar!”

“Asyhaduallaa Ilaaha Illallah!”

Azan maghrib dilaungkan oleh Jalaluddin. Kalimat suci itu bergema ke seluruh alam menyeru manusia menyembah Allah. Sesudah azan, aku mengimamkan solat Maghrib. Apabila selesai solat, kami duduk dalam bulatan mengelilingi unggun api untuk murajaah Al-Quran. Ahmed memulakan bacaannya. Kami bergilir-gilir memperdengarkan hafalan sementara yang lainnya sebagai penyemak. Masing-masing masih kuat hafalannya. Inilah senjata dalaman kami. Pendinding daripada segala ancaman luar dan dalam. Kini, tiba giliranku untuk memperdengarkan bacaanku. Ketika aku hendak memulakan bacaan, telingaku dapat menangkap suatu bunyi, seperti bunyi derapan tapak kaki. Bukan seorang, tetapi ramai! Kerana ketika itulah, muncul 10 orang tentera Soviet dari balik batu mengepung kami sambil mengacukan senjata tepat ke arah kami. Mereka menjerit dalam bahasa Rusia, yang tidak dapat difahamiku mahupun tiga orang kenalanku.

“Angkat tangan! Meniarap di atas tanah, sekarang!!”, jerit seorang tentera Soviet yang berjambang. Badannya agak berisi.



Kami terpinga-pinga kerana tidak memahaminya. Sekilas pandang aku dapat melihat lencana di bahu kirinya. Mereka ini adalah pasukan khusus Spetsnaz yang meronda di kawasan pergunungan mencari pejuang Mujahidin. Nasib kami malang kerana berjaya ditemui mereka walaupun kedudukan kami agak terlindung. Mungkin teknologi telah memudahkan pencarian mereka.



“Jangan degil! Meniarap!!”, jeritnya lagi.



Melihatkan kami enggan mengikut arahannya, dia mulai hilang sabar.

“Celaka!! Ambil ni!!” Toob!!

Dia menghentakkan pangkal raifal tepat ke muka Ahmed. Dia pengsan. Kemudian seorang tentera menyepak kepala Jalaluddin dan kemudiannya Abdullah. Mereka juga pengsan, sama seperti Ahmed Massoud. Kini tinggal aku seorang. Dengan biadabnya dia meludah ke mukaku dan… Tooob! Mukaku dihentak dengan pangkal raifal. Aku menerima nasib yang sama seperti Ahmed Massoud, Jalaluddin dan Abdullah. Aku pengsan.


* * *

Perlahan-lahan aku membuka mataku. Pandanganku berpinar-pinar. Mukaku terasa pedih dek hentakan yang hinggap di mukaku. Rupa-rupanya aku sedang berada di belakang sebuah trak tentera yang sedang bergerak menuju entah ke mana. Aku diapit oleh dua orang tentera yang lengkap bersenjata. Kulihat Ahmed, Jalaluddin dan Abdullah sudah sedar. Mereka juga diapit oleh tentera pengawal. Kami dikawal oleh 8 orang tentera. Dalam keadaan begitu, mereka mampu tersenyum kepadaku sebagai tanda memberi semangat. Aku cuba untuk membalas senyuman mereka, tetapi terasa hambar. Aku berasa sangat bimbang mengenangkan nasib yang bakal menimpa diriku ini. Aduh, malang sungguh nasibku kerana berjaya ditangkap. Kini aku bergelar tawanan perang. Mungkin trak ini sedang menuju kearah pengkalan tentera Soviet. Di situ, kami akan disoal siasat dan dipenjarakan. Malah lebih teruk lagi, kami akan diseksa dengan pelbagai jenis seksaan yang mengazabkan. Banyak khabar angin yang menceritakan bahawa tawanan perang yang dipenjarakan menemui ajal di situ dalam keadaan yang mengazabkan dan mengaibkan. Tidak, Aku tidak mahu menemui ajalku di penjara! Bukan mati seperti itu yang kumahu. Aku benar-benar nekad. Aku harus melepaskan diri, tetapi bagaimana? Fikiranku ligat berpusing memikirkan jalan untuk membebaskan diriku dan tiga orang kenalanku itu. Perjalanan masih jauh bererti aku masih punya masa untuk memikirkan rancangan.

Tiba-tiba aku terdengar suatu bunyi letupan, barangkali bunyi tayar meletup. Trak itu semakin perlahan dan akhirnya berhenti. Entah mengapa sebabnya, aku pun tidak tahu. Dari belakang trak aku dapat mendengar bunyi pintu depan trak dibuka kemudian ditutp semula, menandakan pemandu trak itu sudah keluar dari tempat pemandu. Kemudian, seorang tentera yang masih muda, mungkin dalam 20-an melompat turun dari belakang trak. Aku dapat mendengar perbualan mereka dengan jelas.

“Egor, apa yang terjadi?”, tanya tentera yang turun dari belakang trak tadi.

“Celaka, tayar trak meletup! Mungkin terlalu terlanggar batu-batu semasa perjalanan tadi. Maksim, kau panggil seorang atau dua untuk bantu aku ganti tayar trak ni! Sekarang!”, arah lelaki yang bernama Egor tadi.

Maksim menuju ke belakang trak untuk memanggil rakannya.

“Sergei! Yuri! Ayuh, tolong gantikan tayar trak!” arah Maksim kepada dua orang rakan sejawatannya.



Tanpa banyak soal, tentera yang bernama Sergei dan Yuri tadi melompat turun dari trak untuk membantu menggantikan tayar. Kini, tinggal 5 orang tentera yang sedang mengawal kami. Tiba-tiba aku mendapat satu idea. Aku menjeling kekanan dan kekiri. Kemudian, aku memandang Ahmed, Jalaluddin dan Abdullah sambil menganggukkan sedikit kepalaku. Mereka memahami isyarat yang kuberikan tadi. Bismillahirrahmanirrahim. Kulihat pengawal yang mengawalku agak leka. Dengan pantas aku merampas raifal yang dipegangnya dan aku melepaskan tembakan kearahnya. Sepantas kilat itu juga aku menembak mati semua pengawal yang masih tekejut dengan tindakan pantasku itu. Tanpa berlengah lagi, aku melompat keluar dari belakang trak dan menembak mati semua tentera yang sedang leka menggantikan tayar trak itu. Mayat mereka bergelimpangan di atas tanah. Rancanganku berjaya! Ahmed Massoud, Jalaluddin dan Abdullah memelukku sambil tidak henti-henti mengucapkan syukur kerana telah terlepas dari tawanan.

“Kita harus beredar dari sini. Lambat-laun mereka akan mengetahui kejadian ini,” kataku.

“Benar. Kita harus melarikan diri. Sempadan Pakistan sudah tidak terlalu jauh dari sini. Kita boleh melarikan diri dengan memandu trak ini,” cadang Jalaluddin.

“Biar aku uruskan mayat-mayat itu. Seseorang harus meneruskan kerja menggganti tayar itu,” kata Abdullah.

“Beres. Ayuh, kita lakukan sekarang!” kata Ahmed.

Selepas 3 minit, tayar itu telah diganti dan mayat-mayat tentera tadi telah dicampakkan di belakang trak. Aku terus menuju ke tempat pemandu dan menghidupkan enjin trak. Ahmed duduk di hadapan trak bersamaku manakala Jalaluddin dan Abdullah berada di belakang trak. Trak itu bergerak dengan lancar tanpa sebarang masalah. Aku memandu trak itu menuju ke timur untuk melepasi sempadan Afghanistan-Pakistan dan menuju terus ke Peshawar yang terletak kira-kira 80 kilometer ke timur. Alhamdulillah, kami berjaya melepasi sempadan tanpa sebarang masalah dan tiba di Peshawar pada pukul 11.30 minit malam waktu tempatan. Di sini, kami akan mengumpulkan kekuatan dan akan kembali ke Afghanistan untuk berjuang. Tidak akan sekali-kali kubiarkan musuhku begitu sahaja. Akan kurampas tanah airku dari genggaman syaitan musuh-musuhku, walaupun terpaksa bergadai nyawaku sendiri!



This entry was posted on 9:21 PTG and is filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 ulasan: